Masalah bermula tatkala Suraya, lakonan Watie Sadali disahkan mengandung. Akhirnya masalah lain timbul apabila anak yang dikandung meninggal dunia dan diganti dengan bayi lain tanpa pengetahuan suaminya.

Selain Watie, pelakon lain yang terlibat termasuk Mia Ahmad, Afzan Rahman, Farahdhiya, Zuhairi Ibrahim, Keena Mentor, Ewan DFKL dan Aishah Atan.

Saat dia membesarkan anak tersebut, Suraya akhirnya dikurniakan seorang lagi anak tetapi berhadapan dengan satu lagi situasi untuk membahagikan kasih sayang antara anak sendiri dan anak angkat.

Menambahkan debar tatkala anak-anak mula meningkat remaja dan meminati lelaki yang sama. Satu persatu masalah baru muncul dalam kehidupan keluarga tersebut saban hari.

Paling terkesan apabila campur tangan suami yang tidak tahu rahsia besar yang disimpan selama ini akhirnya memburukkan lagi situasi keluarga mereka.

Cari tema sesuai

Bagi Azman Bachik (Raymond) selaku Pengurus Produksi, drama bersiri 20 episod ini bakal meninggalkan sesuatu kisah baru yang akan melekat di hati kebanyakan peminat di slot Azalea.

“Memang setiap kali muncul dengan buah tangan terbaru kita akan mencari tema-tema yang bersesuaian agar tidak dilihat klise dan sama dengan yang sudah dipaparkan sebelum ini.

“Sebab itu melalui drama bersiri Aku Tak Rela ini pihak penerbit mahu menghasilkan buah tangan yang dekat di hati peminat tetapi ditambah dengan idea segar dan konflik yang jarang dipaparkan kepada umum.

“Untungnya idea yang dipersembahkan ke dalam drama ini berlainan dan lebih segar menjadikan drama lebih ‘cantik’ dan mampu menarik perhatian penonton apabila ditayangkan nanti,” jelasnya yang sudah 20 tahun berpengalaman di belakang tabir.

Selain Aku Tak Rela, A. Aida Production pernah menerbitkan banyak drama bersiri antaranya Dosa Seorang Suami, Fatimah Juling dan Halimah Jongang yang pernah diheret kontroversi beberapa tahun yang lalu.

Mengulas mengenai cabaran pula, Azman menjelaskan pihaknya tidak berhadapan dengan sebarang masalah besar memandangkan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak termasuk pelakon.

“Kita terpaksa membahagikan drama ini kepada dua blok. Pertama tentang konflik yang berlaku kepada Suraya dan kedua kisah yang melanda anak apabila mengetahui status anak angkat.

“Ada gambaran imbau kembali terutama sewaktu watak Suraya ketika muda dan sesudah berusia. Itu kekuatan yang cuba kita tonjolkan melalui Aku Tak Rela ini,” ungkap Azman satu persatu.

Penggambaran drama tidak hanya dilakukan di Kuala Lumpur sebaliknya turut melibatkan lokasi seperti di Awana Resort Pulau Perhentian; Manor Beach Resort Besut dan Setiu masing-masing di Terengganu sebagai lokasi utama.

Keadaan faktor cuaca yang hujan ketika ini juga tidak mengganggu proses penggambaran dan memudahkan segala jadual yang telah dirancang oleh produksi sejak awal lagi.