Multimedia Super Corridor

 

Peluang dan Cabaran :

Analisis terhadap Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia

Oleh : Wong Hon Wai

Kursus TM3923 :Komputer, Etika dan Sosial
Pensyarah: Prof Dr Tengku Mohd Tengku Sembok
Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat
Universiti Kebangsaan Malaysia

18-1-97

Edit Pertama: 26-2-97

KANDUNGAN

Bab 1 MSC secara umum

Bab 2 Kelebihan Daya Saingan MSC

Bab 3 Cabaran yang dihadapi oleh MSC

Bab 4 Penutup

Download Fail ini dalam bentuk zip (Winword versi 97)  msc.zip

Homepage Berkenaan MSC serta Pesaing terdekat Singapore ONE
Multimedia Development Corporation (MDC) Malaysia
National Computer Board, Singapore
Singapore ONE takes off
Singapore ONE Project

 BAB 1: MSC Secara Umum

 

Pengenalan

Alvin Toffler, seorang pakar dalam bidang futuristik telah menyatakan dalam bukunya bernama Power Shift bahawa zaman pertanian serta zaman perindustrian yang telah berlanjutan selama beberapa kurun lalu akan tamat dan digantikan dengan zaman maklumat menjelang alaf baru.

Menyedari hakikat ini, banyak negara kini mengalihkan perhatian mereka ke bidang teknologi maklumat dengan mengambil peluang untuk menjadikan industri teknologi maklumat sebagai enjin pertumbuhan eknonomi negara. Sebagai contoh, Singapura telah menetapkan matlamat IT2000 dengan menjadikan Singapura sebagai sebuah Pulau Bistari atau "Intelligent Island" menjelang tahun 2000.

Dalam hal ini, Malaysia turut tidak ketinggalan, Projek Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor atau ringkasannya MSC) telah diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia pada 1hb Ogos 1996. Pengumuman ini secara tidak langsung menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah dunia multimedia dan pada masa yang sama menyediakan diri dalam menghadapi zaman maklumat ini.

 

Lokasi MSC

Koridor Raya Multimedia merangkumi kawasan seluas 750 km persegi yang melebar ke selatan Kuala Lumpur, bermula dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (PBKL) di utara hinggalah ke Lapangan Tebang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAB) di selatan. Ia disempadani oleh Lebuh Raya Utara-Selatan di sebelah timur dan Lebuh Raya Persisiran Pantai di sebelah barat (Ramlah, Abd. Wahab, Dewan Masyarakat-1996: 46).

Di antara PBKL dan LTAB, terdiri dua identiti mega di tengah-tengahnya, iaitu pusat pentadbiran baru kerajaan, Putrajaya dan Bandar Raya Teknologi Maklumat ( IT City). Antara kewujudan bangunan mega itu, terbangun pula industri multimedia dan syarikat utama yang menerajui perkembangan infrastruktur dan teknologi maklumat. Selain itu, keseluruhan MSC juga akan dilengkapi dengan rangkaian optik gentian digital, 2.5 hingga 10 gigabit yang akan menghubungkannya secara langsung dan interaktif dengan negara Asean, Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan negara membangun yang lain (Ibid : 46).

 

1.3 Aplikasi Khusus MSC

Di bawah projek MSC ini, beberapa aplikasi khusus akan dimajukan dan dijangka siap pada tahun 2000. Kelapan-lapan aplikasi adalah seperti berikut:

Kerajaan elektronik : Pentadbiran kerjaan yang berhubung secara rangkaian komputer dengan mengutamakan konsep kurang kertas (paperless). Semua jabatan kerajaan akan dihubungkan dengan pangkalan data sepunya untuk memudahkan aliran maklumat. Dengan itu kecairan maklumat (information solvency) akan meningkat.
Teleperubatan: Hospital akan menggunakan teknologi maklumat yang canggih untuk berhubung antara hospital di rantau ini serta di seluruh dunia. Dengan itu, kepakaran doktor di seluruh dunia dapat dikongsi oleh doktor tempatan.
Kelompok pembangunan dan penyelidikan : Penubuhan kelompok institusi kajian serta institusi pendidikan di MSC untuk meningkatkan kemahiran sumber manusia tempatan serta menjalankan kajian teknologi maklumat yang canggih.
Pusat Pembuatan Sedunia : Dengan menyediakan kemudahan pembuatan kepada syarikat antarabangsa dengan menawarkan sumber manusia yang berdaya saing dalam peringkat antarabangsa dan murah dari segi bayarannya.
Pusat Pemasaran Tanpa Batasan: Berdasarkan hakikat bahawa keunikan budaya rakyatnya, Malaysia dapat membekalkan perkhidmatan telemarketing kepada populasi 2.5 billion orang penduduk di rantau Asia.
Pusat Kewangan bercirikan Multimedia : Lokasi MSC yang strategik dengan hubungan multimedia ke semua pusat kewangan sedunia dapat menarik minat syarikat yang ingin menyokong MSC secara melabur di syarikat-syarikat dalam MSC.
Kad Bistari yang serbaguna -- Kad bistari yang serbaguna akan dikeluarkan dan akan berfungsi sebagai kad pengenalan, dompet elektronik, kad kredit, kad telefon dan seumpamanya.

 

Sekiranya Projek MSC ini berjaya, maka dipercayai MSC akan muncul sebagai sebuah kawasan pembangunan perdana yang termoden dan termaju serta serba lengkap dengan pusat pentadbiran, pendidikan, pembangunan, taman kediaman yang ceria, kawasan rekreasi dan hiburan yang kesemuanya akan menjadi kebanggaan Malaysia.

Kembali ke atas

Bab 2 Kelebihan Daya Saingan MSC

Evolusi dalam perkembangan telekomunikasi serta multimedia telah menggabungkan kedua-dua industri tersebut. Multimedia merupakan gabungan antara bunyi, data, grafik dan video. Sementara itu, industri telekomunikasi telah membolehkan hubungan jarak jauh didekatkan dengan rangkaian komputer. Masa depan untuk perkembangan industri multimedia serta telekomunikasi bergantung kepada pergabungan kedua-dua teknologi untuk memberikan lebihan daya saingan kepada syarikat yang menjalankan perniagaan strategik.

Adalah dianggarkan bahawa pasaran multimedia akan mencecah angka US$3.5 trilion menjelang tahun 2002. Ini adalah lebih kurang saiz ekonomi negara USA pada awal tahun 1980an. (Bradley P.Holmes, Multimedia Global Alliances:Business Opportunities on the Information Highway, APT Jurnal Jan 1995).

Memandangkan "kek ekonomi" bagi industri multimedia adalah terlalu besar untuk mana-mana negara, maka langkah Malaysia mewujudkan MSC untuk turut bersama negara-negara lain dalam pembangunan industri multimedia adalah langkah bijak.

Walaupun Malaysia baru menceburi bidang teknologi maklumat secara serius dan terdapat gergasi industri teknologi maklumat di Silicon Valley, California, Amerika Syarikat, tetapi MSC menawarkan beberapa tarikan yang boleh disifatkan sebagai lebihan daya saingan MSC berbanding lokasi lain di dunia .

 

Kelebihan MSC adalah seperti berikut:

Kepimpinan kerajaan dalam menjayakan MSC

Ketua Eksekutif Microsoft Corporation, Bill Gates pernah menyatakan bahawa beliau sangat kagum dengan tekad kerajaan Malaysia untuk menjayakan MSC kerana menurut beliau Perdana Menteri Dato Seri Dr Mahathir merupakan antara beberapa tokoh kerajaan di dunia ini yang sentiasa mengeluarkan pendapat mengenai kemajuan teknologi maklumat.

Kerajaan telah menubuhkan Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan dan Majlis Telekomunikasi Negara untuk menggalakkan pertumbuhan industri teknologi maklumat dan telekomunikasi. Apa yang menarik sekali ialah minat PM sendiri dalam pembangunan industri teknologi maklumat dengan beliau sendiri menjadi Pengerusi bagi kedua-dua majlis tersebut dan Timbalan Pengerusi ialah Timbalan Perdana Menteri.

Sokongan kuat kerajaan MSC dengan menggemblengkan tenaga pelbagai agensi kerajaan telah menyediakan atmosfera pelaburan yang menarik perhatian syarikat gergasi teknologi maklumat untuk melabur di MSC.

Lawatan Dr Mahathir ke USA pada pertengahan Januari 1997 untuk mempromosi MSC kepada syarikat di USA telah berjaya menarik minat ramai syarikat gergasi teknologi maklumat. Pada lawatan itu, satu Panel Penasihat Antarabangsa yang terdiri daripada 30 orang tokoh teknologi maklumat telah ditubuhkan untuk bertindak sebagai forum untuk bertukar pendapat terhadap kejayaan MSC. Penubuhan Panel Penasihat tersebut sebenarnya satu langkah awal yang bagus terhadap merealisasikan impian MSC.

Faktor Lokasi MSC

MSC terletak dalam rantau Asia Pasifik yang merupakan rantau yang paling pesat membangun dalam konteks pembangunan ekonomik. Tambahan pula, indusrti teknologi maklumat negara-negara Asia Pasifik masih dalam peringkat permulaan. Maka , syarikat teknologi maklumat di negara maju dapat menggunakan MSC sebagai batu loncatan untuk menebusi pasaran Asia Pasifik.

 

Kemudahan infrastruktur telekomunikasi

Memandangkan MSC dibangunkan di tempat yang baru yang sebelum ini merupakan kawasan luar bandar maka soal menggantikan infrastruktur telekomunikasi yang lama tidak timbul. Dengan ini, MSC dapat secara terus menggunakan teknologi terkini untuk perhubungan rangkaian.

Jaminan dari kerajaan

Kerajaan Malaysia telah menggariskan Akta Jaminan (Bill of Guarantees) dengan menyakinkan pelabur asing di MSC bahawa pelaburan mereka dapat mendapat pulangan maksimum.

Antaranya kerajaan telah menyatakan bahawa Multimedia Development Corporation (MDC) akan dijadikan pusat "one-stop" untuk syarikat yang melabur di MSC apabila ingin berurusan dengan kerajaan. Dengan ini, wujudnya MDC dapat menjimatkan masa syarikat MSC.

 

Sokongan Infrakstruktur yang mencukupi

Lokasi MSC adalah dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang akan siap sepenuhnya pada tahun 1998. KLIA dihubungkan pedengan semua ibu kota di seluruh dunia.

Kedudukan MSC yang dekat dengan Pelabuhan Kelang yang merupakan pelabuhan utama di Malaysia.

Di samping itu, MSC dihubungkan dengan laluan keretapi serta Lebuh Raya Utara-Selatan ke destinasi utama di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Insentif Kewangan

Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 1997 pada Oktober 1996 bahawa pelbagai insentif telah disediakan khas untuk menggalakkan pertumbuhan MSC. Antaranya termasuk:

(a) Pengecualian cukai syarikat selama 5 tahun (boleh dilanjutkan hingga 10 tahun) kepada syarikat yang didaftarkan di bawah MSC.

(b) Pengecualian cukai terhadap pembelian perkakasan multimedia

(c)Syarikat MSC dibenarkan untuk mengambil pekerja asing dengan tanpa syarat kawalan yang ketat.

Dengan insentif tersebut, MSC mampu menarik minat syarikat gergasi teknologi maklumat untuk melabur.

 Sokongan Infrastruktur Kewangan

Semasa pembentangan Belanjawan 1997, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengutarakan saranan untuk memperkenalkan pasaran OTC (over-the-counter market) di Bursa Saham Kuala Lumpur. Penubuhan pasaran OTC tersebut adalah bertujuan untuk membantu syarikat teknologi maklumat untuk mendapatkan modal pelaburan. Adalah dijangkakan bahawa garis panduan untuk pasaran OTC ini akan disiapkan pada 18-2-97. (Rozani Sani, New Straits Times 13-1-1997) dan dijangka akan mulai beroperasi pada hujung tahun 1997 (Alex Yong, The Star, 14-1-1997)

Penubuhan pasaran OTC ini dipandang sebagai satu faktor berjaya kritikal (critical success factor) terhadap pembangunan industi teknologi maklumat tempatan. Dengan wujudnya pasaran OTC, syarikat teknologi maklumat baru yang tidak mempunyai rekod perniagaan tetapi menjanjikan potensi besar untuk pembangunan masa depan akan dapat mengumpul modal melalui penyenaraian di pasaran OTC.

Pasaran OTC yang bakal ditubuhkan akan mengambil pengalaman dari pasaran Nasdaq (National Association of Securities Dealers) yang menjalankan perniagaan saham secara OTC di Amerika Syarikat. Kejayaan Nasdaq dalam menyokong industi teknologi maklumat di Silicon Valley, California,Amerika Syarikat akan dijadi panduan oleh Pasaran OTC Malaysia untuk menyokong industri teknologi maklumat di MSC.

 

Sumber tenaga manusia

Malaysia mempunyai sumber tenaga manusia yang mahir dalam bidang teknologi maklumat. Taraf pendidikan yang tinggi serta kos sumber manusia yang murah merupakan satu aset penting Malaysia untuk menarik minat pelaburan asing ke MSC.

Budaya rakyat Malaysia yang kaya

Kebolehan rakyat Malaysia berkomunikasi dalam pelbagai bahasa khasnya Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin ini menawarkan kelebihan untuk berurusniaga dengan negara-negara di rantau Asia Pasifik

Seperti yang dinyatakan oleh Dr Mahathir kepada industri perfileman semasa lawatan beliau ke Amerika Syarikat pada pertengahan bulan Januari 1997 bahawa tiada tempat lain (melainkan MSC) yang boleh menghubungkan kreativiti menakjubkan dengan melahirkan hiburan digital yang relevan kepada negara-negara Asia. Hakikat bahawa kepelbagaian budaya di Malaysia menjadi satu kelebihan daya saingan jika pusat hiburan digital dunia yang bercirikan pelbagai budaya didirikan di MSC.

 

MSC menawarkan satu pakej insentif kepada pelabur asing dengan itu berdaya saing di peringkat antarabangsa untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain untuk menerokai bidang pembangunan teknologi maklumat.

Kembali ke atas

 Bab 3 Cabaran yang dihadapi oleh MSC

Idea MSC nampaknya menarik dan sekiranya berjaya dilaksanakan seperti dalam perancangan akan mentransformasikan taraf ekonomi negara kepada negara berasaskan pembangunan teknologi maklumat.

MSC tidak harus meniru bulat-bulat atau "cut and paste" dari model SiliconValley, Californai, Amerika Syarikat. Apa yang penting ialah mesti mengambil pertimbangan keunikan sosial, politik dan pembangunan ekonomik Malaysia. Dengan itu barulah bersesuaian dengan keperluan kita. Begitu juga, manfaat yang diperolehi harus dilimpahkan ke seluruh negara dan bukan tertumpu kepada MSC sahaja.

 Cabaran Kes Cetak Rompak Perisian

Semasa pertemuan CEO Microsoft Corporation, Bill Gates dengan Dr Mahathir , Bill Gates telah mengemukakan isu cetak rompak perisian yang berlaku secara berleluasa di Malaysia. Sebenarnya, sekiranya keadaan cetak rompak perisian tidak dikawal , maka syarikat-syarikat pembangunan perisian terpaksa berfikir dua kali sebelum menyertai MSC. Ini memandangkan bahawa, pulangan terhadap pelaburan bagi syarikat pembangunan perisian akan merosot akibat cetak rompak perisian.

Cetak rompak perisian di Malaysia akan dapat dikawal dengan lebih rapi dengan penguatkuasaan Intellectual Property Protection Act yang bakal dibentang di Parlimen pada Mac 1997. Memandangkan penubuhan MSC dengan datangnya pelabur yang membangunkan perisian, penguatkuasaan undang-undang ini menunjukkan komitmen kerajan untuk mempertahankan kepentingan pelaburan syarikat-syarikat asing ini. Akta tersebut akan meliputi Hakcipta Intelektual yang akan dilaksanakan merentasi negara (cross-country ownership of intellectual property) (Nur Aida Mustafa,New Straits Times, 10-10-1996).

 

Saingan dengan Pesaing yang lain

MSC Malaysia terpaksa bersaing dengan pusat kajian ternama di seluruh dunia seperti Silicon Valley di California, dan pusat di Massachusetts. Isu yang paling kritikal bagi MSC ialah bagaimana kita dapat menyakinkan syarikat antarabangsa untuk melabur di sini dan juga menggalakkan syarikat antarabangsa untuk melaksanakan usaha Penyelidikan dan Pembanguna (R&D) di Malaysia.

 

Kesan Limpahan MSC

Sungguhpun projek MSC hanya tertumpu di sekitar dari Kuala Lumpur ke Sepang, namun menurut Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, ia akan diperkembangkan ke negeri yang lain termasuk juga Malaysia Timur pada masa akan datang. Beliau menegaskan bahawa pembangunan MSC akan menjadi tidak bermakna sekiranya apa yang diketengahkan dapat diserap sehingga ke New York tetapi sebaliknya kawasan Sabah dan Sarawak diketepikan (Nan Yang Shang Pao, 23 Disember 1996).

Adalah tidak bermakna sekiranya kejayaan MSC mewujudkan segolongan elit yang kaya maklumat (information rich) dengan menggunakan Lebuhraya Maklumat sementara golongan majoriti rakyat masih miskin maklumat (information poor) yang masih menggunakan Jalan Kampung Maklumat. Dengan itu, faedah MSC harus disalurkan seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Sebagai misalannya, dalam kesungguhan kita berbicara terhadap "smart school" tetapi masih terdapat 1273 buah sekolah rendah di Malaysia yang masih tiada bekalan elektrik dan masih tiada sambungan rangkaian di kebanyakan maktab perguruan di seluruh Malaysia.

Terlalu banyak fokus kepada syarikat asing

Dalam dunia perniagaan, faktor perkiraan ialah Return On Investment. Syarikat antarabangsa tidak mengenal sempadan negara. Maka mereka akan berpindah ke mana sahaja yang dapat memberi peluang terbesar kepada negara. Dengan itu, MSC harus membuka ruang yang besar kepada pertumbuhan syarikat tempatan. Walaupun kita mempunyai perisian tempatan yang berpotensi seperti Nalinam (Pemproses perkataan Bahasa Tamil) serta Vbuster (virus scanner) , seolah-olah perisian ini dipinggirkan.

Darjah Keterbukaan Dasar Budaya Negara

Menurut Michael Porter, salah satu faktor daya saingan sesebuah negara ialah nilai serta budaya kebangsaaan. Satu daripada idea yang akan dilaksanakan di MSC ialah mempelawa industri perfileman di Hollywood untuk membuka studio multimedia di Malaysia. Adalah menjadi satu tanda tanya bagaimana idea ini dapat dijayakan sekiranya penganjuran konsert Michael Jackson terpaksa melalui pelbagai rintangan (walaupun akhirnya diberi kebenaran) serta filem "Schindler's List" diharamkan.

Hal Perundangan siber

Untuk melindungi pelaburan syarikat gergasi antarabangsa di MSC, beberapa akta berkenaan siber telah digariskan oleh kerajaan. Antaranya ialah Intellectual Property Protection Act, Digital Signature Act dan Computer Crime Act. Memandangkan bahawa ini merupakan kali pertama Malaysia menggariskan undang-undang siber, maka masalah teknikal telah timbul sehingga draf undang-undagan siber yang sepatutnya dijangka dibentang di Parlimen pada persidangan bulan Disember 1996 untuk perdebatan telah ditunda ke bulan Mac 1997.

Oleh kerana undang-undang siber merupakan sesuatu yang agak baru, maka kekaburan dalam perkara perundangan mungkin timbul yang akan merugikan para pelabur.

 

Kekurangan sumber manusia yang mahir

Walaupun terdapat ratusan siswa/siswi lulusan teknologi maklumat yang memasuki pasaran kerja setiap tahun, tetapi angka tersebut jauh daripada mencukupi untuk menjayakan MSC sepenuhnya. Kerajaan telah mengambil langkah menambah bilangan kemasukan pelajar teknologi maklumat serta meluluskan permohonan kolej serta universiti swasta untuk menghasilkan lebih ramai lulusan teknologi maklumat.

Sekiranya masalah kekurangan sumber manusia yang mahir ini tidak dapat diatasi, dijangkakan pasaran kerja akan menjadi ketat dan akibatnya ialah kos sumber manusia menjadi terlalu mahal dan daya saingan MSC akan berkurangan.

Kembali ke atas

 Bab 4 Penutup

Tarikh 16-1-1997 merupakan hari bersejarah dalam arena teknologi maklumat Malaysia apabila Panel Penasihat Antarabangsa bertemu di Stanford University, California, USA untuk membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan MSC.

Antara ahli dalam Panel Penasihat Antarabangsa ini ialah Bill Gates (CEO Microsoft), James Barksdale (CEO Netscape), Stan Shih (CEO Acer), Louis Gerstner (CEO IBM). Kebanyakan ahli-ahli panel merupakan ketua eksekutif bagi syarikat gergasi teknologi maklumat serta orang perseorangan yang banyak menyumbang idea dalam pembangunan era maklumat seperti Alvin Toffler serta Kehichi Ohmae.

Persidangan tersebut merupakan julung-julung kali dalam sejarah industri teknologi maklumat yang dapat mengumpulkan begitu ramai "Kapten Industri". Semua ini atas tarikan yang ditawarkan oleh MSC dan kerajaan Malaysia.

Antara syarikat yang telah mula menjadi syarikat MSC ialah Syarikat Sun Malaysia yang mendapat kelulusan dari MDC pada 4-11-96. Syarikat Ernst & Young turut mengumumkan bahawa syarikat tersebut akan mendirikan pusat latihan di MSC. Menurut MDC, terdapat 12 syarikat yang akan dijangka diluluskan menyertai MSC menjelang akhir tahun 1996 (Chan Lee Meng , The Star, 5-11-96).

Sambutan terhadap penubuhan MSC nampaknya menggalakkan. Walau bagaimanapun, ini hanyalah satu permulaan awal. Menanti di depan ialah pelbagai rintangan yang bakal ditempuhi. Sekiranya MSC berjaya dilaksanakan , ia akan membawa Malaysia ke era maklumat dan seterusnya merelisasikan impian wawasan 2020.

(18-1-1997) 

Kembali ke atas