KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud menafikan beliau ada mengesahkan Pangkalan TUDM Butterworth mengesan lokasi pesawat MH370 yang berpatah balik dekat Pulau Perak di Selat Melaka pada jam 2.40 pagi sebelum ia hilang seperti yang dilaporkan BH semalam.

"Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak membuat kenyataan sedemikian. Apa yang berlaku ialah wartawan Berita Harian bertanya saya sama ada insiden itu berlaku seperti yang dihuraikan dalam laporan mereka.
"Bagaimanapun, saya tidak memberi sebarang jawapan. Sebaliknya apa yang saya katakan kepada wartawan berkenaan ialah: 'Sila rujuk kepada kenyataan yang saya buat pada 9 Mac 2014 semasa sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera di Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Rodzali berkata, apa yang dinyatakan beliau pada sidang media itu ialah TUDM tidak menolak kemungkinan pesawat berkenaan berpatah balik sebelum hilang dari radar dan ini menjurus kepada operasi mencari dan menyelamat di perairan Pulau Pinang.

"Saya meminta kesilapan laporan ini dipinda dan diperbetulkan bagi mengelak berlakunya lagi salah tafsiran terhadap laporan yang jelas tidak tepat dan silap," katanya.

Rodzali berkata, TUDM sedang menganalisis semua kemungkinan berhubung laluan pesawat penumpang itu selepas kehilangannya.

Bagaimanapun, katanya, adalah tidak wajar untuk TUDM mengeluarkan sebarang rumusan rasmi pada masa ini berhubung laluan pesawat itu sehinggalah tahap kepastian dan pengesahan yang tinggi dicapai.
"Namun, semua operasi mencari semasa dilakukan dengan meliputi semua kawasan di mana pesawat berkenaan mungkin jatuh bagi memastikan tiada yang terlepas pandang," katanya.

Rodzali juga berkata, semua maklumat dan perkembangan terkini akan disalurkan menerusi kenyataan rasmi dan sidang media secepat yang mungkin bila perlu.

"Usaha kami kini tertumpu kepada penemuan pesawat berkenaan secepat yang mungkin," katanya.