PENYERANG baharu Harimau Malaya, Mohd Faiz Subri sanggup memendekkan tempoh percutiannya dengan keluarga di Langkawi semata-mata untuk menjalani latihan bersama Harimau Malaya menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.
 
Bekas pemain T-Team, Kelantan dan Terengganu yang kini menyarung jersi Harimau Kumbang ternyata terkejut selepas mendapat panggilan dari Ketua Jurulatih, Dollah Salleh untuk bersama menjalani latihan dengan rakan sepasukan lain.
 
“Sebenarnya saya diberikan cuti 10 hari pengurusan Pulau Pinang selepas tamat saingan Liga Perdana, Jumaat lalu, jadi saya membawa keluarga berehat di Langkawi.
 
“Selepas mendapat panggilan, saya mengambil keputusan memendekkan percutian untuk hadir menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM,” katanya ketika hadir menjalani latihan kali pertama di Wisma FAM, semalam.
 
Faiz yang mampu beraksi selaku pemain sayap dan penyerang bagaimana pun menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada jurulatih sama ada untuk menurunkannya pada aksi menentang Bangladesh Sabtu ini atau sebaliknya.
 
“Memang teruja selepas kali terakhir dipanggil bersama skuad kebangsaan pada 2012 dan 2013 ketika dibawah kendalian Datuk K Rajagobal, tetapi tidak diturunkan beraksi.
 
“Untuk kali ini sama ada saya dapat beraksi atau tidak, semuanya bergantung kepada jurulatih dan seandainya diberikan peluang saya akan memberikan yang terbaik buat Harimau Malaya,” katanya.