SUKAN

Penghormatan buat Mokhtar Dahari

Penghormatan buat Mokhtar Dahari


AHLI keluarga Allahyarham Mokhtar Dahari diketuai isterinya, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim (dua dari kiri) bersama anak-anaknya, (dari kiri) Nur Azera, Reza dan Nur Arina bergambar di hadapan Gelanggang Mokhtar Dahari semalam.


NAMA bekas bintang bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari kini diabadikan di gelanggang utama Kompleks Futsal Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menjelaskan, ia adalah sebagai tanda penghormatan kepada legenda negara itu yang lebih dikenali sebagai Super Mokh sepanjang pembabitannya dalam sukan bola sepak tanah air.

"Selepas melakukan perbincangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan untuk menamakan gelanggang utama ini dengan nama Mokhtar Dahari yang suatu ketika dahulu, merupakan penyerang berbisa serta digeruni di rantau Asia.

"Dengan tertulisnya nama beliau di gelanggang ini, ia diharapkan ia akan meniup semangat anak-anak muda negara kita untuk bersama mengejar kegemilangan yang pernah dikecapi oleh Allahyarham, sekali gus memartabatkan semula sukan bola sepak tanah air," jelas Shabery.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Mohd. Reza amat bangga dengan penghargaan yang diberikan oleh KBS.

"Walaupun arwah telah meninggal dunia 19 tahun lalu, namun masih ada lagi pihak yang menghargai jasa serta pengorbanannya.

"Sudah pasti kami sekeluarga berbangga dengan penghargaan ini dan saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada KBS di atas penamaan Gelanggang Mokhtar Dahari ini," kata Reza.


SHABERY (kanan) cuba menyaingi kelincahan pemain pasukan pilihan FAM, K. Rajagobal pada perlawanan pertunjukan sempena perasmian Kompleks Futsal Putrajaya semalam.


Allahyarham Mokhtar meninggal dunia pada 11 Julai 1991 selepas menghidap penyakit distrofi otot.

Semasa hayatnya, Allahyarham mewakili negara pada Sukan Asia 1974 dan 1978; Sukan SEA 1975, 1977 dan 1979; Pestabola Merdeka 1972 hingga 1984 dan penampilan terakhir pada Pra-Olimpik di Seoul, Korea Selatan pada 1985.

Walaupun ketika ayahnya menghembuskan nafas terakhir Reza baru berusia 10 tahun, namun dia memahami pemergian ayahnya itu merupakan satu kehilangan besar buat arena bola sepak negara.

Sejak itu, Reza, 29, yang mesra dengan panggilan Jaja telah menanam cita-cita untuk mengikut jejak arwah ayahnya.

"Minat saya dalam bola sepak timbul bila saya sering dibawa arwah ayah ke stadium dan padang latihan," katanya Reza yang kini berkhidmat sebagai pegawai di Bahagian Perhubungan Korporat UMW Corporation.

Antara pembabitan Reza dalam sukan bola sepak ialah mewakili Selangor pada saingan Piala Emas Raja-Raja.

Diva Interaktif!»

Lakonan Uqasha, Pekin

PEKIN dan Uqasha kini mengelak memberi komen tentang status perhubungan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0