Sebut sahaja nama Nina Juren, semua pasti setuju dia adalah antara pelakon lengkap dalam satu pakej - rupa dan bakat.

Bagaimanapun sejak berkahwin 20 tahun lalu, kehidupannya lebih terarah kepada keluarga meski adakalanya masa sengang dia tidak menolak tawaran lakonan.

Cuma sejak tujuh tahun lepas, Nina memilih untuk ‘senyap’ dan berehat daripada aktiviti seni. Tidak pula menganggap 'kehilangannya’ itu adalah petanda bahawa dia mahu meletak noktah akhir untuk karier lakonannya, Nina menjelaskan, dia memilih untuk memberi tumpuan kepada keluarga berbanding soal lakonan.

“Saya agak sepi tetapi tidak pernah kata nak berhenti atau hadkan diri dari dunia lakonan. Saya diam sebab saya nak tumpu kepada anak-anak. Itu adalah jawapan standard semua artis yang sudah menjadi ibu seperti saya. Saya ini pula jenis rapat dengan keluarga dan selalu fikir yang keluarga perlukan saya dalam tempoh itu.

“Bayangkan macam mana saya nak pergi ke set penggambaran kalau selang lima minit telefon berbunyi, anak-anak hubungi. Akhirnya saya fikir, tak apalah, saya jaga dulu mereka sampai besar dan kemudian barulah saya kembali bekerja,” katanya.

Menurut Nina, selama membesarkan enam anak-anaknya tiada hari yang dia tidak merindui dan berkeinginan untuk kembali ke dunia lakonan.

Sehingga pernah ditegur suaminya yang melihat Nina teramat rindu untuk bergelar pelakon semula.

“Siapa kata saya tak rindu. Bayangkan, apabila anak-anak dah tidur, waktu itulah saya gunakan untuk menonton semua drama yang saya rakamkan di televisyen. Tengok semua siaran drama.

“Sampaikan suami tegur, ‘awak ini memang betul rindu nak berlakon ini.’ Sebenarnya selain minat, itu cara saya saya nak tengok kawan-kawan yang masih aktif berlakon. Selain itu dapat juga saya kenal siapa pelakon baru dalam industri seni tanah air,” katanya.

Walaupun begitu, pelakon yang sudah mencecah usia 40-an ini turut mengakui, tidak terburu-buru kembali ke dunia hiburan terutama jika tawaran itu tidak sesuai dengan diri dan statusnya sebagai isteri dan ibu.

“Sudah tentulah saya mementingkan mutu. Bila nak kembali ke dunia lakonan, perasaan saya memang gementar, mungkin kearana sudah lama meninggalkan bidang ini.

“Tetapi saya juuga tidak mahu penerbit, pengarah dan peminat tengok lakonan saya ala kadar saja. Kalau macam itu, orang pun akan cakap, baik saya duduk rumah saja,” katanya.

Keluarga bukan beban

Kata Nina, dia juga tidak mahu orang salah faham menganggap kerinduannya terhadap bidang lakonan seolah-olah terhalang kerana keluarga.

Dia tidak pernah menganggap keluarga umpama satu beban dan kerana itu dia terpaksa ‘berehat’ daripada bidang lakonan.

“Suami saya tak pernah halang. Jangan kata sebab dia maka saya tak nak berlakon. Anak-anak juga bukan beban. Ini jalan yang saya pilih. Tak ada orang paksa pun. Saya yang nak (berehat) sebab memikirkan masa dan keadaan tidak sesuai untuk saya berlakon,” katanya.

Malah kata ibu kepada Heidi Ariana, 20, Mira Sethina & Myra Jasmine,18, (kembar), Nina Melor, 16, Seth Imran,11, dan Nina Jasmine, 10, ini, anak-anaknya juga ada yang mewarisi bakat lakonannya.

“Jangan tak tahu, anak saya yang bongsu suka sangat dengan dunia lakonan. Kecil-kecil dah nampak bakatnya,” katanya yang kembali dengan filem arahan Aaron Aziz berjudul Romeo Kota yang akan ditayangkan tidak lama lagi.