Siti e` Discography

Siti's Album Collections

Klik Kepada IKON Album





Transkripsi 2006

Album
TRANSKRIPSI
(2006)

Kredit
Penerbit Bersekutu: Tarudin Ismail pkc, Siti Salmah Bachik
Penerbit Eksekutif: Siti Nurhaliza Tarudin jsm sap pmp aap, Saiful Bahri Tarudin
Penerbit: Siti Nurhaliza, Aubrey Suwito, Jenny Chin, Mac Chew, Yasin, Cat Farish,
Firdaus Mahmud, Damian VE
Penyelaras Produksi: Rozi Abdul Razak
Mastering: Fauzi Marzuki @ Fauzi Marzuki Productions
Promosi: Unit Promosi Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd.
Pakaian: GUCCI - Koleksi Siti Nurhaliza & CHRISTIAN LACROIX - dari Melium Group
Kasut: Stuart Weitzman & Salvatore Ferragamo - Koleksi Siti Nurhaliza
Solekan: Nurul Shukor @ Nurul Shukor Touch & Razlan Bahari
Konsep Kulit Album: Nizam Rahmat @ Ad Verse
Artwork & Rekabentuk: Raskuz @ Ad Verse
Photo Enhancement: Bowei Lee
Jurufoto: Bustamam @ White Studio
Pengurusan Artis: Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd.
Email: snpsb@streamyx.com
Laman web rasmi: Sitizone.com, Sitizonemobile.com

Lagu
Siti Situ Sana Sini (Damian VE/Cham VE)
Biarlah Rahsia
(Melly Goeslaw/Siti Nurhaliza)
Destinasi Cinta
(Lin Li Zhen/PSNN)
Cuba Untuk Mengerti (Tengku Shafick/Tengku Shafick)
Hidup Penuh Bicara
(Yasin/Eena Houzyama & Yasin)
Bila Harus Memilih
(Glenn Fredly/Glenn Fredly)
Pastikan (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw)
Hati Berbisik (Siti Nurhaliza & Aubrey Suwito/Siti Nurhaliza)
Rupanya Kita Serupa (Cat Farish/Cat Farish)
Tanpa Dendam Di Hati (Erwin Gutawa/Habsah Hassan)
Intrig Cinta (Siti Nurhaliza/Loloq)
Impiankan Nyata (Abdul Rahim Bachik, Rauf & Firdaus Mahmud/Rauf)
Bisakah (Aubrey Suwito/Tessh R S)

Lirik lagu...



Intro Siti
Assalamualaikum dan salam kebahagiaan buat semua...

TRANSKRIPSI adalah himpunan perasaan atau rasa yang menyatu dalam hidup kita selama ini. Ia ditutur lalu ditulis dan dilagukan mengikuti emosi dan ekspresi. Ia dicantumkan dari keindahan lagu dan penceritaan lirik yang nada-nadanya tercipta daripada luahan serta terjemahan hati.

Segala ekspresi yang terlahir ini adalah satu perkongsian rasa kita semua. Sipu yang manis, rajuk yang mengguris atau amarah yang menghiris. Atau rasa bahagia yang bertandang, duka yang panjang, kecewa yang mengundang jua rindu waktu bayang menghilang. Ia juga menjadi sakit yang tak nampak deritanya atau bangga yang tak diungkap sedalamnya. Perasaan menjadi pancaindera, peka pada segala, mampu merasa pada sesuatu yang tak terzahir di mata.

Apa yang perlu adalah kita mewarnakan perjalanan hari. Bila ia mahu berhenti, berhentilah dengan keindahan abadi. Kita ini insan yang impiannya melebihi ketinggian langit, yang rasa kemahuannya melebihi keupayaan yang dibangkit, yang makna kehendaknya tidak seperti upaya yang terbit. Keterbatasan inilah yang akhirnya membuat kita semua kembali ke pangkal dan berpamit.

Di atas transkrip ini, saya mengakui HIDUP PENUH BICARA dan BILA HARUS MEMILIH, jalannya penuh dilema. Di mana haluan dan di mana panduan atau ke arah mana hala? RUPANYA KITA SERUPA, kita sesama insan sentiasa CUBA UNTUK MENGERTI agar jalan bisa seiring dan tangan boleh seganding. Atas kebersamaan ini IMPIANKAN NYATA kerana seupayanya kita cuba menjadi sesuatu di antara satu sama lain.

HATI BERBISIK penuh rasa kebahagiaan di atas kehadiran kalian yang begitu besar maknanya. SITI SITU SANA SINI yang kalian jejaki memanjangkan usia keberadaan saya dalam industri ini. Segala yang ditempuh penuh warna dan saya lalui TANPA DENDAM DI HATI. Dalam sejuta ketabahan itu, adakala tertanya sendiri, BISAKAH semuanya diharungi?

PASTIKAN suatu waktu kita akan saling berdepan dengan kebahagiaan dan permasalahan yang sama namun BIARLAH RAHSIA menjadi perkara paling tersembunyi dan INTRIG CINTA akan menemui DESTINASI CINTAnya sendiri.

Dan akhirnya TRANSKRIPSI merungkai segalanya dan menjadi buah tangan teristimewa daripada saya.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh tenaga kerja di sebalik penghasilan album ini. Penerbit, pencipta lagu, penggubah lagu, penulis lirik, jururakam, jurutera bunyi, penyanyi latar dan pemuzik, nama serta kerja kalian semuanya sudah tercatat di sini. Saya amat berterima kasih dan berbesar hati.

Pengorbanan mak, abah, seluruh keluarga dan kakitangan SNP serta pengedar album SRC setiap apa yang telah dicurahkan akan saya ingati, moga usaha kita diberkati.

Para peminat di mana jua yang sudah lama menanti dan memberi inspirasi, abadikan TRANSKRIPSI di hati.

Pihak media cetak, media elektronik dan juruhebah di dalam mahupun di luar negara, terima kasih di atas sokongan yang diberikan selama ini. Album ini tanda perjuangan saya belum berhenti.

Semoga berpuas hati. Salam sayang buat semua.


Ulasan (dikemaskini - 7 Mei 2006)
Melihat pada nama-nama besar yang terlibat dalam pembikinan album ini, sudah boleh digambarkan bagaimanakah isinya.

Gabungan Mac Chew, Jenny Chin, Fauzi Marzuki, Erwin Gutawa, Glenn, Melly Goeslow, Habsah Hassan dan Aubrey Suwito sudah cukup kuat untuk menggambarkan, akan ada sesuatu yang ‘luarbiasa’ di sini.

Ternyata TRANSKRIPSI bukan calang-calang album. Ia 'mewah' dan menyerlah dari segala aspek.

Yang paling ketara ialah vokal Siti. Lebih mantap, lebih matang dan lebih versatile. Dengan teknik penyampaian dan kawalan yang cemerlang, vokal Siti kedengaran lebih ekspresif. Tidak ragu-ragu kalau saya katakan inilah album yang mempamerkan vokal terbaik Siti.

Umpama bereksperimen, kali ini Siti bebas ‘melaram’ pelbagai teknik dan stail nyanyian yang selama ini belum pernah di’gayakan’nya.

Saya tak pasti apa istilah teknikalnya. Teknik berbisik? Gemersik? Falsetto? Soprano? Ad-lib? Highnote, lownote… apa-apa ajalah. Yang penting, cuba dengar lagu-lagu seperti ‘Rupanya Kita Serupa’, ‘Bila Harus Memilih’, ‘Siti Situ Sana Sini’ dan ‘Intrig Cinta’. Siti banyak menyerlahkan keunikan vokalnya di situ. Suatu pembaharuan menarik yang perlu diberikan perhatian.

Kalau dalam Prasasti Seni, sekali dengar, saya katakan kesemua lagu saya suka. Tidak ada 'skip' bila memutar CD. Tapi, dalam TRANSKRIPSI, tidak dinafi, ada beberapa lagu yang agak lambat untuk selesa di pendengaran saya. Seperti ‘Hati Berbisik,’ ‘Impiankan Nyata’ dan ‘Tanpa Dendam Di Hati’. Sekurang-kurangnya 5 kali dengar, baru boleh diterima!

Namun ada yang sekali dengar sudah meresap ke jiwa. Seperti Bila Harus Memilih, Rupanya Kita Serupa dan Siti Situ Sana Sini.

Jangan salahkan saya. Mungkin saya terlalu inginkan kelainan. Lagu-lagu kelompok pertama (yang lambat diterima) itu pada saya, tidak banyak beza dengan lagu-lagu balada Siti sebelum ini. Jadi, bila Siti mempamer elemen baru (lagu kelompok kedua), saya lebih mudah terpikat.

Apapun, saya tidak risau dengan situasi ini, kerana mungkin juga lagu yang lambat diterima itu akan lebih lama bertahan jadi pujaan. Sepertimana penerimaan saya terhadap lagu 'Cuba Untuk Mengerti.' Semakin kerap didengar, semakin melekat di hati.

Permainan emosi dan penghayatan Siti kali ini cukup menyerlah. Mungkin tempoh dua tahun menyiapkannya memberi Siti lebih ruang untuk menjiwai setiap lagu yang dipilih. Apatah lagi, ada antaranya hasil ciptaan dan lirik nukilannya sendiri.

Saya tak suka (tak pandai sebenarnya) mengulas tentang lirik. Tapi, kalau diteliti setiap bait lirik kebanyakan lagu dalam album ini, ia umpama luahan hati Siti sendiri. Ekspresinya tentang cinta dan kehidupan. Kesimpulan mudah yang boleh saya buat -- sebab itulah Siti mampu melagukannya sepenuh jiwa… emmm… hmmmm…

Satu lagi yang memberi kepuasan pada saya dalam album ini ialah susunan muziknya. Teliti dan menyerlah. Menjadikan yang sentimental bertambah syahdu dan yang rancak bertambah segar.

Ada beberapa lagu sebenarnya biasa-biasa saja, tapi telah ‘diselamatkan’ oleh susunan muzik yang indah, selain kebijaksanaan Siti mewarnai lagu.

Dari segi pemilihan lagu, walaupun balada dan pop masih menguasai, kali ini ditambah poprock, R&B (yang lebih kental), fusion arab dan jazz. Saya suka konsep album yang begini. Dengan 13 lagu pelbagai citarasa, pendengar bebas memilih genre apa yang mereka suka.

Namun, jangan membuat andaian hanya dengan sekali dengar. Sebaliknya, beri keadilan kepada semua lagu. Dengar berkali-kali. Pasti anda akan jatuh cinta dengan TRANSKRIPSI… seperti saya.


Pilihan Saya

1. Bila Harus Memilih
Waduh! Glenn, asik banget deh lagunya. Daripada melodinya, susunan muziknya, hinggalah stail Siti melagukannya… sungguh menawan. Vokal Siti yang tenang tapi penuh penghayatan berjaya membangkitkan mood syahdu. Pertama kali saya terasa begitu di'hantui' oleh lagu Siti!

2. Rupanya Kita Serupa
Kiut? Menggoda? Tak kiralah. Yang penting, bukan saja saya cukup puas hati dengan vokal Siti dalam lagu ini, tapi juga terhibur dengan melodinya yang memikat dan susunan muziknya yang santai. Terasa seolah-olah berada di era 50an!

3. Biarlah Rahsia
Waktu mula-mula diperdengarkan di Anugerah Planet Muzik dulu, kedengaran biasa-biasa saja. Seperti ada sesuatu yang ‘tak cukup’. Kurang klimaks? Eh, bukan! Tidak ada cacat celanya lagu ini. Melodinya, susunan muziknya, liriknya dan vokal yang melagukannya… semuanya indah. Rasa ‘tak cukup’ itu semata-mata kerana keinginan nak mendengarnya, lagi dan lagi dan lagi…

4. Siti Situ Sana Sini
Segar dan ‘catchy’. Rancak tapi mendamaikan. Vokal Siti lebih relaks seperti dalam lagu ‘Dua Dunia(Too Phat featuring Siti Nurhaliza). Satu kombinasi yang menenangkan. Walaupun kedengaran agak ‘advance’, masih mampu menambat hati warga desa.

5. Bisakah
Lagu 'berbisa' ini paling menyerlah pada korusnya, membawa ke klimaksnya di mana vokal Siti kedengaran lantang bertenaga. Susunan muziknya juga memberi impak dalam menyerlahkan lagi kekuatan melodinya. Intro dan 'ending' yang cukup menarik.

6. Cuba Untuk Mengerti
Ini antara lagu yang lambat selesa di pendengaran saya. Namun kini jadi salah satu lagu pilihan. Mungkinkah kerana melodinya yang unik? atau susunan muziknya yang menyerlah? atau Siti yang bijak ‘menghidupkan’ lagu? ahaa.... Apa yang pasti, Siti berjaya mengeksploitasi keupayaan vokalnya dengan cemerlang.

7. Intrig Cinta
Tidak diragui, Siti memang berbakat mencipta lagu. Melodi yang simpel dan ceria. Dibantu oleh susunan muzik yang segar dan mantap dengan suntikan elemen muzik India. Satu gabungan yang kreatif dan berjaya menambah daya tarikan.

8. Destinasi Cinta
Satu lagi lagu yang menyegarkan. Dengan persembahan yang bersahaja, menjadikan rock versi Siti tidak 'perit' atau 'keras'. Sebaliknya masih terserlah kemerduannya. Saya tidak berminat dengan genre ini, tapi tetap tertarik bila Siti yang melagukannya... yeay... yeay...

9. Hidup Penuh Bicara
Ramai teman-teman saya tak boleh 'masuk' dengan lagu ini. Kenapa ye? Apapun, saya tetap hormati pandangan dan citarasa semua orang. Pada saya, lagu ini kreatif. Ada elemen timur tengah. Ada elemen jazz. Paling menarik pada bahagian 'bridge' nya di mana Siti 'berduet' dengan saxsaphone!

10. Pastikan
Identiti Melly memang ketara sekali dalam lagu ini. Mujur Siti tidak melagukannya mengikut stail sipencipta. Entah kenapa, melodi 'Jika' (duet Melly & Ari Lasso) asyik terngiang-ngiang di telinga saya setiap kali mendengar lagu ini...

11. Tanpa Dendam Di Hati
Sejujurnya, saya mengharapkan yang lebih lagi daripada Erwin Gutawa. Pada saya lagu ini kedengaran biasa saja. Apa yang membuatkan saya tertarik untuk terus mendengarnya ialah liriknya yang berisi, susunan muziknya yang indah (terutama dari instrumen 'strings') dan vokal Siti yang sangat menyerlah.

12. Impiankan Nyata
Saya amat berharap yang lagu ini bukan dimasukkan semata-mata untuk memenuhi sasaran 13 lagu...oops... Melodinya biasa saja. Liriknya juga seperti lagu dulu-dulu. Namun susunan muziknya pada saya cukup menarik. Menjadikan lagu ini kedengaran hebat.

13. Hati Berbisik
Satu lagi cubaan Siti dalam penciptaan lagu. Saya memang tertarik dengan verse awalnya yang lembut dan terkawal. Tapi ada masalah sikit dengan bahagian korusnya yang pada pendapat saya, kedengaran agak 'meleret'. Apapun, saya percaya lagu ini berjaya menarik perhatian mereka yang sukakan lagu-lagu ala-ala Purnama Merindu dulu.

Kata Siti, "…kalau tak sedap… you sedapkan la eh…"

Kalau ada yang tidak sependapat dengan ulasan ini… bukan salah sesiapa. Cuma, citarasa kita berbeza. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Siti tentunya turut berasa berada dalam dilema untuk memenuhi citarasa peminat-peminatnya yang pelbagai ragam.

Namun pastinya dengan kelahiran TRANSKRIPSI, semua pihak telah berpuas hati. Siti telah memberikan yang terbaik. Peminat juga telah mendapat apa yang diidam-idamkan, setelah dua tahun menanti dengan setia. Tentunya satu penantian yang berbaloi. Secara peribadi, saya amat berpuas hati.

Terima kasih Siti dan seluruh warga kerja TRANSKRIPSI.

Sesungguhnya, TRANSKRIPSI adalah aset terkini Siti yang paling berharga untuk memastikannya terus unggul dan kukuh bertakhta di kedudukan terbaik dalam industri muzik Malaysia.

Harga: RM29.90 (CD), RM16.80 (Kaset)

Royal Albert Hall,London

Album
SITI NURHALIZA IN CONCERT - ROYAL ALBERT HALL, LONDON
(Audio)


Produksi
Penerbit Eksekutif: Saiful Bahri & Siti Nurhaliza
Penerbit Eksekutif Bersekutu: Tarudin Ismail
PKC & Siti Salmah Bachik
Penerbit: Roslan Aziz & Siti Nurhaliza
Jurutera Rakaman: Nick Burkinyoung & Roslan Aziz
Juruadun: Roslan Aziz @ Synchrosound Studio
Mastering: Fauzi Marzuki
Susunan Muzik: Jason Woo, Aubrey Suwito, Erwin Gutawa, Pak Ngah
Pemuzik: Aubrey Suwito (piano & ketua 'band'), Greg Lyons (saxophone), Jason Woo (keyboards), Steve Thornton (percussions), Jamie Wilson (gitar), Andy Peterson (gitar), Zahid (drum), Ramli Rebana (gendang), Kesavan (seruling), Norihan Saif (gambus), Pak Ngah (akordian), Jefri Zin (biola), Mohammad Ismail Marzuki (mandolin)
Penyanyi latar: Juanita Ismail & Tijah Muhamad Nor (Eja)
Susunan muzik orkestra: Erwin Gutawa
Orkestra: London Symphony Orchestra (pimpinan Erwin Gutawa)
Pengurus produksi: Laurence Delany
Rekabentuk Album: Nizamrahmat
Artwork & imej digital: Dinn
Fotografi: Bustamam
Edaran: Suria Records Sdn. Bhd/Suwah Enterprise (M) Sdn. Bhd.


Lagu
Kaset 1
A:
Dialah Di Hati
Ku Milikmu
Cinta Tak Berganti
Medley Rancak
Debaran Cinta

B:
Badarsila
Zapin Budi
Medley Rakyat
Medley Joget
Nirmala
Medley Zapin

Kaset 2  
A:
Overture
Bukan Cinta Biasa
Percayalah
Get Here
Lagu Rindu

B:
Seindah Biasa
Lagu-lagu Cinta
Cindai


Ulasan

AKHIRNYA, muncul juga versi audio yang memang saya harap-harapkan. Gembira? Ya, tentu saja saya gembira kerana tercapai juga keinginan untuk dijadikan peneman dikala kesesakan. Terima kasih Siti dan SNP, yang prihatin dengan kehendak peminat.

Tapi, ada juga rasa sedikit kecewa. Emmm, gembira tapi kecewa?

Terlebih dulu, ulasan ini hanya berdasarkan versi kaset. Mungkin situasinya berbeza bagi versi CD.

Secara keseluruhan, kualiti audio versi ini lebih baik berbanding versi VCD. Proses 'mixing' dan 'mastering' yang teliti menyerlahkan lagi fungsi setiap instumen. Malah ada kalanya kedengaran seperti ada instrumen tambahan.

Dialog yang ringkas. Sekadar pengenalan lagu, tentunya untuk menjimatkan masa dan kapasiti pita. Tiada masalah bagi saya, kerana vokal Siti dan muzik yang lebih 'bersih' dan terperinci (berbanding versi vcd) sudah cukup memberi kepuasan.

Namun, bunyi tepukan 'tambahan', kedengaran agak mengganggu. Rasanya tak perlu dimasukkan pada setiap lagu. Apatah lagi jika sama saja bunyinya. Contohnya, seawal intro lagu Dialah Di Hati. Niat dihati ini nak menghayati kelunakan vokal Siti tanpa muzik, tapi dek kerana riuhnya tepukan dan sorakan (yang tidak ada dalam versi vcd), 'feel' pun agak terganggu.

Agak malang bagi pembeli versi kaset apabila dua lagu telah 'hilang' (saya tak pasti versi CD, mungkinkah ada?). 'Bisikan Asmara' dan 'Sebenar Cinta' tidak dimasukkan. Sedih juga kerana kedua-dua lagu ini antara lagu pilihan saya kerana tertarik dengan gubahan muziknya yang sangat berbeza dari versi asal. Versi baru ini kedengaran lebih segar dan mantap. Lenggok nyanyian dan vokal Siti juga lebih menyerlah berbanding versi asal.

Medley lagu-lagu rakyat dan lagu joget juga telah diedit pendek, tinggal separuh saja.

Jadi, bagi yang tidak mahu keciciran mana-mana lagu, mungkin boleh dapatkan versi CD (itupun jika tidak dipotong). Kecualilah jika anda memang tak kisah dengan lagu-lagu tersebut. Ada atau tiada, tidak menjadi isu.

Tapi pada saya, tidak harus ada satupun yang tertinggal. Biarlah pita itu panjang sikit, atau kalau perlu dibuat tiga pita sekaligus. Tidak mustahil, kerana Siti juga telah membuktikan, tidak mustahil untuk berkonsert solo di Royal Albert Hall. Satu catatan sejarah yang tidak mungkin berulang. Sayang sekali jika tidak disempurnakan selengkapnya.

Apapun, di sebalik 'kehilangan' dua lagu dan durasi medley yang dikurangkan, album ini tetap berbaloi untuk dihayati kerana kualitinya masih berada di tahap standard Siti Nurhaliza (yang tidak pernah menurun).

Pujian juga harus diberikan kepada pereka letak kulit album. Simpel tapi kelihatan 'anggun'.

Siti Nurhaliza Live In Concert 2004

Album
SITI NURHALIZA LIVE IN CONCERT 2004
(Audio CD)

Penerbit
Penerbit Eksekutif: Siti Nurhaliza Tarudin JSM, PMP, AAP
Penerbit Album: Siti Nurhaliza Production s(M) Sdn. Bhd.
Penerbit Konsert: Siti Nurhaliza Production s(M) Sdn. Bhd.
Pengedar Suria: Records Sdn. Bhd./Suwah Enterprise (M) Sdn. Bhd.
Pengarah Muzik: Aubrey Suwito (Keyboard)
Pemuzik: Aubrey Suwito (Keyboard), Casey (Bass), Hillary Ang (Guitar). Steve Thornton (Percussion), Ujang (Drum)
Penyanyi Latar: Swara
Penari: E.E Dance Club
Rapper: Zahid AF2 dan Adam AF2

Lagu
CD 1
Interlude  
Cahaya Seribu Liku  
Debaran Cinta  
Medley: Kau Kekasihku/Percayalah  
Lagu Rindu  
Medley: Cinta Tak Berganti/Janji Kasih  
Aku Cinta Padamu
Kembalikan Indah  
Ku Milikmu 
Medley Rock Classic: Fantasia Bulan Madu/Hati Emas/Gerhana/Isabella  
CD 2  
Bukan Cinta Biasa  
Cindai  
Ku Menunggu  
Pejam Matamu  
I Surrender  
Pendirianku
Dialah Di Hati  
Seindah Biasa


Intro Siti
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Tidak tergambar rasa yang terbit apabila apa yang dicita menjadi nyata. Terima kasih sekalung budi buat semua pihak yang telah berusaha. Apa yang terlaksana adalah berkat doa kita bersama. Biar seribu duka datang melanda, kita masih teguh berdiri menggapai apa yang dicita. Kemuncak Siti Nurhaliza Fantasia Tour memberi satu makna yang sungguh bahagia.

Terima kasih Siti ucapkan kepada semua pihak yang telah membantu sepanjang konsert jelajah Siti di 15 lokasi dan juga yang terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil. Penaja-penaja konsert Siti yang sungguh budiman dan budi mereka yang tidak akan Siti lupakan.

Terima kasih penaja utama, Maxis dan Hotlink, kerjasama Astro, juga kepada Samsung, Ogawa, Transnasional dan juga kepada semua petugas-petugas keselamatan, kerajaan-kerajaan negeri, majlis-majlis bandaraya, majlis perbandaran, majlis-majlis daerah, Suria Records, PWTC, Maestro, Siti Nurhaliza Collections, Sdn. Bhd. dan Siti Nurhaliza Marketing Sdn. Bjd. Terima kasih juga kepada semua pemuzik, penyayi latar an penari latar yang begitu setia bersama Siti juga Siti Nursairah yang menjadi 'rapper' untuk lagu Aku Cinta Padamu. Bintang AF1 dan AF2 yang sudi menjayakan konsert ini, terima kasih Siti ucapkan.

Peminat-peminat yang tersayang yang telah datang menonton 'hadiah' Siti buat anda, Siti amat menghargainya. Terima kasih setulusnya daripada Siti Buat anda semua. Jadikanlah 'Siti Nurhaliza Live in Concert 2004' sebagai koleksi untuk kenangan kita bersama.

Salam sayang.



Ulasan
Cenderahati untuk peminat? penambah koleksi? tanda terima kasih? atau memorabilia Siti?.... sebutlah apa saja. Yang pasti, apa saja produk yang diterbitkan atas nama Siti, akan tetap di'buru' peminat-peminat setianya.

Produk terbaru, Siti Nurhaliza Live In Concert 2004 ini, adalah hasil rakaman konsert finale Siti Nurhaliza Fantasia Tour, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ogos lalu.

Mungkin tak adil bagi peminat yang tidak berkesempatan menonton konsert ini secara langsung, kalau saya mengulas album ini sambil membayangkan aksi Siti pada waktu itu. Hello, ini rakaman audio.... pejam mata dan dengar saja, ok?

Ya, saya faham.... merakam sebuah konsert di lokasi terbuka terutama dalam stadium berstruktur sebegitu rupa, memang mengundang pelbagai kemungkinan. Sesekali gema dan dengung luar kawalan pasti berlaku. Justeru, mewakili pendengar biasa yang tak arif tentang muzik dan kerja teknikal, saya berasakan hasil rakaman ini boleh dianggap baik.

Vokal Siti? Apa lagi yang perlu dipertikai? Memadai kalau dikatakan, tidak ada istilah 'pancit' dalam kamus live show Siti. Dengarkan I Surrender, dan nilailah sendiri.

Walaupun penglibatan Siti dalam industri seni Malaysia belum mencecah 10 tahun, Siti antara artis yang 'senior' kalau diambil kira dari segi pengalaman berkonsert.

Konsert ini, menyerlahkan lagi keupayaan dan kreativiti Siti dalam mencerna konsep setiap persembahannya. Hasil kreativiti Siti, lagu Aku Cinta Padamu versi SNFT finale ini mungkin bakal menjadi favorite anda (saya juga). Bayangkan apa terjadi apabila lagu ini di'waltz'kan, di'broadway'kan, di'dangdut'kan, di'rock' & di'hiphop'kan? Seperti kata Siti, "surprise giler!"

Apalah ertinya menonton konsert kalau lagu yang disampaikan saling tak tumpah seperti yang ada di dalam album. Menyedari kelainan yang diinginkan, Siti mengubah strategi. Lagu Debaran Cinta(DC), Lagu Rindu(LR), Kau Kekasihku(KK), Ku Milikmu(KMM) dan Pejam Matamu(PM), diberi aroma tambahan. Hasilnya, DC tambah funky, LR lebih berunsur pop (kurang elemen timur tengah ala Yasin), KK lebih syahdu, KMM tambah segar dan PM lebih menyerlahkan elemen akustik gabungan Hilary, Casey dan Siti sendiri.

Tiba-tiba saya 'jatuh cinta' dengan lagu Kembalikan Indah, versi live. Mendengar dari album, biasa-biasa saja. Mungkin kombinasi vokal yang bertenaga dengan susunan muzik yang mantap menjadikan persembahan Siti tambah menyerlah.

Sayangnya, lagu Ku Menunggu, Cinta Tak Berganti dan Janji Kasih yang saya nanti-nantikan rupanya hanya dinyanyi separuh saja. Tetap merdu, namun Siti seperti tergesa-gesa saja hendak menghabiskannya, isk. Tak mengapalah, lain kali nyanyi penuh ya.

Secara peribadi segmen paling menarik bagi saya ialah rock klasik. Usah dibayangkan vokal serak-serak basah atau meneran, yang pasti Fantasia Bulan Madu, Gerhana, Hati Emas dan Isabela versi Siti cukup menawan.

Siti adalah Siti seperti selalu. Sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk kepuasan peminat yang sentiasa berpegang pada pendapat, "sesuatu dari Siti semestinya yang terbaik." Konsert SNFT adalah salah satu hasil kerja terbaik Siti.

Bagi yang terlepas menyaksikan konsert ini atau mereka yang ingin mengulang keseronokan berkonsert, sementara menanti versi VCD, album audio ini juga berbaloi untuk dimiliki.


Harga:
CD - RM29.90
Kaset - RM19.90

Prasasti Seni

Album
PRASASTI SENI

Penerbit

Aidit Alfian, Zuriani, Iman Wan, Andy Flop Poppy, Ajai, Yasin, Mohar, Along Exist, Helen Yap, Pongky Jikustik & Aubrey Suwito

Lagu
Dialah Di Hati (Aidit Alfian/Habsah Hassan)
Pendirianku (Zuriani/Siti Nurhaliza & M.Zulkifli)
Cinta Tak Berganti (Iman Wan/Siti Nurhaliza)
Cahaya Seribu Liku (Andy Flop Poppy/Siti Nurhaliza & Tanty)
Hanya Dirimu (Ajai/Hani MJ)
Lagu Rindu (Yasin)
Sakti (Mohar/Loloq)
Pejam Matamu (Along Exist/Siti Nurhaliza)
Kembalikan Indah (Helen Yap/Slen & Siti Nurhaliza)
Ku Menunggu (Aidit Alfian/Habsah Hassan)
Seindah Biasa (Pongky Jikustik)

Intro Siti
"Pernah terjadi dalam sebuah kisah
tentang diri yang berdiri di atas nama seni.
Tentang hati yang separuh daripadanya sudah sebati dan
tentang rasa kecintaannya yang terlalu tinggi.
Prasasti Seni...
suatu tanda yang pernah ditemui,
satu nama yang pernah menemani,
mengisi sepenuh ruang hati,
meninggalkan jauh hari-hari sepi."

Rasa syukur dipanjat atas segala usaha dan penat jerih dan berdoa agar semuanya mendapat berkat. Suatu penghasilan yang bukan mengambil masa yang singkat. Suatu rasa yang cukup luar biasa apabila dalam lelah dan penat, diri tidak pernah berasa tenat. Setiap melodi begitu melekat, setiap puitis lirik dibuat penuh hemat agar resah dapat terubat. Gambaran rasa yang sungguh hebat atas segala kerja kuat dan hati sepakat.

Terima kasih yang teramat, di bawah ini semuanya tercatat. Syarikat rakaman, SRC dan syarikat SNO (M) Sdn. Bhd. yang memikul mandat, keluarga yang sentiasa dekat, komposer, penulis, lirik, penggubah lagu, pemuzik, jurutera bunyi yang semuanya adalah sahabat dan teristimewa buat peminat yang setia hadir pada setiap saat. Prasasti Seni ini perjuangan yang belum tamat. Salam Keikhlasan.

Ulasan
Lain dari kebiasaan. Inilah yang boleh saya katakan tentang Prasasti Seni. Pertama kali mendengar keseluruhan album ini, Dialah Di Hati nyata mendahului sebagai lagu 'favourite'. Namun kali kedua.....sukar ditentukan, yang mana satu jadi pilihan pertama? Kesemuanya menarik, punya kelebihan dan daya tarikan tersendiri.

Nyata percubaan mengalih konsep menerusi EMAS dapat diterima umum. Sebagai lanjutan, Prasasti Seni menampilkan kelainan yang lebih ketara. Dengan konsep yang lebih segar dan matang melalui pilihan lagu pelbagai genre.

Umpama 'nafas baru', hampir kesemua lagu yang dimuatkan kali ini lari dari konsep biasa album Siti. Lega rasanya apabila tidak ada lagi lagu-lagu ala melankolik yang umpama lagu wajib dalam setiap album Siti (lihat ulasan album terdahulu, anda akan tahu lagu apa yang saya maksudkan).

Persembahan Siti tetap menyerlah dengan permainan vokal yang mantap dan penuh penghayatan. Gaya vokal Siti pada beberapa lagu kali ini mengingatkan saya kepada album sulungnya. Saya pernah sentuh tentang stail nyanyiannya itu dalam ulasan yang lalu dan berharap Siti kembali dengan gaya begitu. Yeaa! setelah sekian lama, Siti kembali dengan vokal yang nyaring, lantang dan gemersik... menambah mantapkan lagi vokalnya yang semakin matang.

Satu lagi kelebihan Siti ialah... lain lagu, lain cara nyanyiannya. Cuba bandingkan vokalnya dalam lagu Pendirianku dengan Pejam Matamu, ada perbezaan?

Ku Menunggu pilihan utama saya. Lagu ini 'mewah' dari segala aspek. Vokal yang menyerlah, melodi yang indah, lirik yang padat dan susunan muzik yang 'cantik'. Bermula dengan instrumen solo, perlahan-lahan meningkat hingga sampai ke rangkap korus, diiringi orkestra. Dengan melodi yang begitu tentunya agak sukar untuk dibawa, namun Siti telah berjaya melagukannya dengan tenang dan terkawal. Lagu ini mengingatkan saya pada gaya persembahan pentas Siti sejak akhir-akhir ini yang lebih menekankan aspek vokal dan ala-ala unplugged.

Cinta Tak Berganti
cukup menarik. Melodinya lembut, romantis dan 'selesa' di pendengaran. Pertama kali dengar, terus masuk dalam senarai favourite song. Sudah lama saya ingin mendengar Siti berlagu seperti itu, dan inilah hasilnya....puas hati.

Dialah Di Hati
benar-benar melekat di hati ini. Liriknya jika diamati sebenarnya menggambarkan situasi dan rasa hati Siti sendiri. Apabila digabungkan dengan melodi yang kuat dan vokal yang mantap, ia jadi benar-benar menyerlah. Aidit bijak memanipulasi sepenuhnya vokal Siti, terutama pada rangkap korusnya.

Inginkan kelainan? Cahaya Seribu Liku, lari dari kebiasaan. Pasti ramai yang tidak menyangka Siti akan menyanyikan lagu seperti ini. Tapi inilah lagu rancak yang paling menarik perhatian saya. Intro yang kreatif, susunan muzik yang menarik dengan 'drum beat' yg segar, ada ala-ala 'fairy tale', ada ala-ala rock.

Seindah Biasa, satu lagi lagu pilihan saya; segar dan memikat. Melodinya mudah diingat dan selesa di telinga, walau pertama kali mendengarnya. Elemen stringnya menjadikan lagu ni segar dan bebas.

Sakti hebat! Dengan durasi melebihi 6 minit (dikira panjang bagi sebuah lagu solo), melodi syahdu ini menyerlah dengan kekuatan vokal dan kebijaksanaan Siti mempelbagaikan intonasi dan mood dengan penuh penghayatan. Liriknya, walaupn ringkas, namun kedengaran puitis dan memberi maksud yang amat mendalam. Hayatilah dengan sepenuh jiwa.

Pengaruh rock alternatif memang identiti Along, namun sekali lagi, elemen string daripada petikan gitar dan gesekan celo telah mencantikkan persembahan Pejam Matamu hingga kedengaran bebas dan relaks.

Ingat Ku Milikmu versi Juara Lagu? Pendirianku memberi peluang kepada Siti meluahkan kreativitinya dengan mencuba lagi konsep yang sama. Korus yang 'catchy' dan 'advance' menjadi daya penarik lagu ini selain keupayaan Siti bermain dengan vokalnya sehingga kedengaran aggresif sebagaimana kehendak lirik. Oppss, tak lupa ber'rap' serangkap!

Melegakan saya apabila Helen Yap tidak lagi menampilkan irama ala Engkau Bagaikan Permata atau Ku Yakini, sebaliknya irama sentimental Kembalikan Indah yang sememangnya indah di pendengaran.

Lagu Rindu
jelas kedengaran milik Yasin, bagaikan satu trademark. Saya menjangkakan lagu ini akan diberi unsur pop yang lebih kuat sepertimana Siti pernah persembahkannya secara live buat pertama kali dulu. Namun, Yasin masih kebal dengan elemen timur tengahnya...

Apapun, Ayyi zaman... ayyi makan bakal jadi sebutan dan pastinya akan tetap segar di ingatan.

Ajai
pula kembali memberikan lagu sentimental. Namun kali ini bukan lagu cinta antara kekasih, sebaliknya berunsur kasih sayang dan penghargaan untuk wanita dalam Hanya Dirimu. Kekuatan lagu ini ialah pada liriknya. Melodinya pula sederhana namun tenang dan mendamaikan. Sesuai jika dijadikan lagu tema Hari Wanita atau Hari Ibu!

Saya pernah mengulas tentang prolog dan monolog dalam lagu Oda Bumi Anbia, album yang lalu... "alangkah bagusnya kalau Siti sendiri yang berprolog dan bermonolog". Nampaknya harapan saya tertunai. Siti melakukannya sebagai pembuka kata dan penutup bicara. Walaupun masih malu-malu dan kurang 'perasaan', mesejnya tetap kesampaian.

Sesungguhnya Siti telah cuba menampilkan yang terbaik dari satu album ke satu album. Walaupun sedar, kehendak dan citarasa setiap orang berbeza, perubahan demi perubahan tetap dilakukan bagi memenuhi kehendak semua pihak semaksima mungkin.

Dan sesungguhnya Prasasti Seni telah membuktikan kesungguhan dan keprihatinan Siti terhadap kehendak dan peredaran semasa. Inilah yang saya harapkan selama ini. Album Siti semakin hari semakin memenuhi citarasa. Ikhlas.... inilah kali pertama saya sukakan semua lagu dalam satu album!

Terima kasih dan tahniah! Prasasti Seni adalah manifestasi kewujudan Siti dipersada seni... "bintang pun setuju!"

Selain diisi dengan 11 lagu, sebagai bonus untuk pembeli versi CD, disertakan VCD Introduksi Prasasti Seni yang memperlihatkan Siti bercerita tentang latar belakang setiap lagu. Turut dimuatkan klip video lagu Pejam Matamu.

EMAS

Album
E.M.A.S

Penerbit

Aubrey Suwito, Helen Yap, Zulkefli Majid, Aidit Alfian, Azmeer, Zuraini, Julfekar, Ajai & Wong

Lagu
Bukan Cinta Biasa (Dewig & Siti Nurhaliza/Dewig & Siti Nurhaliza)
Debaran Cinta (Zuraini/Faridah A.Razak & Siti Nurhaliza)
Untuk Selamanya
(Julfekar/Rashid S & Julfekar)
Ku Yakini
(Helen Yap/Siti Nurhaliza)
Oda Bumi Anbia
(Mat S.W/Ad Samad)
Janji Kasih
(Aidit Alfian/Siti Nurhaliza)
Sebenar Cinta (Ajai/Siti Nurhaliza)
Airmata Ibu
(Aiman/Ad Samad & Tanty)
Ku Milikmu
(Zuraini/M.Zulkifli & Siti Nurhaliza)
Di Sini Ku Berjanji
(Azmeer/Azmeer)
Lirik lagu...



Intro Siti
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Meleraikan penantian dengan satu kehadiran. Mulus warna emas mematangkan diri menguak rindu menutup ruang ragu.

Memukau dengan bahasa jiwa beralun dengan irama semesta. Mendengar dengan hati, menyelusuri suara biar tidur terus bermimpi. Esok tika jaga, kau akan tersenyum bahagia.

Syukur Alhamdulillah dan Siti amat berasa gembira kerana album Siti kali ini menemui anda lagi. Terimalah EMAS sebagai tanda kasih dan ingatan Siti kepada anda yang tidak pernah jemu memberi sokongan dan kekuatan dalam kerjaya Siti.

EMAS (Edaran Muzik Aspirasi Semasa) terhasil di atas pengamatan Siti mengenai peredaran arus muzik semasa. Saban hari saban tahun, citarasa semakin berubah dan Siti juga harus mencari idea-idea yang bersesuaian agar setiap album yang Siti keluarkan dapat diterima oleh semua pihak.

Siti amat berharap album ini mampu memenuhi citarasa anda dan memberi satu perubahan positif dalam kerjaya seni Siti.

Pada kesempatan ini juga Siti ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan dan kakitangan Suria Records, pihak pengurusan dan kakitangan SNP (M) Sdn. Bhd. dan para penerbit, komposer dan penulis lirik yang banyak berusaha untuk pembikinan album ini.

Siti juga barterima kasih kepada keluarga Siti serta pihak media cetak dan media elektronik yang banyak membantu Siti.

Siti juga tidak melupakan jasa baik penerbit-penerbit televisyen serta juruhebah-juruhebah radio di Malaysia, Singapura dan juga Indonesia yang sering bakerjasama dengan Siti selama ini.

Kepada para peminat yang Siti sayangi, terimalah album ini sebagai bukti kita masih ditakdirkan untuk terus menghargai di antara satu sama lain. Siti sayang anda semua.


Ulasan

Mungkin inilah jawapan terhadap kritikan positif yang mahukan Siti melakukan sesuatu demi meningkatkan kerjaya seninya - PEMBAHARUAN.

Bukan mudah untuk memenuhi citarasa semua golongan peminat. Setengah pihak mahukan pembaharuan, secara total lari daripada tipikal lagu-lagu Siti selama ini. Setengah pihak pula tetap inginkan konsep lagu-lagu yang sinonim dengan imej Siti Nurhaliza. Langkah bijak Siti? Gabungkan kehendak kedua-dua pihak. EMASlah hasilnya!

Janji Kasih, Debaran Cinta, Sebenar Cinta, Ku Milikmu dan Bukan Cinta Biasa adalah lagu-lagu nafas baru Siti, khusus bagi mereka yang inginkan pembaharuan. Sementara lagu-lagu lainnya adalah penambat hati penggemar-penggemar yang setia dengan lagu-lagu berkonsep ala Siti seperti selalu.

Janji Kasih, lagu yang paling "menyengat" di pendengaran saya. Daripada susunan muzik, melodi, lirik hinggalah persembahan vokal Siti, cukup segala perisa untuk membolehkan lagu ini menyerlah dan diterima ramai. Nyata buah tangan pertama Aidit untuk Siti amat membanggakan.

Bukan Cinta Biasa ketara sekali berbau "keIndonesiaan" (dah komposernya dari Indonesia, bukan sesuatu yang luar biasa!). Apa yang menarik pada lagu ini ialah gaya penyampaian Siti dan kelainan pada melodinya yang membuatkan lagu ini tidak jemu didengar. Susunan muziknya juga kemas dan indah. "Serampang dua mata", (strategi nak meluaskan pasaran di Indonesia agaknya), melodi dan liriknya diolah cantik untuk disesuaikan dengan selera rumpun Melayu. Satu inisiatif yang progresif.

Kalau ada yang membayangkan Ajai menyumbangkan lagu ala Kau Kekasihku atau Percayalah, kali ini menyimpang jauh sekali. Sebenar Cinta, irama yang rancak dan segar, dengan suntikan elemen jazz. Pertama kali mendengarnya, sudah tertawan... param... pam... pam! Nyata Ajai telah menemui formula dalam menyerlahkan kelainan idea ciptaannya untuk Siti melalui gubahan yang berkonsep ala Keliru (dendangannya bersama Nurul). Pembaharuan yang cukup baik untuk Siti.

Debaran Cinta, irama rancak yang advance dan punya tarikan tersendiri, kedengaran "bebas" dan "relaks". Menariknya, gaya penyampaian Siti juga lebih bersahaja. Ku Milikmu pula lebih kuat ke arah R&B masa kini, "catchy" dan mudah diingati. Walaupun sentuhan komposer yang sama, hasilnya tetap dapat dibezakan.

Ku Yakini, satu lagi lagu rancak. Berbekalkan kelainan yang dimulai dengan korus, lagu ini sebenarnya tak banyak bezanya dengan lagu-lagu hasil ciptaan komposer yang sama sebelum ini. Cuma susunan muziknya lebih pantas dan bertenaga. Selain liriknya yang lebih merupakan luahan hati Siti sendiri terhadap situasi kehidupannya hari ini (ahaa!).

Oda Bumi Anbia, kedengaran agak "menggerunkan" (huhh?). Mendengarnya boleh membangkitkan rasa insaf terhadap situasi dunia hari ini. Gabungan gubahan muzik, lirik, suara latar dan penghayatan Siti berjaya meruntun perasaan yang mendengar, untuk menghayati mesej cintakan kedamaian, jauhi kezaliman yang ditampilkan. Cuma...kalaulah Siti sendiri yang berprolog/monolog.... lebih istimewa lagi.

Meletakkan lagu berkonsep keamanan sejagat seperti ini dalam album komersil adalah satu percubaan berani. Permulaan ini wajar dicontohi oleh artis-artis lain.

Untuk Selamanya dan Airmata Ibu, lagu tema daripada filem "Laila Isabella" dan telemovie "Airmata Ibu", walaupun berkonsep ala Siti seperti biasa - syahdu dan mendayu, tetap selesa dipendengaran. Lagu-lagu inilah yang saya katakan sebagai penambat untuk mereka yang setia dengan lagu-lagu yang sinonim dengan imej Siti selama ini. Oppsss... lagi satu, Di Sini Ku Berjanji, juga tak lari daripada melankolik cinta, hasil kesinambungan "resipi" Purnama Merindu dan Nian Di Hati. Bagi yang sukakan dua lagu terdahulu (PM & NDH) tentunya akan tertarik dengan lagu ini (DSKB).

Bagi saya, perbezaan yang paling ketara dalam album Siti kali ini ialah, pertama, pembahagian (samarata) konsep lagu-lagu yang dipersembahkan bagi dua kelompok pendengar yang berbeza (seperti yang saya katakan pada awal ulasan).

Kedua, konsep gubahan muziknya. Lagu-lagu sentimental dihidupkan dengan kekuatan gubahan stail orkestra. Sementara lagu-lagu rancak dimeriahkan dengan susunan muzik elektronik dan moden. Namun kedua-dua konsep ini mampu diseimbangkan oleh persembahan vokal yang mantap dan bertenaga.

Tanpa nama-nama yang biasa di belakang tabir album pop Siti sebelum ini, seperti Ramli MS dan Adnan Abu Hassan, EMAS lari sedikit dari aliran biasa. Namun apa yang pasti, kali ini Siti lebih bersungguh-sungguh menyuntik pembaharuan yang diyakini mampu memenuhi citarasa semua pihak. Kebolehan penulisan liriknya juga semakin menyerlah.

Terima kasih Siti. Album ini memenuhi citarasa saya... (Ku Yakini.. yeaah!).

Tahniah juga kepada pereka konsep & mereka yang terlibat dengan kerja-kerja grafik kulit album. Cantik dan berkualiti!

Bukan Cinta Biasa (Dewig & Siti Nurhaliza/Dewig & Siti Nurhaliza)
Debaran Cinta (Zuraini/Faridah A.Razak & Siti Nurhaliza)
Untuk Selamanya
(Julfekar/Rashid S & Julfekar)
Ku Yakini
(Helen Yap/Siti Nurhaliza)
Oda Bumi Anbia
(Mat S.W/Ad Samad)
Janji Kasih
(Aidit Alfian/Siti Nurhaliza)
Sebenar Cinta (Ajai/Siti Nurhaliza)
Airmata Ibu
(Aiman/Ad Samad & Tanty)
Ku Milikmu
(Zuraini/M.Zulkifli & Siti Nurhaliza)
Di Sini Ku Berjanji
(Azmeer/Azmeer)

Sanggar Mustika

Album
SANGGAR MUSTIKA

Penerbit

PakNgah, Ramli MS, S. Atan


Lagu
Nirmala (Pak Ngah/Che'Kem)
Joget Senyum Memikat (S.Atan/Nurul Asyiqin)
Panas Berteduh Gelap Bersuluh
(Khir Rahman/Siti Nurhaliza)
Bisikan Hati
(Haimon Abd. Rahman)
Badarsila
(Suflan Faidzal/Lokgha)
Syair Kamelia
(S.Atan/Nurul Asyiqin)
Di Batas Waktu (Naim/Habsan Hassan)
Sulam Sembilan
(Pak Ngah/Lokgha)
Bunga Melor
(P. Ramlee/S. Sudarmaji)
Kurik Kundi
(Pak Ngah/Nurul Asyiqin)
Lirik lagu..

Intro Siti
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Salam wasilah buat semua peminat Siti yang masih menantikan kemunculan album tradisional terbaru daripada Siti. Alhamdulillah, berkat doa dan restu semua pihak, album ini menemui anda juga akhirnya.

Kemunculan "Sanggar Mustika" ini memberi makna baru dalam perjalanan seni Siti. Kerjasama tiga orang tenaga penerbit iaitu Pak Ngah, Abang Ramli MS dan Uncle S. Atan benar-benar memberikan Siti keyakinan untuk terus memperjuangkan irama yang kita sanjung tinggi ini.

Seribu penghargaan buat semua pencipta lagu dan penulis lirik yang telah memberikan karya besar anda kepada Siti untuk dikongsi bersama masyarakat... Setiap karya anda telah menghidupkan semula budaya turun-menurun dan insyaAllah Siti akan terus berjuang untuk memberikan nyawa kepada setiap ilham yang tercipta.


Tidak lengkap kata jika tidak mengucapkan setulus penghargaan dan terima kasih kepada keluarga yang tidak pernah jemu di belakang Siti, serta pengurusan syarikat rakaman SRC dan seluruh kakitangannya. Tidak lupa juga Siti ucapkan terima kasih kepada pihak media cetak dan media elektronik di atas sokongan yang kalian berikan. Begitu juga dengan usaha tenaga di sebalik tabir pembikinan album ini seperti jurutera bunyi dan para pemuzik yang turut sama membantu. Terima kasih.

Buat peminat Siti tidak kira di mana sahaja anda berada, lagu-lagu Siti masih lagi bernafas kerana ada sokongan anda semua yang masih mempercayai bakat Siti.

Tidak lupa Siti selitkan 2 buah lagu nostalgia sebagai menghargai perjuangan mereka yang terlebih dahulu berbakti kepada dunia seni iaitu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee (Bunga Melor) dan Toh Puan Rafeah Buang (Bisikan Hati). Semoga lagu ini akan memberi kekuatan kepada Siti untuk terus memperjuangkan seni kepada masyarakat.

Akhir kata, terimalah "Sanggar Mustika" dan selamat terhibur. Salam Wasilah.


Ulasan

Ada yang mengatakan Sanggar Mustika tiada pembaharuan dibandingkan dengan album tradisional Siti yang lalu. Namun setelah berkali-kali mendengarnya, bagi saya album ini banyak perbezaannya. Paling ketara ialah kemasukan elemen muzik timur tengah pada beberapa lagu. Ada dua lagu yang nyata punya unsur ini, iaitu Nirmala dan Badarsila.

Saya dapat membayangkan yang album ini dibuat penuh teliti. Perubahan paling ketara dalam album ini berbanding album lalu ialah susunan/gubahan muzik bagi keseluruhan lagu. Alunan biola dan tiupan seruling yang mengasyikkan, menjadi penyeri bagi irama segar seperti Badarsila, Syair Kamelia dan Sulam Sembilan, selain sebagai penambah sayu dalam lagu Di Batas Masa.

Paling menarik ialah susunan muzik untuk lagu Bunga Melor. Lagu ini simpel sebenarnya, tapi susunan muziknya menjadikan ia begitu istimewa. Ramli MS telah memainkan peranan yang besar dalam membawa perubahan ini. Irama yang sememangnya segar diperindahkan lagi dengan eleman muzik yang sinonim dengan gaya gubahan Ramli MS yang kemas dan penuh teliti (teringat lagu-lagu yang mengiringi persembahan gimrama waktu Konsert Mega Siti, tahun lalu - menarik sekali).

Lagu yang paling menarik perhatian saya ialah Panas Berteduh, Gelap Bersuluh. Susah nak digambarkan, tapi gubahan muziknya "catchy" dan melodinya "sweet"(?) errr.. kira sesuailah kalau dilagukan untuk semua golongan terutama kanak-kanak, lebih-lebih lagi ia berunsurkan nasihat.

Kurik Kundi lagu yang paling istimewa dalam album ini. Ketara sekali ini lagu Pak Ngah! Percubaan menggabungkan pelbagai loghat dan irama dari beberapa negeri menjadikan lagu ini menarik - walaupun ada sedikit seperti lagu medley. Lagu ini tentunya memudahkan Siti dalam membuat persembahan di mana-mana majlis yang berkonsepkan kebudayaan dan promosi pelancongan... tak susah nak memilih lagu lagi!

Lagu Nirmala tentunya menjadi tarikan utama album ini. Iramanya segar, susunan muziknya "bersih" - tidak riuh rendah (seperti lagu Balqis). Mesej di sebalik liriknya turut menjadi perhatian. Persembahan vokal Siti dalam lagu ini juga agak berlainan dibandingkan dengan lagu-lagu lain. Saya tak tahu tentang key atau pitching tapi yang pasti, tak sama dengan lagu lain, contohnya lagu Bisikan Hati.

Bisikan Hati - irama keroncong yang ada "soothing sound", relaks dan santai. Saya memang suka keroncong(uhh?). Bagi saya keroncong punya ciri yang sama dengan blues - asyik dan mengkhayalkan! Lagu ini berentak semi-sentimental, membolehkan pendengar menghayati lirik dan alunan suara Siti yang lemak merdu - disukai ramai!

Seperti biasa sebuah album tradisional tidak lengkap jika tidak ada lagu joget. Kali ini Joget Senyum Memikat ciptaan S.Atan juga - mungkin sambungan kepada Joget Kasih Tak Sudah album lalu!

Secara jujur saya katakan, sebenarnya agak sukar juga saya nak mengenal pasti jenis irama atau rentak setiap lagu dalam album ini. Perbezaannya jadi tidak begitu ketara disebabkan gubahan muziknya yang bercirikan elemen yang hampir sama. Agaknya itulah konsep album Siti kali ini.

Bagi yang suka irama tradisional asli, mungkin lebih tertarik dengan album pertamanya yang berlenggok asli tulen atau album kedua yang lebih menyerlah kemampuan vokal Siti dalam pelbagai rentak. Namun bagi yang inginkan sesuatu yang bernafas baru dan mengikut kehendak semasa, tidak diragukan album ini adalah pilihan yang tepat. Dijamin, anda tidak akan rugi memilikinya!

Sponsors

The Best Of Siti Nurhaliza

Album
THE BEST OF SITI NURHALIZA

Penerbit/Komposer/Penulis Lirik

Johari Teh, Fauzi Marzuki, Helen Yap, Azmeer, Zulkefli Majid, Adnan Abu Hassan, Ajai, LY, Azlan Abu Hassan, Salman

Lagu
Dalam Taman Syahdu (Johari Teh/Yaries)
Gelora Kasih
(Fauzi Marzuki/Lukhman S)
Engkau Bagai Permata
(Helen Yap/Sham Amir Hussain)
Nian Di Hati
(Azmeer/Azam Dungun)
Seribu Kemanisan
(Zulkefli Majid/Hazlan Abu Hassan)
Gelora Asmara
(Adnan Abu Hassan/Hazida)
Kau Kekasihku
(Ajai/Alam Maya)
Kesilapanku Keegoanmu
(LY/Baiduri)
Satu Cinta Dua Jiwa
(Azlan Abu Hassan/Ucu)
Purnama Merindu
(Azmeer/Lukhman S)
Laguku Di Hatimu
(Salman/Siti Nurhaliza)
Dairi Hatimu
(Ferdi Khalid NS)


Ulasan
Ini adalah album kompilasi pertama lagu-lagu dari kebanyakan album Siti Nurhaliza. Setelah menanti sekian lama akhirnya muncul juga album kompilasi "lagu-lagu terpilih" Siti. Saya katakan "lagu-lagu terpilih" kerana...secara jujurnya saya kurang pasti, apakah kriteria pemilihan lagu-lagu yang dimuatkan di dalam album ini.

Diakui, lagu-lagu seperti Engkau Bagai Permata, Nian Di Hati, Kau Kekasihku, Satu Cinta Dua Jiwa dan Purnama Merindu memang selayaknya disenaraikan, kerana lagu-lagu ini telah diiktiraf sebagai antara lagu-lagu terbaik Siti, jika dinilai melalui kemenangan dalam mana-mana pertandingan lagu (amat mengejutkan apabila lagu Jerat Percintaan tidak tersenarai!).

Lagu-lagu lain yang dipilih mungkin turut dianggap sebagai yang terbaik, cuma ia kurang popular dan tidak pernah diuji dalam mana-mana pertandingan. Atau ia mungkin antara lagu-lagu kegemaran Siti sendiri.

Apapun, saya tetap berpendapat album The Best Of Siti Nurhaliza ini sepatutnya memuatkan keseluruhan lagu Siti yang telah diiktiraf sebagai terbaik secara rasmi. Justeru, lagu-lagu seperti Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Cindai dan Balqis tidak seharusnya diabaikan.

Sahmura

Album
SAHMURA

Penerbit/Komposer/Penulis Lirik

Pak Ngah, S.Atan, To'Ki, Rosli Selasih

Lagu
Balqis (Pak Ngah/Hairul Anuar Harun)
Joget Kasih Tak Sudah
(S.Atan/Nurul Asyiqin)
Ya Maulai (Pak Ngah/Hairul Anuar Harun)
Pawana Sampaikan Salam (Arid/Lokgha)
Mahligai Permata
(Khir Rahman/Megamutiara)
Masri Manis (Khir Rahman)
Berpantun Kasih (S.Atan/Siso Kopratasa)
Zapin Cinta Asmara
(To'Ki/Rozek)
Canggai
(Rosli Selasih/Tok Wan)
Keroncong Si Endang Endong
(Raja Kobat)
Lirik lagu..

Intro Siti
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah...Pabila album ini berada di genggaman kalian, seharusnya kita bersyukur kerana abad berganti tetapi irama tradsional kita masih terus bernadi.

Amanat dipikul ini merupakan amanat perintis bagi memastikan pada abad ke 21 ini, khazanah budaya kita terus kekal dan tidak mati ditelan zaman.

Dalam dunia serba canggih ini, kita masih mampu memelihara budaya yang terbina zaman berzaman. Ia juga menjadi perlambangan bangsa kita yang disanjung tinggi dengan adab terpuji serta kehalusan seni yang sukar dinilai dengan kata-kata.

Terimalah "permulaan untuk seribu tahun lagi-SAHMURA" daripada Siti. Apakah untuk seribu tahun akan datang, masih ada album tradisional kita? Inilah permulaannya untuk seribu tahun lagi.

Terima kasih penuh berbudi buat semua pihak yang menjayakan penerbitan album ini terutamanya Suria Records, para penerbit, pencipta lagu, penulis lirik, pemain muzik, penyanyi latar dan individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi memastikan "SAHMURA" di pasaran. Pada semua media elektronik dan cetak, terima kasih atas sokongan anda.

Kitalah yang memulakan dan jangan kita yang mengakhiri. Biarkan ia kekal...laksana Sahmura yang terus menyinar.

Salam ikhlas daripada Siti dan dapatkan SAHMURA yang asli. Terima kasih.

Ulasan
Secara jujurnya saya berpendapat SAHMURA adalah album yang benar-benar menguji keupayaan vokal Siti. Persembahan vokalnya berjaya dipelbagaikan mengikut kehendak melodi dan rentak lagu. Paling menarik alunan lagu Keroncong Si Endang Endong - ala penyanyi Indonesia.

Tiada pilih kasih...saya sukakan kesemua lagu dalam album ini. Setiap lagu ada kekuatan yang tersendiri.

Balqis lagu yang paling mendapat perhatian. Iramanya segar dari mula sampai habis. Siti berjaya mengeksploitasi suaranya dengan baik, terutamanya pada korus. Namun pada saya lagu ini begitu riuh rendah. Malah pada rangkap tertentu, Siti kedengaran seperti terpaksa berusaha lebih untuk melontarkan vokalnya agar tidak tenggelam oleh muzik dan suara latar. Apapun lagu ini tetap menarik dan tidak jemu didengar.

Ya Maulai saya rasakan mempunyai melodi yang lebih menarik. Walaupun masih berirama agak rancak, lenggok zapinnya menyerlahkan keindahan melodi dan alunan suara Siti. Tidak hairanlah, lagu ini turut mendapat tempat di hati pendengar.

Zapin Cinta Asmara paling menarik perhatian saya. Lagu zapin ini walaupun agak simpel dan masih ada unsur sahutan (kebanyakan lagu dalam album ini ada unsur ini), ia kedengaran unik dan tersendiri berbanding lagu-lagu lain. Sayangnya, sehingga kini Siti belum pernah mendendangkannya (setahu saya..) dalam mana-mana persembahannya!

Lagu yang paling menceriakan sebenarnya Masri Manis. Irama dan gubahan muziknya berjaya menimbulkan mood yang segar dan ceria, seperti suasana keseronokan pesta di kampung yang disertai oleh semua peringkat umur. Paling menarik, suara sahutannya menggunakan vokal kanak-kanak!

Satu-satunya lagu irama perlahan ialah Pawana Sampaikanlah Salam. Lagu berunsur nasihat ini berjaya menyerlahkan kemantapan vokal Siti dalam mengalunkan irama yang lembut dan berlenggok.

Rata-rata lagu dalam album ini mengajak pendengar menari. Tidak kiralah irama zapin, joget, samrah, masri atau keroncong. Sememangnya album ini menghimpunkan pelbagai irama tradisional yang masih segar dan tetap diterima. Setiap irama amat ketara perbezaannya. Secara tidak langsung ia merupakan medan ujian untuk Siti menyerlahkan kebolehannya dalam menyampaikan apa saja rentak dan irama yang diserahkan kepadanya. Ternyata Siti telah berjaya melepasi ujian itu!

Melalui album ini, keupayaan vokal Siti memang tidak perlu dipertikaikan lagi. AIM 2001 turut bersetuju ...dan untuk kali ketiga berturut-turut mengiktiraf vokal Siti sebagai yang terbaik. Malah Sahmura juga diangkat sebagai Album Pop Etnik terbaik. Syabas Siti!

Pancarwarna

Album
PANCAWARNA

Penerbit

Azmeer, Zulkefli Majid, Helen Yap, Adnan Abu Hassan, Siso, Mark Wong, Ajai, Ross Ariffin, Alfa/Rummie & Salman


Lagu
Nian Di Hati (Azmeer/Azam Dungun)
Seribu Kemanisan (Zulkefli Majid/Hazlan Abu Hassan)
Engkau Bagaikan Permata (Helen Yap/Sham Amir Hussain & Siti Nurhaliza)
Salju KasihNya (Adnan Abu Hassan/Hani MJ)
Lelaki (warkah seorang anak) (Siso Kopratasa/Habsah Hassan)
Kedamaian (Mark Wong/Hani MJ)
Kau Kekasihku (Ajai/Alam Maya)
Kurniaan Dalam Samaran (Ross Ariffin/S. Amin Shahab)
Langkah Di Persada (Rickie Koes/Tisya)
Lembaran Cinta Pudar (Salman/Habsah Hassan)

Lirik lagu..

Intro Siti
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Salam pertemuan penuh mesra
Inilah album bergalang rasa, berganti cerita
Tuturnya adalah suara
Istilahnya adalah kata-kata
Nan tinggi harapan dan cita
Untuk pencinta irama semasa
Resapilah hingga ke lubuk jiwa
Hayatilah ia sepenuh rasa
Akan hilang sepi, akan lenyap lara
Lahirnya album ini amat bermakna
Impinan di dalam lama tercipta
Ziarahilah irama dendanganku
Agar kita dekat, kita rapat walau mata tak terlihat
Terima kasih keluarta Siti dan keluarga SRC
Atas kepercayaan yang diberi
Rakan-rakan media massa dan elektronik
Untuk penerbit, penulis lirik, penyanyi latar, penyusun muzik, juruadun dan pemuzik undangan
Dj-dj , penerbit-penerbit, peminat di Malaysia dan.....
Indonesia, Singapura, Brunei dll
Nescaya kerjasama anda akan membawa kejayaan bersama
Pastikan anda membeli album Siti yang "original"
Kesayanganku adalah kamu (peminatku)


Ulasan

Kau Kekasihku, lagu yang paling menyerlah dalam Pancawarna. Saya akui, tanpa disedari, lagu ini berjaya menarik perhatian saya untuk mula memberi perhatian kepada Siti Nurhaliza dan lagu-lagu popnya. Difahamkan ini adalah lagu pertama sumbangan Ajai kepada Siti. Melodi ciptaan Ajai nyata serasi dengan penyampaian dan penghayatan Siti, menjadikan lagu ini begitu menawan dan bertenaga.

Lagu lain yang tidak kurang menarik termasuklah Salju KasihNya dan Seribu Kemanisan. Jika diteliti album kali ini bertambah melankolik dengan lebih banyak lagu berirama sentimental dan mendayu berbanding album terdahulu. Contohnya lagu Kurniaan Dalam Samaran yang begitu payah sekali lenggoknya selain Nian Di Hati yang lebih berat iramanya berbanding Purnama Merindu dahulu.

Kelainan cuba ditampilkan melalui lagu Lembaran Cinta Pudar. Tanpa banyak berlagu seperti biasa, Siti sebaliknya bermadah/bermonolog dan mencurah rasa hati melalui sepucuk warkah. Saya percaya Siti telah mencuba sebaik mungkin untuk menghayatinya dengan penuh perasaan. Namun begitu penyampaiannya seperti agak tergesa-gesa, jadi hilanglah sedikit "feel" syahdu yang sepatutnya diluahkan...pendapat saya.

Kehadiran Engkau Bagaikan Permata sekurang-kurangnya dapat menukar sedikit mood kepada lebih ceria. Walaupun lagu ini berirama rancak, Siti turut menampilkan vokal yang bertenaga terutama pada korusnya.

Secara keseluruhannya, yang paling ketara dalam album ini ialah dari segi kemantapan vokal Siti yang semakin solid dan menyerlah. Kesemua lagunya sama ada yang berirama sentimental atau rancak memerlukan Siti bermain dengan kawalan vokal yang pelbagai. Nyata Siti telah serasi dengan perubahan vokalnya yang mula ketara sejak album Adiwarna. Tidak hairanlah melalui album ini vokal Siti untuk kali keduanya diiktiraf sebagai yang terbaik, bagi tahun 2000! Tahniah!

Safa

Album
SAFA

Penerbit

Adnan Abu Hassan, Zulkifli Majid, Helan Yap, Azmeer, Pak Ngah, Ahmad Izham Omar, Ajai, Wong & Aubrey Suwito


Lagu
Azimat (Adnan Abu Hassan/Hazida)
Jalinan Cinta (Helen Yap/Siti Nurhaliza, Haslan)
Percayalah (Ajai/Siti Nurhaliza)
Lakaran Kehidupan
(Mat SW/Siti Nurhaliza)
Kudus Sinarmu (Pak Ngah/Ce'kem)
Kau Ku Sayang (Pot)
Beradu Di Khayalan
(Aubrey/Tisya)
Indah Percintaan
(Nyzar/M.Zulkifli)
Milikmu Teristimewa
(Azmeer/Habsah Hassan)
Bicara Manis Menghiris Kalbu
(Aiman/Lukhman S)
Lirik lagu..

Intro Siti
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Setinggi ucapan terima kasih Siti ucapkan kepada pihak pengurusan SRC, kakitangan SRC dan PRO studio, komposer, penulis lirik, penggubah lagu, pemuzik, penyanyi latar dan semua yang terlibat dalam pembikinan album terbaru Siti..."SAFA".

Tidak dilupakan jua kepada pihak media cetak dan media elektronik di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, Singapura, Brunei dan di mana saja album ini dapat diperolehi...setiap sokongan anda amat Siti hargai.
Buat keluarga dan peminat Siti...hayatilah...
S = Seputih hati
I = mpian suci
T = Tanda kasihku
I = Istimewa buatmu...
N = Naluriku sentiasa bersamamu
U = Untuk sama-sama mengharungi
R = Rentasi dan rempuhi
H = Halangan dan dugaan
A = Atas nama keikhlasan
L = Lalu kita sama-sama menyemai
I = Ikatan tak terurai...
Z = Zaman indah bersama
A = Akan kekal buat selama-lamanya...


Ulasan

Sekali dengar tentulah lagu Percayalah yang lebih menarik perhatian. Namun setelah mendengar keseluruhan lagu beberapa kali, saya berpendapat lagu Kau Ku Sayang dan Bicara Manis Menghiris Kalbu tidak kurang hebatnya.

Kau Ku Sayang berlainan sekali dengan lagu lain. Simpel, tidak memerlukan banyak instrumen, tapi penghayatan Siti cukup baik, menjadikan lagu ini kedengaran romantis dan indah sekali. Sayangnya ia lagu yang paling pendek!

Saya suka mendengar alunan biola. Bicara Manis Menghiris Kalbu menyerlahkan alunan biola yang merdu dan mendayu. Inilah yang istimewanya pada lagu ini. Gubahan muziknya juga menarik dan teliti.

Percayalah! Ya, saya percaya... lagu ini banyak keistimewaannya. Sekali dengar sudah cukup membuatkan saya tertarik. Intro yang lembut dan korus yang lantang adalah "trademark" kepada kebanyakan hasil gubahan sipencipta. Penghayatan Siti begitu baik dan berjaya menjiwai lagu ini dengan penuh perasaan, mungkin sudah sebati dengan lirik yang dihasilkannya sendiri.

Beradu di khayalan tidak berkonsep balada ala Siti seperti biasa. Sebaliknya ia lebih ke arah R&B. Namun Siti telah cuba menggayakan mengikut lenggoknya sendiri. Satu percubaan yang baik. Begitupun, apabila dipersembahkan sekali lagi dengan tajuk "
Don't Put My Heart On Hold", ia menjadi lebih "power" - mungkin irama ini lebih sesuai dilagukan dalam bahasa Inggeris.

Irama segar tidak sekali-kali dilupakan. Lakaran Kehidupan lebih menarik perhatian saya berbanding Jalinan Cinta atau Indahnya Percintaan, terutama pada intronya.

Siti pernah berkata, album ini perlu didengar berkali-kali barulah dapat merasai keistimewaanya. Benar sekali! Gabungan melodi, susunan muzik, penghayatan dan persembahan vokal Siti dalam album ini mantap dan serasi. Lega rasanya apabila lagu-lagu sentimental dalam album ini tidak terlalu mendayu-dayu seperti dalam album Pancawarna.

Pada saya, Siti tidak perlu bergantung pada lagu yang mendayu untuk menyerlahkan kekuatan vokalnya. Berilah apa saja rentak, pasti akan jadi istimewa di tangannya!

Malaysia Book of Records/Seri Balas

Album
THE MALAYSIA BOOK OF RECORDS - Most Awards Won Artiste
Edisi Istimewa

Lagu
Jerat Percintaan (Adnan Abu Hassan/Othman Zainuddin&Hani MJ)
Mawarku
(Copyright Controlled)
Aku Cinta Padamu
(LY/Baiduri)
Cindai
(Pak Ngah/Hairul Anuar Harun)
We'll Be As One
(Azlan Abu Hassan/Ucu)
Purnama Merindu
(Azmeer/Lukhman S)
Hati Kama
(Pak Ngah/Hairul Anuar Harun)
Kau Kekasihku
(Ajai/Alam Maya)
Balqis (Pak Ngah/Hairul Anuar Harun)
Don't Put My Heart On Hold
(Aubrey Suwito)

Intro Siti
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

"Kejayaan yang dikecapi hari ini akan lebih bererti apabila menoleh kepada kepayahan masa lalu."

Siti bersyukur kehadrat illahi kerana memberikan Siti bakat yang boleh dikongsi bersama anda semua. Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini mempunyai cerita dan sejarah yang tersendiri dalam karier bersama Suria Records.

Siti ingin berterima kasih kepada para komposer dan penulis lirik yang telah memberi karya yang cukup indah dan memberi ruang kepada peminat mengenali siapa Siti. Alhamdulillah, kerjasama kita bersama akhirnya membuahkan hasil yang begitu bermakna.

Buat peminat Siti, album ini sebagai tanda kasih Siti buat anda semua. Siti juga menghadiahkan anda dua buah lagu Inggeris yang anda nanti-nantikan selama ini. Harapan Siti agar percubaan ini memberi satu lagi ruang untuk Siti melangkah dalam bidang ini.

Salam Mesra Selalu.


Ulasan

Album ini dikeluarkan khas sempena pengiktirafan Siti sebagai "Most Awards Won Artiste" dalam "The Malaysia Book of Records." Waktu direkodkan, Siti memiliki 52 anugerah sepanjang 5 tahun penglibatan dalam bidang nyanyian. Tentunya album ini menyimpan sejarah yang amat bermakna bagi Siti. Bagi peminat, ia merupakan satu bonus yang dinanti-nantikan.

Manakan tidak, kesemua lagu yang dimuatkan merupakan lagu-lagu yang telah memberi kejayaan kepada Siti dan sudah terbukti kualitinya. Pelbagai anugerah dan pengiktirafan telah diraih di dalam dan luar negara melalui lagu-lagu ini. Termasuklah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik Singapura, Anugerah Muzik Indonesia, Pertandingan Nyanyian Antarabangsa Pasifik Selatan (Australia) dan Pertandingan Nyanyian Festival Muzik Shanghai.

Tentunya kesemua lagunya telah diiktiraf sebagai yang terpilih dan terbaik. Tambahan pula ia diterbitkan dalam bentuk pakej istimewa dengan kualiti 24 Bit Processing Master Sonic. Tak rugi memilikinya. Terima kasih Siti!

Sejujurnya saya akui, tarikan utama yang mendorong saya membeli album ini ialah lagu Mawarku (inilah satu-satunya album Siti yang memuatkan lagu ini). Maklum saja, sewaktu lagu gandingan Siti dan 2By2 ini meledak di pasaran beberapa tahun lalu, saya belum menjadi peminat Siti. Dan tentunya belum ada kesungguhan untuk mendengarnya berkali-kali. Apapun, lagu ini pernah membuatkan saya terpegun dan tertanya-tanya, "sapa perempuan ni, dasat suara dia...!"

Pada saya, permainan vokal Siti dalam lagu ini cukup sempurna dan mengkagumkan hingga terleka mendengar dendangannya. Rasanya, waktu itu belum ada lagi penyanyi yang melaram vokal sebegitu rupa. Siti berani menyanyi ikut versi tersendiri, tidak sedikitpun mengikut penyanyi asal.

Gaya nyanyian seperti inilah yang paling menarik perhatian saya. Tapi sayang sekali, lama kelamaan style begitu semakin menghilang, mungkin untuk disesuaikan dengan konsep lagu. Apapun, dalam lagu-lagu tertentu, tak ada salahnya jika Siti kembalikan style begini, untuk album-album akan datang. Sekadar cadangan....

-----------


Album
SERI BALAS - bersama Noraniza Idris

Penerbit

Pak Ngah


Lagu
HATI KAMA (Siti & Noraniza) Pak Ngah/Hairul Anuar Harun
YA ALLAH YA SAIDI (Noraniza) Fadzil Ahmad/Megamutiara
KETAWA LAGI (Siti & Noraniza)
Copyright Control/Copyright Control
WALINONG SARI (Siti)
Copyright Control/Copyright Control
MERAK DISANGKAR (Noraniza)
Copyright Control/Nul Afdal
MUSALMAH MANIS (Siti)
Copyright Control/Rahim Jantan
PASIR SALAK (Noraniza)
Ku Zahir Ku Ahmad/Nur Afdal/J.Jamal
LENGGANG-LENGGOK (Siti & Noraniza)
Fadzil Ahmad/Hairul Anuar Harun
PULAU PISANG (Siti)
Copyright Control/Copyright Control
DONDANG DENDANG (Siti & Noraniza)
Pak Ngah/Hairul Anuar Harun

Intro Siti
Seribu ritma hamba lagukan, manakan sama budaya. Salam penuh senandung buat pendukung irama yang disanjung. Berbanggalah dengan irama budaya kerana kita adala nyawanya. Tanpa kita, irama ini akan hilang nadanya.

Alhamdulilah.... selepas Seri Mersing, percubaan Siti menyanyikan lagu melayu tradisional tidak dipandang asing. Setelah Cindai muncul, album terbitan khas ini pula menyusul.

Kepada penyanyi berpengalaman, Noraniza Idris atau kak Ani, Album ini album istimewa dan milik bersama. Peluang berpadu suara memberi sentuhan baru dalam beberapa lagu baru dan lama. Kita Boleh!!!!


Intro Noraniza Idris

Seri Balas nama diberi
Digilap-gilap nampak berkilat
Jikalau tidak bahasa dan budi
Apa guna kaya berdaulat .........

Salam syukur kehadrat Illahi, dengan izin dan limpah kurniaNya jualah dapat kita bersua lagi. Sungguh terdengar bersahut-sahutan sesekali berbisik apakah benar yang sedang kami dengar, namun tiada pernah kami berdiri megah mahu pun puas kerana nun disana masih jauh perjalanan yang harus kami tempuhi.

Kami sendiri berkira-kira bagaimana untuk memberi tahu mereka bahawa Irama Kita Irama Dunia. Buat yang dibelakang tabir sokonganmu amat besar maknanya, terima kasih tak terhingga buat semua yang menyokong menaikkan martabat Irama kita.

Kami yang bekerja, kami yang rasa.

Sponsors

Siti Nurhaliza 1 & 2

Album
SITI NURHALIZA

Penerbit

Adnan Abu Hassan


Lagu
Jawapan Di Persimpangan (Adnan Abu Hassan/Othman Zainuddin)
Mahligai Asmara
(Adnan Abu Hassan/Hani MJ)
Jerat Percintaan
(Adnan Abu Hassan/Othman Zainuddin)
Antara Waktu dan Usia
(Adnan Abu Hassan/Hani MJ)
Sempadan
(Adnan Abu Hassan/Hani MJ)
Sanggar Bayu
(Adnan Abu Hassan/Othman Zainuddin)
Cari-cari
(Fauzi Marzuki/Shahnaz)
Bicara Luka
(Fauzi Marzuki/Amran Omar)
Kerana Jelingan Mu
(Adnan Abu Hassan/Lukhman S)
Jalanan Berduri
(Peter Fam/Hani MJ)

Memperkenalkan Juara Bintang HMI '95
Kini sejarah pertandingan Bintang HMI telah mencatatkan satu lagi nama baru iaitu Siti Nurhaliza yang menjuarai pertandingan ini pada 23 Disember 1995 dengan mempertaruhkan lagu "Camar Yang Pulang" yang dipopularkan oleh Aishah.

Anak kelahiran Kuala Lipus, Pahang yang baru berusia 17 tahun ini sememangnya berbakat besar di dalam bidang nyanyian. Mempunyai suara yang cukup unik dan tidak keterlaluan jika dikatakan yang Siti Nurhaliza adalah antara penyanyi terbaik masa kini.

Sebelum menjuarai pertandingan Bintang HMI, Siti Nurhaliza telah banyak kali menyertai beberapa pertandingan di tempat kelahirannya, seringkali mengikut ibunya menyanyi dan juga abangnya iaitu Ayie. Daripada situlah minat Siti Nurhaliza untuk menyanyi timbul, tambahan pula mendapat sokongan dari ibu dan keluarganya sendiri.

Album yang memuatkan 10 buah lagu ini diterbitkan oleh Adnan Abu Hassan sendiri dan dirakamkan di Pro Recording Studio (Cheras Perdana) milik Suria Records Sdn. Bhd.

Selain Adnan Abu Hassan, Fauzi Marzuki juga menyumbangkan 2 buah lagu dan sebuah lagu dari Peter Fam. Manakala penulis lirik terdiri daripada Hani MJ, Othman Zainuddin, Amran Omar, Shahnaz dan Lukman S.

Menurut Adnan Abu Hassan, album Siti Nurhaliza adalah yang terbaik yang pernah dihasilkan sebelum ini. Siti Nurhaliza mempunyai suara yang begitu unik dan cara penyampaiannya yang tersendiri memang mengkagumkan. Malah Fauzi Marzuki sendiri mengatakan yang Siti Nurhaliza mempunyai suara yang paling luar biasa dari kawalan nada suara yang rendah dan nada suara yang tinggi. Ini adalah keistimewaanya. Ia juga boleh membawa berbagai corak dan rentak lagu dengan baik.

Sham Amir Hussain
Pengurus A&R


Intro Siti
Syukur Alhamdulillah kehadrat Illahi dengan limpah kurnianya juga maka lahirlah album pertama daripada CT untuk anda semua.

Dikesempatan ini, CT ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada mereka yang selama ini bersusah payah dalam membantu CT di dalam bidang yang sudah menjadi darah daging CT, tak lain tak bukan ialah bidang seni. Ucapan terima kasih CT pertama kali buat seluruh ahli keluarga terutama ibu dan ayah CT yang banyak memberi sokongan dan semangat kepada CT, ayah saudara Ct iaitu En. Rahim bin Bachik yang banyak memberi tunjuk ajar kepada CT, abang CT (Ayie), Kak Zie, seluruh ahli keluarga Polis di Kuala Lipis. Especially Tuan Lutfi (bekas KPD Lipis) sekeluarga yang banyak membantu CT, Tuan Hasbullah & Puan Aida (isteri) serta keluarga, Kombo Polis Kuantan serta seluruh ahli PERKEP. Tak lupa juga kepada keluarga Sek. Men. Clifford iaitu guru-guru CT yang understanding, teman-teman sekolah serta seluruh kakitangan kebudayaan Yayasan Pahang.

To my sporting producer, Mr. Adnan Abu Hassan, Mr. Sham Amir Hussain pengurus artis, Abang Vard, Joe dan Kak Nieta serta kakitangan yang lain. Thank you so much!!! Begitu juga para komposer, penulis-penulis lirik, Hentjie, backing vokalist, Vincent yang sama-sama bersusah payah di Studio Big Boss kita Mr. Tan, terima kasih.

Terima kasih yang tak terhingga juga kepada pihak RTM yang telah menaikkan nama CT, TV3, Media cetak dan elektronik, para wartawan, DJ-DJ yang sentiasa ceria serta semua individu yang telah menjayakan dalam pembikinan album CT, sokongan anda amat CT hargai dan untuk itu terimalah.....Untuk Bakal Peminat-peminat CT. Tanpa Anda siapalah CT.


Ulasan
Kemunculan album ini dulu tidak saya sedari. Hanya setelah menjadi peminat Siti sekitar 2002, barulah album ini saya cari. Mujurlah masih ada di pasaran.

Album ini cukup istimewa dan menjadi salah satu antara album Siti yang saya gemari. Vokal Siti dalam album ini masih "fresh", justru kedengaran lantang dan bebas. Ditambah dengan lenggok dan stail penyampaiannya yang unik, menjadikan album ini tetap segar dan tidak jemu didengar.

Lagu yang paling saya suka Jawapan Di Persimpangan, lembut dan kemas. Tapi suara Siti dalam lagu ini tak berapa menyerlah. Mungkin masih takut-takut nak melontarkan kekuatan vokalnya yang sebenar, maklumlah lagu pertama dirakam. Agaknya kalau diberi peluang menyanyikan semula lagu ini, pasti jadi lebih mantap.

Namun begitu permainan vokalnya dalam Antara Waktu dan Usia agak mengejutkan. Keupayaan vokalnya dieksploitasi sebaik mungkin untuk menghasilkan stail penyampaian yang tersendiri. Dan hasilnya memang mengkagumkan.

Paling ketara tentang suara Siti dalam album ini ialah cara dia "menutup" atau "menyudahkan" ayat dalam rangkap liriknya. Susah juga nak dihuraikan, tapi cubalah dengar betul-betul terutamanya lagu Antara Waktu dan Usia dan Sanggar Bayu, telitilah lenggoknya pada bahagian hujung setiap ayat, anda akan faham maksud saya. Keistimewaan inilah yang membezakan Siti dengan penyanyi lain pada waktu itu.

Gaya nyanyian Siti menjadikan lagu-lagu yang diberi kepadanya nampak mudah saja di tangannya. Alunannya sungguh bersahaja. Macam, "sukahati Sitilah nak nyanyi macam mana pun."

Kemampuannya melagukan mengikut stailnya yang tersendiri paling menyerlah dalam lagu Bicara Luka, Cari Cari dan Antara Waktu dan Usia. Inilah keunikan penampilan pertama Siti, menjadikan album ini begitu istimewa dan tetap diingati.

-------

 

Album
SITI NURHALIZA 2

Penerbit

Adnan Abu Hassan


Lagu
Aku Cinta Padamu (LY/Baiduri)
Demi Kasih Kita
(Adnan Abu Hassan/Siti Nurhaliza)
Tirai Semalam
(Fauzi Marzuki/S.Amin Shahab)
Khayalan Cinta
(Xiao Wong/Ucu)
Sri Mersing
(Copyright Control)
Usah Diragui
(Zul Mahat/Habsah Hassan)
Bisikan Asmara
(Helen Yap/Amran Omar)
Rindu Di Antara Kita
(Adnan Abu Hassan/Hani MJ/Ciang Teng)
Kesilapanku Keegoanmu
(LY/Baiduri)
Wajah Kekasih (Adnan Abu Hassan/Hani MJ)

Lirik lagu..

Intro Siti
Bersyukur Siti sekali lagi kehadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat juga Siti menghasilkan album kedua Siti Khas buat anda semua.

Dikesempatan ini Siti ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga yang banyak memberi dorongan dan nsihat but anaknya ini. Begitu juga kepada teman-teman seperjuangan serta peminat-peminat tersayang. Kata-kata nasihat dan perangsang anda akan Siti pegang sebagai pedoman di dalam menempuhi liku-liku dan onak duri dunia seni yang penuh mencabar ini.

Special thanks Siti khas buat orang yang berada di sebalik kejayaan Siti selam ini. Meraka ialah keluarga SRC, espcially Big Boss kita Mr. Tan & family, thanks for your support, Mr. Foo, Abg. Dee & family, Abg. Sham & family dan erima kasih tak terhingga pada PRO SRC iaitu Abd. Bard. Abg. Joe dan Kak Nieta (kita kerja kuat). Serta tak lupa terima kasih Siti kepada mereka yang menjayakan cover album Siti, terima kasih Kak Nurul.

Begitu juga kepada penerbit album Siti kali ini, Mr. Adnan yang tak jemu-jemu membimbing Siti. Kepada komposer yang menyumbang lagu di dalam album Siti kali ini. Terima kasih kerana sudi menyumbangkan kreativiti anda yang merupakan pengalaman bagi Siti dalam membawakan pelbagai rentak.

Kepada penerbit LY (Anne) dan Azmeer (lembik) pengalaman bekerja dengan anda cukup menyeronokkan (yes boss). Kepada backing vokal terima kasih kerana kerja keras anda.

Ucapan terima kasih Siti kepada orang yang menentukan jatuh bangun Siti sebagai artis iaitu kepada pihak media cetak dan elektronik. Dj-dj di seluruh M'sia. S'pore dan Brunei, producer TV, TV1-RTM, TV3, Astro, Metro Vision, TCS dan RTVB dan juga pada semua editor, reporter dan jurugambar di seluruh tanah air dan S'pore.

Akhir kata terimalah hadiah daripada Siti buat peminat dan pencinta seni.
Maaf dan wassallam.


Ulasan

Album yang paling memikat. Semua lagunya hebat, susah nak memilih mana satu lagu yang paling digemari. Vokal Siti semakin mantap. Dia semakin berani mengeksploitasi kekuatan vokalnya dan bijak mengawal lenggok suaranya.

Banyak lagu yang menarik dimuatkan, seperti lagu Demi Kasih Kita, Tirai Semalam, Aku Cinta Padamu, Usah Diragui, Kesilapanku Keegoanmu dan Wajah Kekasih. Lagu rancak Bisikan Asmara juga mantap dan ceria.

Namun begitu, Usah Diragui dan Wajah Kekasih, paling menarik perhatian saya. Mendengar Siti melagukannya membuatkan saya terpegun seketika. Konsentrasi tertumpu sepenuhnya terhadap luahan bait-bait liriknya yang menyentuh perasaan serta lontaran vokal Siti yang penuh ekspresi dan cukup menyerlah. Terasa syahdu, walaupun liriknya tidak ada kena-mengena dengan diri ini,
huhu....

Tanpa disedari Siti telah mempamerkan bakat penulisan lirik seawal album kedua ini dengan lagu Demi Kasih Kita. Satu percubaan yang baik.

Lagu duet dua bahasa - Rindu Di Antara Kita adalah sesuatu yang istimewa daripada Siti (tak pasti ketepatan sebutannya...). Mungkin strategi menawan hati pendengar bukan Melayu!

Rata-rata kesemua lagu dalam album ini mampu menyerlahkan kemampuan vokal Siti yang semakin matang dan mantap.

 

Adiwarna

Album
ADIWARNA

Penerbit

Adnan Abu Hassan, LY, Azmeer, Johari Teh, Salman, Azlan Abu Hassan & Zuriani


Lagu
Purnama Merindu (Azmeer/Lukhman S)
Sendiri (LY/Baiduri)
Kita Kan Bersama (Malek Osman/Sham Amir Hussain)
Tak Rela Berpisah Darimu
(Adnan Abu Hassan/Hani MJ)
Lagu Ku Di Hatimu
(Salman/Siti Nurhaliza)
Diari Hatimu
(Ferdi Khalid NS)
Satu Cinta Dua Jiwa
(Azlan Abu Hassan/Ucu)
Demi Kasih Sayang
(LY/Baiduri)
Tak Boleh Lupa
(Johari Teh/Juwie)
Gelora Asmara (Adnan Abu Hassan/Hazida)

Lirik lagu..

Intro Siti
Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat juga Siti menyiapkan album pop Siti yang ketiga ini untuk tatapan peminat tersayang juga buat pencinta seni tanahair.

Terlebih dahulu ucapan terima kasih Siti tujukan buat Abah dan Emak serta keluarga yang selama ini tidak jemu-jemu memberi sokongan buat Siti dalam melayari kehidupan sebagai seorang artis rakaman. Buat Abang Ayie terima kasih segalanya...

Seterusnya buat keluarga kedua Siti iaitu Suria Records, yang telah sama-sama bersusah payah sehingga hari ini. Buat Big Boss hinggalah kakitangan Suria Records. Siti sayang anda semua! Harap-harap album ini dapat mengulangi kejayaan kita...insya-Allah.

Tidak lupa juga kepada mereka yang bertindak sebagai tulang belakang dalam penerbitan album ini iaitu Abg. Dee, Abg. Azmeer, Abg. Salman, Abg. Cikgu...ehhh silap Abg. Ly, Abg. Azlan, Kak Zuriani dan ramai lagi. Begitu juga kepada pencipta lirik, para pemuzik, pencipta lagu, penyanyi latar dan tenaga kerja studio yang bekerja keras demi album ini, kerjasama anda amat Siti hargai...

Buat pihak media cetak dan juga media elektronik, para pengarang, jurugambar, wartawan, Dj-Dj radio dan produser di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, terima kasih di atas sokongan anda. Tidak lupa kepada artis-artis veteran, rakan-rakan artis, penduduk Kuala Lipis dan semua peminat tersayang, semoga album ini dapat diterima menjadi kenangan buat kita semua... Salam Sayang...Assalamualaikum.


Ulasan

ADIWARNA adalah album pop Siti yang paling saya suka. Saya berpendapat album ini adalah detik peralihan bagi Siti Nurhaliza. Pertama peralihan dari segi suara, dan kedua peralihan dari segi konsep lagu-lagunya.

Vokal Siti agak berlainan daripada album kedua apatah lagi yang pertama. Terlalu banyak menyanyi agaknya, tentulah suara pun berubah.

Waktu ini Siti seperti berusaha menyesuaikan diri dengan stail vokal yang sedikit berlenggok terutama dalam lagu Purnama Merindu. Sayang sekali, tiada lagi "penutup" atau "penyudah" ayat yang unik seperti yang saya sebut dalam ulasan album pertama dulu. Gayanya itulah yang paling menarik perhatian dan membezakannya dengan penyanyi lain. Lagu ini adalah permulaan kepada lagu dan gaya nyanyian yang lebih mendayu dan berlenggok.

Walaupun begitu, kawalan suaranya sangat baik, menjadikan vokalnya kedengaran lebih lantang terutama dalam lagu Demi Kasih Sayang.

Diari Hatimu (teringat klip videonya; bergaun hitam, dikelilingi payung hitam, bermodelkan kala jengking!) dan Sendiri - dua lagu yang paling saya suka. Lagu-lagu inilah yang saya katakan peralihan daripada lagu dalam album sebelumnya, selain daripada Purnama Merindu yang berkonsep lebih dewasa dan matang.

Lagu-lagu rancaknya seperti Satu Cinta Dua Jiwa dan Kita Kan Bersama menambah kekuatan pada konsep album ini yang lebih menekankan kekuatan vokal melalui kepelbagaian rentak dan melodi.

Nyata sekali stail nyanyiannya dapat diterima secara profesional apabila keupayaan vokalnya mula diiktiraf dalam AIM '99 sebagai terbaik dalam album (wanita) - Tahniah Siti!

Cindai

Album
CINDAI

Penerbit

Suhaimi Mohd. Zain, S.Atan


Lagu
Cindai (Pak Ngah/Hairul Anuar Harun)
Laksamana Mati Dibunuh (Copyright Controlled)
Janji (Copyright Controlled)
Lela Manja (Copyright Controlled)
Kaparinyo (Copyright Controlled)
Es Lilin (Copyright Controlled)
Damak (Copyright Controlled)
Joget Pahang (Copyright Controlled)
Patah Hati (Copyright Controlled)
Joget Berhibur (Rahim Jantan/Siso)

Lirik lagu..

Intro Siti

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Inilah rakaman paling indah dalam mengetengahkan khazanah, Inilah bahasa penuh santun dalam untaian gurindam pantun, Inilah akar budi irama Melayu Asli yang masih terus bernadi.

Alhamdulillah...hasrat yang sudah lama tersemat akhirnya tercapai. Siti berasa bersyukur kerana diberikan kesempatan dan ruang untuk mengabadikan lagu-lagu Melayu tradisional di dalam sebuah album yang cukup besar ertinya.

Ia umpama karya agung yang memberikan pelbagai intipati berzaman yang boleh dikongsi bersama. Iramanya serantau, bahasanya memukau dan dapat mengimbau kenangan lampau.

Terlebih dahulu Siti dedikasikan album ini untuk kedua ibu bapa dan juga kaum keluarga yang telah memperjuangkan lagu Melayu Asli sejak dari dahulu lagi. Perjuangan kecil ini amat besar maknanya bagi Siti.

Ucapan sekalung budi Siti tujukan kepada keluarga Suria Records (Mr. Tan. Abang Adnan (Dee), Mr foo, Abg. Sham, Abd. Bard, Abg. Joe, Abg. Ripin, Kak Nieta dll..) kerana memberiakan kerjasama yang baik untuk menghasilkan album ini.

Tidak lupa juga kepada mereka yang bertindak sebagai tulang belakang dalam penerbitan album ini iaitu Pak Ngah, S.Atan, para pemuzik, pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi latar dan tenaga kerja studio yang bekerja keras demi album ini. Semoga kerjasama ini akan membawa kejayaan bersama.

Kepada pencetus karya terdahulu yang lagu-lagunya masih terus bernadi, Siti mengabadikan album ini untuk kalian. Buat semua pihak media cetak dan juga elektronik, para pengarang, jurugambar, wartawan, dj-dj radio dan produser di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, kerjasama anda semua amat Siti hargai.

Tidak ketinggalan juga kepada artis-artis veteran, rakan-rakan artis, bekas guru-guru dan sahabat handai (SMC), penduduk Kuala Lipis dan semua peminat yang amat Siti sayangi, semoga album ini dapat mengeratkan lagi jalinan persaudaraan antara kita.

Aku Dalam Ingatan Kalian.


Ulasan

Inilah album pertama Siti yang saya beli. Bukan lagu Cindai yang membuat saya tertarik untuk mendapatkan album ini. Sebaliknya konsep tradisional Melayu itu yang lebih menarik perhatian. Setelah sekian lama irama Melayu tradisional seperti terpinggir dek keghairahan irama pop, akhirnya ada juga pihak yang berani mencuba menghidupkan semula irama warisan budaya ini secara komersil. Pertaruhannya, Siti Nurhaliza dan Cindai!

Cindai ibarat satu fenomena baru dalam industri muzik Malaysia. Gabungan lagu-lagu lama Damak, Laksamana Mati Dibunuh, Patah Hati, Es Lilin dan lain-lain yang digandingkan dengan Cindai dengan mudah diterima peminat muzik. Tak pastilah sama ada disebabkan lagu Cindai atau lagu-lagu asli yang copyright (tidak diketahui penciptanya) itu, atau disebabkan Siti. Apa yang pasti penerimaan ramai terhadap album ini (dan album Ala Dondang oleh Noraniza Idris) menjadi titik tolak kepada kegemilangan semula irama tradisional Melayu.

Pengaruh Cindai cukup kuat, malah ada yang menyifatkan Cindai adalah "lagu berhantu" pada waktu itu. Sentiasa dimainkan dan tidak puas didengar. Ramai yang berpendapat Cindailah yang sebenarnya menjulang nama Siti Nurhaliza di persada muzik Malaysia. Tidak dinafikan Jerat Percintaan lebih dulu memperkenalkannya sebagai penyanyi yang berbakat luar biasa, namun Cindai yang menggemilangkannya. Tuah Siti!

Sebagai artis remaja, kesediaannya untuk mencuba nasib melagukan irama tradisional yang biasanya hanya menambat hati golongan veteran wajar diberi pujian. Keupayaannya memberi persembahan vokal yang mantap, dengan gaya dan lenggok tersendiri, tanpa menjejaskan keaslian iramanya, menjadikan album ini begitu istimewa. Rasanya tidak ada lagi artis seusia dengannya waktu itu yang berminat menyanyikan irama sedemikian. Siti telah berjaya dalam misinya menarik perhatian golongan remaja untuk meminati irama tradisional.

Selain lagu Cindai, Janji juga menarik dan tak jemu didengar. Lagu ini sebelumnya telah dinyanyikan ramai penyanyi termasuklah Syarifah Aini dalam pelbagai versi. Saya tak pasti apakah rentak yang dilagukan Siti (dangdut?).

Mendengar Laksamana Mati Dibunuh dan Lela Manja sungguh meruntun perasaan. Lagu-lagu ini jadi begitu melankolik sekali. Sayu dan mendayu-dayu.

Album ini memberi kepuasan kepada saya yang memang tercari-cari album Melayu tradisional yang segar dan berwajah baru. Tahniah kepada semua yang terlibat dalam penerbitannya!