7 Julai 2004
19 Jamadil Awal 1425
Utusan Malaysia
 
Utusan Express
 

Search Archives
Feedback
Corporate Info

 
 Hiburan
NORA - Kehidupan berubah selepas dilamar Hotlink

NORA - Kehidupan berubah selepas dilamar Hotlink

Oleh KHADIJAH IBRAHIM


NORA.


KEGEMBIRAAN jelas terbayang pada wajah si jejaka apabila berjaya menemui gadis idaman sewaktu menaiki LRT. Jika iklan mesej multimedia (MMS) Hotlink yang bertajuk Hotlink Mysterious Girl itu diadaptasikan dalam kehidupan sebenar, pasti ramai yang berebut untuk memegang watak jejaka (Cashy) itu.

Siapa yang tidak mahu bertemu dengan gadis jelita misteri bernama Nora Mohd. Danish Hanif, 22.

Biar ramai jejaka sanggup melakonkan watak tersebut, namun Nora belum terfikir untuk menjadikan adegan tersebut sebagai realiti.

Ini kerana dalam kehidupan sebenar, Nora yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik ini baru sahaja putus cinta dengan kekasih yang dikenalinya sejak empat tahun lalu.

``Kalau saya nak mencari kekasih pun biarlah yang memahami kerjaya saya yang tidak menentu ini. Jika tidak ada persefahaman, kerja yang mudah akan jadi susah,'' katanya terus terang.

Nora yang dibesarkan di Kajang ini mula mendapat perhatian masyarakat setelah iklan tersebut dipertontonkan di kaca TV.

Sejak itu, kata Nora, berbagai tawaran komersial mendatanginya termasuk tawaran menjadi model iklan Intimate dan Clearasil.

Lebih memeranjatkannya, lamaran berlakon juga datang kepadanya.

Siapa sangka, selepas tiga tahun melibatkan diri dalam bidang komersial, hidup Nora berubah setelah dilamar Hotlink.

``Bayangkan! Saya ditawarkan berlakon di bawah Aziz M.Osman,'' cerita Nora gembira.

Nora yang tidak pernah terfikir untuk menjadi pelakon itu, awalnya merasa gugup menerima tawaran melakonkan drama bersiri, Puteri Impian itu.

``Bagi saya, Aziz pengarah hebat. Sebab itu waktu ditawarkan berlakon drama arahannya, saya tanya diri sendiri mampukah saya berikan lakonan mengikut kehendak pengarah.

``Tapi bodohlah kalau saya menolaknya. Ini cabaran untuk saya mencuba sesuatu yang baru dalam hidup saya. Sebab itu saya kena bekerja keras untuk membuktikan diri saya berbakat,'' kata Nora.

Sebelum itu, Nora telah melakonkan telemovie cakera padat video (VCD) Cinta KLCC dan Celak Pak Andam yang masih melakukan promosi hingga kini.

``Apabila saya mula berlakon barulah saya tahu, berlakon iklan dan VCD berbeza sebab iklan tidak memerlukan banyak pergerakan dan ekspresi muka,'' katanya yang menjadikan pelakon Dian Sastrowodoyo sebagai ikon.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Nora, sewaktu penggambaran telemovie Celak Pak Andam, bila dia disuruh menangis.

``Susah sangat nak keluarkan air mata waktu adegan itu walaupun saya seorang yang penyedih. Selalunya kalau tengok cerita sedih, saya mudah menangis. Tapi bila di lokasi, saya susah nak menangis. Mungkin sebab ramai orang,'' ceritanya sambil ketawa.

Bukan datang daripada keluarga seni, Nora menggenggam azam untuk menggunakan peluang ke dunia lakonan sebaik mungkin.

Katanya, dia tidak mahu dikenali dalam bidang seni berdasarkan cerita panas. Nora lebih berbangga jika namanya menjadi bualan hangat kerana bakat lakonan.

Selain berlakon, Nora masih lagi meneruskan tugasan sebagai model. Terbaru dia mendapat tawaran menjadi model untuk produk La Diva Beauty Care.


 
Kes Bunuh
Noritta:
Intisari Penghakiman

Berikut Adalah Jadual Waktu Solat Bagi Tahun 2004-2005

Sila Pilih Kawasan Anda

Kalendar Takwim






Tajuk-tajuk Berita
  • Bob Lokman - Bersara tulis lirik dan berlakon
  • Yang Hangat Bersama Ajizz
  • Fitri - Tidak kecewa
  • Papita anjur pertandingan golf amal


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: online@utusan.com.my