X Close

Agong Rasmi Masjid Asy-Syakirin KLCC

Diterbitkan: Jumaat 26 Ogos, 2011

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Jumaat berkenan merasmikan Masjid Asy-Syakirin Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini.

Baginda turut menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 12,000 jemaah di masjid tersebut.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Jamil Khir dalam ucapannya berkata masjid itu pada mulanya didaftarkan sebagai sebuah surau pada 12 Julai, 1999 untuk kegunaan petugas Petronas, dan sebelum dinaikkan taraf sebagai masjid yang ditadbir oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Masjid dua tingkat berkeluasan 21 hektar itu yang dikenali ramai sebagai permata dalam taman kerana kedudukannya yang strategik dan berhadapan dengan taman KLCC itu turut menyediakan sebuah dewan yang mampu menampung seramai 500 orang dengan dilengkapi sistem audio, bilik mesyuarat dan bilik jenazah," katanya.

Nama Asy-Syakirin yang bermaksud orang-orang yang bersyukur dipilih sebagai nama rasmi untuk masjid ini, yang merupakan sebuah mercu tanda seni bina Islam di sebuah kawasan yang pesat membangun di tengah ibu kota, katanya. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan