MUKA DEPAN TERKINI GONG m*FISKAL m*TEKNOLOGI KOMUNITI
:: Muka Depan > TERKINI > Mutakhir > Penulis blog tubuh 'pakatan nasional'

TERKINI
Rencana
P. B. Jainal
Mutakhir

kuali.com
Mutakhir
Penulis blog tubuh 'pakatan nasional'
05-04-2007 10:55:23 PM
Oleh SALHAN K. AHMAD

KUALA LUMPUR:  Di tengah kritikan dan tuduhan terhadap blog dan laman web yang didakwa tidak bertanggungjawab dan menipu, sekumpulan penulis blog hari ini mencipta sejarah baru dengan membentuk "Pakatan Kebangsaan Penulis Blog".

Lebih kurang 40 orang, termasuk beberapa tokoh dan penulis yang popular di ruang siber, hadir di sini untuk mengasaskan sebuah organisasi rasmi penulis blog.

Mesyuarat sulung itu yang diadakan di Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) memilih 12 orang ahli jawatankuasa penaja.

Ahiruddin Attan dipilih sebagai presiden, Jeff Ooi (naib presiden), Nuraina A. Samad (setiausaha), Tony Yew (bendahari) bersama lapan orang ahli jawatankuasa seperti model struktur organisasi NPC.

Dua penulis blog popular Patrick Teoh dan Syed Azidi Syed Abdul Aziz turut dipilih sebagai ahli jawatankuasa.

Ahiruddin dan Ooi sekarang berdepan dengan tindakan saman oleh kumpulan New Straits Times (M) Press dan beberapa pegawai kanan syarikat gergasi media tersebut.

Dalam ucapan awalnya, Ahiruddin selaku pengerusi mesyuarat itu berkata penubuhan jawatankuasa itu penting untuk membolehkan perlembagaan persatuan digubal sebelum permohonan rasmi dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Organisasi itu boleh berfungsi sebagai wadah membela nasib penulis blog daripada masalah-masalah yang bakal mereka hadapi, tambahnya.

"Seperti yang saya alami kini apabila disaman oleh NSTP, saya merasa amat kesepian. Saya merasakan dengan adanya kelab seperti ini, kita akan dapat bersatu untuk mempertahankan hak penulis blog," katanya.

Pertubuhan itu juga, katanya, boleh menganjurkan kursus-kursus penulisan, antaranya bagi mendidik penulis blog tentang implikasi perundangan di negara ini.

Sejak blog menjadi bahan diskusi umum, bersama kenyataan-kenyataan yang dianggap kontroversi daripada beberapa menteri, pertemuan ini kali pertama dan terbesar pernah diadakan di negara ini.

Di Dewan Rakyat semalam, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor melontarkan idea untuk mendaftarkan penulis-penulis blog.

Langkah itu, katanya, bertujuan mengawal penyebaran bahan negatif dan fitnah di internet.

Dalam kenyataannya kepada agensi berita AFP hari ini, Shaziman berkata pendaftaran itu perlu bagi memudahkan kerajaan menjejak kegiatan penulis blog, seperti yang pernah diperkenalkan di beberapa negara lain, termasuk Singapura.

Bulan lalu, Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menggesa akhbar-akhbar tidak memetik sumber daripada laman blog ketika melaporkan sesuatu berita kerana sumber itu "tidak boleh dianggap sah."

Beliau juga dilaporkan kecewa kerana terdapat blog yang tidak dikemaskini dan memaparkan maklumat tidak tepat sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dan kekeliruan kepada pembaca.

Datuk Ruhanie Ahmad, bekas anggota parlimen Barisan Nasional, yang hadir di mesyuarat itu berkata kerajaan tidak sepatutnya melabelkan penulis blog sebagai anti-kerajaan kerana pandangan yang dilontarkan oleh golongan ini kebanyakannya relevan dan perlu diberikan perhatian.

Jelasnya lagi, tindakan pihak tertentu meninggalkan komen-komen pro-kerajaan di kaki coretan beberapa laman blog yang bersifat kritikal juga tidak mendatangkan apa-apa manfaat.

"Penulis blog bukannya penentang kerajaan. Perkara yang ditimbulkan di blog mereka adalah masalah-masalah dalam sistem penyampaian kerajaan seperti dilihat oleh mereka.

"Sepatutnya kerajaan kumpulkan komen-komen ini dan memperbaiki kelemahan mereka, bukannya dengan mengupah orang untuk menjawab di blog-blog," katanya.

Penulis blog terkenal, Raja Petra Kamaruddin berkata penubuhan organisasi itu penting untuk memberi kesedaran kepada kerajaan mengenai kuasa media internet yang sedang berkembang pesat.

"Menjelang 2040, akhbar hanya akan wujud dalam bentuk web seperti yang anda lihat di skrin komputer dan media yang paling berkuasa pada masa itu adalah blog," katanya.

Penulis blog wanita Susan Loone, yang datang dari Bangkok, berkata beliau berharap keahlian pertubuhan baru itu tidak bersifat eksklusif.

"Ramai di kalangan penulis blog bukanlah yang menulis bahan-bahan politik. Saya harap kelab ini akan membuka ruang kepada semua penulis blog, lebih-lebih lagi kepada wanita," katanya.

Turut hadir di mesyuarat itu, bekas ketua pengarang Datuk Rejal Arbee, aktivis hak asasi Elizabeth Wong dan dua peguam, Malik Imtiaz Sarwar dan Haris Ibrahim.

Berita berkaitan:
Bloggers may have to register (April 5)
Gubal akta kawal penulis blog (29 Mac)
Akhbar digesa tidak petik sumber laman blog (20 Mac)
Tengku Adnan elak jawab kecaman blog wanita (12 Mac)
Rasuah RM5juta: Polis mahu bantuan penulis blog (5 Mac)
Jeff, Rocky lancar tabung bantu penulis blog (24 Jan)
PM: Kerajaan tidak tapis blog (24 Jan) 
Perang blog kian 'panas' (25 Ogos)
Kerajaan tewas dalam 'perang siber'? (3 Ogos)

>>> Lebih banyak berita di Arkib berita mStar Online







Versi Cetakan Hantar Kepada Kawan

Rencana Pilihan 
Peniaga Melayu semakin tersisih di Pasar Borong Selangor
06-04-2007

Undian

 

Adakah kritikan juri-juri yang ditampilkan di dalam program-program realiti seperti Gangstarz dan Akademi Fantasia terlalu bersifat mengutuk dan keterlaluan?

Ya
Tidak
Kadang-kadang
The Star Online Hidup Pasti Rancak! Classifieds Online Tech-Central Global Malaysians Network ANN