PESONA

Konsep tradisi yang diperbaharui

Konsep tradisi yang diperbaharui



MENGGENDONG bayi dengan kain batik lepas sudah menjadi sesuatu yang lazim dalam kebanyakan budaya masyarakat Asia. Namun, ia semakin dilupakan selepas kemunculan kereta sorong, buaian mudah alih dan alat pendukung bayi yang lain.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini nafas baharu telah diberikan kepada kain gendongan bayi bagi menonjolkan keunikan kain tersebut melalui kepelbagaian warna dan variasi kain.

Dalam arena asuhan, kain gendong bayi mempunyai falsafah yang tersendiri. Ia berkonsepkan keadaan bayi yang menghabiskan tempoh sembilan bulan di dalam rahim dan kemudian sembilan bulan di luar rahim (ketika ia digendong).

Secara fitrah, bayi akan mengambil masanya yang tersendiri untuk membiasakan diri dengan persekitaran luar.

Kain tersebut juga dilihat sebagai tangan ‘ketiga’ bagi golongan ibu bapa kerana mereka boleh mendakap bayi masing-masing sambil melakukan kerja-kerja rumah atau menguruskan anak-anak yang lain.

Kedudukan postur badan bayi yang betul di dalam kain gendong membuatkan ia lebih selamat digunakan berbanding pembawa bayi yang biasa ditawarkan di pasaran.

Lebih daripada itu, ia membuatkan bayi berasa lebih dekat dengan ibunya selain si ibu dapat menyusukannya pada bila-bila masa sahaja.

Pada masa yang sama, ritma degupan jantung ibu membuatkan emosi bayi lebih tenang dan berasa selamat.

Pengarah Urusan syarikat pengeluar produk keperluan ibu, Srisuri Enterprise (Suri), Hazarina Ishak berkata, kain kendong bayi sesuai bagi bayi yang baru lahir sehingga ia mencapai berat 17 kilogram (kg). Namun, ia bergantung kepada jenis dan material yang digunakan.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu mengakui ia sesuai digunakan lebih-lebih lagi bagi bayi pramatang yang memerlukan perhatian khas.


PARA ibu perlu memastikan postur bayi berada dalam kedudukan yang betul.


Menerusi kain gendong itu, ia memaksimumkan sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan anak sekali gus menyebabkan tumbesaran lebih cepat dan sihat.

Mudah alih

Mengulas lanjut mengenai produk berkenaan, Hazarina berkata, ia bersifat mudah alih. Ia boleh dilipat dan mudah dibawa berbanding kereta tolak yang tidak sesuai digunakan dalam keadaan sesak kerana saiznya yang besar.

Selain mudah dibawa, bayi yang sering digendong bersama jarang menangis kerana keperluan naluri dapat dipenuhi.

Dalam pada itu, kini terdapat pelbagai jenis alat penggendong di pasaran iaitu pouch, ring sling, wrap, mei tai dan soft structure carrier.

Dalam katalog Suri, setiap jenis penggendong itu dijual pada harga yang berbeza. Misalnya, pouch dijual pada RM89.90, ring sling (RM159-RM199), wrap (RM188-RM238), mei tai (RM200) dan soft structure carrier (RM438).

“Kaedah pemakaiannya juga berlainan. Sebagai contoh, ring sling hanya perlu diselempangkan pada bahu ibu dan bayi akan masukkan ke dalamnya. Bergantung pada keselesaan ibu, bayi mereka boleh dibaringkan atau duduk dalam kendongan tersebut.

“Bagi penggendong jenis wrap, ia memberikan keselesaan yang lebih kepada ibu. Teknik ikatan yang digunakan membuatkan berat badan anak dibahagikan sama rata bagi kedua-dua bahu, pinggang dan bahagian badan ibu.

“Secara tidak langsung, ia tidak akan mendatangkan rasa beban atau berat memandangkan ikatan silang yang digunakan,” ujarnya lagi.

Secara asasnya, terdapat lima kedudukan bayi iaitu craddle (buai), uphold (depan, belakang dan pinggang). Span yang terdapat pada beberapa bahagian memberikan keselesaan kepada ibu dan bayi.

Beliau yang sudah berkecimpung dalam penjualan barangan bayi sejak lima tahun lalu mengakui ramai ibu moden semakin berjinak-jinak dengan kain gendongan itu.

Busana ibu menyusu

Berbicara lanjut, beliau berkata, di premis berkenaan terdapat rangkaian baju untuk ibu menyusu bayi mereka tanpa mengabaikan penampilan.


HAZARINA menunjukkan baju khas yang didatangkan dengan zip dan butang untuk memudahkan para ibu menyusukan bayi mereka.


Pilihan fabrik yang bermutu dalam gaya yang tersendiri akan memberikan keyakinan untuk ibu menyusu di khalayak ramai.

Turut terdapat tempahan khas baju kurung dan baju formal untuk ibu yang menyusukan anak mereka.

“Para ibu tidak perlu bimbang kerana rekaan khas baju-baju ini didatangkan dengan zip atau butang pada bahagian dada untuk memudahkan bayi menyusu,” jelasnya,

Untuk keterangan lanjut atau bagi mereka yang ingin mendapatkan rangkaian Suri secara borong, anda boleh melayari laman sosial Facebook www.suri.my. Anda juga boleh menghubungi talian 010-254 8020 atau 03-8861 3104. Rangkaian Suri turut boleh didapati di semua cawangan Lunatots.

Bagi seorang ibu muda, Norliana Abu Bakar, 23, biarpun pada mulanya berasa takut untuk memakai kain gendongan itu akhirnya dia mencubanya kerana tidak gemar menggunakan kereta sorong.

Menurutnya, kaedah menggendong lebih mudah dan hanya perlu menyilang selembar kain pada bahu untuk membawa anak bersama.

Selain itu, ujarnya, dia tidak bimbang ketika melakukan kerja-kerja rumah.

“Dulu saya terpaksa membiarkan dia (anak) sendirian di atas katil bayi ketika mahu melakukan kerja-kerja rumah. Ia menyebabkan adakalanya saya rasa tidak sedap hati atau dia akan menangis yang akhirnya membantutkan kesemua aktiviti yang mahu dilakukan.

“Namun, kini dengan menggunakan kain kendong ia bukan sahaja membantu saya mudah melakukan kerja rumah, malah ia sebenarnya memberi banyak manfaat terutama ketika keluar dari rumah. Lebih-lebih lagi ketika mahu menyusu. Hanya perlu menyelak baju tanpa dapat dilihat oleh orang ramai,” katanya yang menggemari kain kendong jenis wrap.

Sementara itu, Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Dr. Mohd. Ismail Maulut berkata, setakat ini belum ada kejadian akibat pemakaian kain gendongan bayi.

Bagaimanapun, beliau berkata, golongan ibu bapa perlu memastikan kain tersebut tidak membelit leher bayi kerana khuatir bayi tersebut lemas dalam kendongan.


KERETA tolak adalah antara pilihan ibu bapa untuk membawa anak di luar, bagaimanapun kain pengendong juga dilihat memberi kelebihan lain kerana lebih mudah dibawa dan tidak memerlukan ruang penyimpanan yang besar. - Gambar hiasan


Oleh itu, beliau mencadangkan agar kedudukan bayi diletakkan di bahagian hadapan supaya individu yang menggendong bayi dapat melihat situasi bayi ketika berada dalam kendongan,” katanya sambil tidak menggalakkan bayi diletakkan di bahagian belakang.

Varia!»

Bawa muzik untuk anak luar bandar

SEBAHAGIAN kakitangan Amway menunjukkan bakat bermain gendang semasa pelancaran program Hands Percussion Balik Kampung with Amway baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

  
Process time in ms: 16