Pejabat Jajahan Tumpat telah dibina pada 1 Januari, 1949 di Kawasan Padang Mahkota iaitu di hadapan kediaman rasmi Ketua Jajahan dan apabila beroperasi telah diterajui oleh Allahyarham Dato’ Nik Hussein bin Nik Zainal (Dato’ Kaya Setia) selaku Ketua Jajahan yang pertama.

Kepesatan pembangunan yang dialami di Jajahan Tumpat pada waktu itu serentak dengan perkembangan PelabUhan dan Stesen Keretapi yang merupakan nadi perhubungan dan pengangkutan di Pantai Timur telah mendorong Ketua Jajahan dan pentadbiran Negeri memindahkan Pejabat Jajahan Tumpat ke bangunan yang lebih selesa (bangunan-bangunan ini telah pun terbakar) dan tapaknya sekarang didirikan bangunan Perpustakaan Awam untuk menyediakan kemudahan pembelajaran dan menimba ilmu kepada penduduk tempatan.

Di atas kepentingan dan kesedaran bahawa Pejabat Jajahan Tumpat merupakan Pejabat Nukleas kepada Jabatan-jabatan lain di Jajahan ini, maka sekali lagi pada tahun 1984, Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat dipindahkan ke bangunan baru yang lebih selesa dan moden di atas tanah seluas 1.09 ha. berhadapan dengan Masjid Besar Jajahan Tumpat dan seterusnya digunakan sehingga sekarang.

Jajahan Tumpat adalah satu-satunya Jajahan yang paling kecil antara Jajahan di Negeri Kelantan dengan keluasannya hanya 169.5 km2. Bagaimana pun Tumpat merupakan Jajahan yang paling unik sekali kerana mempunyai dataran dan beratus-ratus buah pulau Sungai (River Island) yang tidak berbukit yang amat sesuai serta berpotensi untuk dijadikan kawasan Pelancongan Antarabangsa.

Jajahan Tumpat ditadbirkan melalui Tujuh Daerah Penggawa dan dibahagikan kepada 30 Mukim. Di setiap Mukim ini pula terdapat beberapa buah kampung yang kesemuanya berjumlah 57 buah dan setiap kampung diketuai oleh seorang penghulu (Ketua Kampung) yang bertindak sebagai penghubung antara rakyat dan Pentadbiran Jajahan.