Oleh Jackson Sawatan
KOTA KINABALU, 9 Okt (Bernama) -- "Singgah Mata" adalah nama yang pernah digunakan oleh nelayan bagi merujuk sebuah tempat semasa berulang-alik di perairan Teluk Gaya. Ia merupakan sejalur daratan yang menghadap ke laut.
Sebenarnya, nama tempat ini mempunyai sejarahnya tersendiri. Menurut seorang nelayan di Gaya, berpuluh tahun lepas, di tempat itu yang kini menjadi sebahagian dari kawasan Parlimen Gaya, terdapat sebuah perigi yang banyak airnya.
"Nelayan yang kehausan setelah pulang dari laut tahu tentang kewujudan perigi ini memang berharap dapat singgah untuk mengambil bekalan. Tapi, sayangnya, oleh kerana rumah mereka terletak tidak jauh dari situ, mereka akan terus mendayung sampan menuju ke rumah masing-masing tanpa singgah di situ. "Bagaimanapun, semasa mendayung, mereka pasti akan menoleh ke arah perigi berkenaan seolah-olah ia sudah dapat menghilangkan dahaga mereka.
"Oleh kerana hanya pandangan mereka yang menuju ke arah perigi itu, maka mereka menamakannya Singgah Mata," katanya.
Sungguhpun tempat sebenar perigi berkenaan tidak dapat dikesan sekarang, semua mata kini bertumpu pula ke Gaya pada Sabtu ini apabila penduduknya keluar mengundi untuk memilih wakil baru mereka ke Dewan Rakyat.
Kempen bagi pilihan raya kecil parlimen Gaya kini sudah berlangsung selama seminggu dengan Barisan Nasional (BN) diramal tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan kerusi berkenaan yang mempunyai 49,427 pengundi.
Maklumat balas yang diterima menunjukkan bahawa pengundi di sini tidak mudah memberikan undi mereka kepada parti pembangkang yang asing bagi mereka.
"Dulu senang saja, siapa-siapa mahu undi pembangkang diorang (mereka) pilih PBS (Parti Bersatu Sabah) sebab kita kenal siapa-siapa yang ada dalam parti itu. Kita kenal Pairin (Presiden PBS Datuk Joseph Pairin Kitingan).
"Sekarang ini kita tidak kenal siapa dalam parti pembangkang ini. Kalau dulu senang saja, kalau mahu pilih pembangkang, undi PBS. Sekarang pembangkang sudah tiada, kami sekarang undi Barisan," kata seorang penjual sayur di Menggatal.
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Salleh Tun Said, pula berkata penduduk Gaya akan menolak DAP dan Keadilan kerana kedua-dua parti itu tidak pernah mewakili kepentingan mereka.
Menurut beliau, memandangkan sebahagian besar pengundi Gaya adalah penyokong BN, maka penyertaan Keadilan dan DAP dalam pilihan raya kali ini hanya sekadar untuk berebut jumlah undi yang kecil.
Mengenai DAP yang dilaporkan menyandarkan harapan pada kemenangan yang pernah dikecapinya di kawasan itu pada pilihan raya umum 1986, Salleh berkata: "Dalam politik Sabah, rekod kemenangan masa lampau jarang diambil kira. Apa yang menjadi perkiraan ialah rekod perkhidmatan masa lampau."
Perkara itu disimpulkan oleh pengerusi perhubungan Umno Sabah, Datuk Musa Aman dengan berkata, kedua-dua parti pembangkang itu masih mahu bertanding walaupun mereka tahu mereka tidak mendapat sokongan penduduk Gaya.
Pada pilihan raya kecil itu, calon BN, Liew Teck Chan, 54, berdepan dengan calon DAP, Hiew King Cheu, 50, dan calon Keadilan, Christina Liew, juga 50.
Pilihan raya kecil ini memang unik. Pertama, ia tidak perlu diadakan sekiranya perisytiharan tentang kekosongan kerusinya dibuat dua bulan lagi.
Pilihan raya ini terpaksa diadakan kerana penggal parlimen semasa akan berakhir lebih dua tahun lagi -- tempohnya akan hanya tamat pada November 2004.
Satu lagi ciri menarik ialah perebutan yang berlaku antara DAP dan Keadilan yang berharap dapat mengisi kekosongan selaku pembangkang di Sabah setelah PBS kembali ke pangkuan BN awal tahun ini.
PBS bagaimanapun, tidak mengambil kisah tentang tindak-tanduk kedua-dua parti pembangkang berkenaan.
Pairin berkata hujah kononnya suara rakyat tidak akan lagi kedengaran kerana wakil pembangkang sudah tiada lagi di negeri ini adalah tidak betul.
"Dalam BN, apabila ada keperluan untuk menyuarakan kebimbangan rakyat,parti komponen sendiri yang akan mula-mula membangkitkannya. Tidak perlulah menunggu pembangkang," katanya.
Sebenarnya, keputusan pilihan raya kecil Gaya memberi makna yang amat besar walaupun ramai yang menganggap kemenangan sudah berada dalam genggaman BN.
Menurut jurukempen, majoriti besar yang diharapkan oleh BN akan mencerminkan keseluruhan kekuatannya selepas kepulangan PBS ke pangkuannya.
Pada pilihan raya umum 1999, calon BN bagi kerusi parlimen Gaya Datuk Yong Teck Lee mendapat 15,315 undi berbanding 11,198 yang diraih oleh Johnny Goh dari PBS. Calon Pas, Hamzah Abdullah pula, hilang wang pertaruhannya apabila mendapat hanya 729 undi.
Sebanyak 58.14 peratus daripada 47,135 pemilih di kawasan berkenaan keluar mengundi pada pilihan raya itu.
Memandangkan isu-isu berkaitan kadar bayaran meletak kenderaan dan tindakan meroboh rumah setinggan di sini sedang ditangani dengan bijak oleh parti pemerintah, maka kebimbangan yang ada pada BN sekarang hanyalahberkisar kepada tidak ramai yang akan keluar mengundi.
Barangkali, apa yang akan dialami oleh pembangkang di Gaya boleh disamakan dengan kisah nelayan tadi iaitu mereka hanya sekadar melihat perigi yang ada tanpa dapat menggunakannya untuk menghilangkan dahaga.
-- BERNAMA
|