Farah minta maaf kontroversi skirt pendek
Oleh Zubir Mohd Yunus

Kesilapan tidak peka suasana Aidilfitri ketika rakaman program Cit Cat Azwan Ali bukan berniat meninggung hati sesiapa

"PADA mulanya Farah menerima panggilan telefon daripada pihak produksi Cit Cat Raya Azwan 2007, itupun di saat akhir untuk menggantikan tempat seorang artis yang tak dapat hadir ke rakaman program berkenaan. Kebetulan pada hari rakaman yang diadakan di Holiday Villa Subang Jaya , Farah tak buat apa-apa, jadi Farah terima tawaran berkenaan.

Justeru, persiapan dari segi pakaian turut dibuat pada saat akhir. Farah sendiri berasa kurang selesa dengan pakaian yang akan dipakai ketika menyanyikan lagu Seribu Penipuan. Tapi, untuk rakaman lagu itu, saja Farah mengenakan pakaian berkenaan (baju yang dikatakan seksi), segmen lain Farah pakai baju kurung.

Ada juga lagu raya yang Farah nyanyikan, Farah pakai baju kurung. Ketika Farah hendak menyanyikan lagu Seribu Penipuan, Farah diminta mengenakan pakaian yang selalu Farah pakai ketika show. Jadi, pakaian yang sering Farah pakai ketika show ialah skrit pendek dengan stokin hitam panjang berserta boots. Penampilan yang tidak keterlaluan.

Tapi, memang salah Farah kerana sepatutnya Farah tanya dengan lebih lanjut, baju yang Farah pakai ni sesuai ke dengan rancangan ini. Farah pun masih baru. Lagipun, rakaman itu adalah pembabitan pertama Farah dalam program Cit Cat Azwan. Farah tak faham lagi macam mana penonton Cit Cat. Tak terfikir langsung siapakah khalayak penontonnya, lebih-lebih lagi ia akan disiarkan pada musim raya.

Farah lurus bendul, orang cakap Farah pakai baju yang lazim Farah pakai ketika buat show, Farah terus pakai tanpa banyak berfikir dan bertanya. Justeru, dari kerendahan dan keikhlasan hati, memang Farah minta maaf banyak-banyak. Farah sendiri tengok penampilan diri Farah dalam TV, rasa malu sangat menerusi program yang menemui penonton pada musim raya itu.

Farah dapat rasakan, pasti ramai yang akan tersinggung dengan penampilan itu. Apa yang mereka saksikan itu adalah program sempena hari raya, props menampilkan suasana raya, Farah pula berpakaian begitu. Farah akui, memang Farah melakukan kesilapan. Tapi, bukan niat Farah untuk menyinggung hati sesiapa, jauh sekali untuk mempersendakan program hari raya.

Salahkan diri sendiri

IMEJ yang Farah tonjolkan untuk album pertama ini mendapat reaksi positif, nampak segar dan sesuai dengan lagu yang dibawakan. Jadi, Farah beranggapan, imej yang macam inilah peminat mahu. Apabila Farah tampil dengan pembaharuan ini, ramai pula yang memuji. Bagi Farah, seksi Farah tidaklah keterlaluan. Farah juga perlu menjaga maruah diri dan nama baik suami serta keluarga.

Justeru, apabila Farah menampilkan imej pakaian yang sama dalam Cit Cat Raya, tanpa Farah sedari, Farah sebenarnya sudah menyinggung perasaan banyak pihak. Farah terkilan, sepatutnya Farah mengenakan baju kurung untuk menyanyikan lagu Seribu Penipuan. Lagipun, artis yang datang malam itu, Jaclyn Victor misalnya turut mengenakan baju kurung ketika menyanyi. Itu yang membuatkan Farah lebih terkilan.

Apapun alasannya, Farah tetap salahkan diri sendiri sebab terlalu lurus sehingga terlupa memikirkan implikasinya. Apa yang berlaku ini betul-betul membuatkan Farah menjadi lebih peka dan tegas. Farah tidak menyalahkan sesiapa termasuklah pihak produksi kerana Farah sendiri sepatutnya perlu lebih banyak berfikir dan bertanya. Ini satu pengajaran yang cukup berharga bagi diri Farah.

Bagi Farah, inilah kontroversi pertama yang terpaksa Farah tempuh sejak bergelar artis. Selepas insiden berkenaan, Farah trauma. Macam baru-baru ini ada sesi fotografi, lazimnya Farah spontan saja depan kamera, tapi kali ini lebih berhati-hati, misalnya baju apa yang Farah pakai seksi ke tak, cara angkat tangan, takut nampak ketiak ke apa ke. Apabila Farah keluar, rasa macam orang pandang kita.

Farah pujuk diri sendiri dan alhamdulillah dengan bimbingan suami dan keluarga, perasaan negatif itu sedikit demi sedikit dapat diatasi. Rakan-rakan rapat dan peminat yang mengenali Farah, sentiasa memberi sokongan dan itulah yang menjadi kekuatan kepada Farah.

Harap masyarakat beri peluang

KONTROVERSI yang berlaku bukannya Farah minta. Farah juga sudah berkahwin, sekali pun album baru saja di pasaran. Semuanya nak elak kontroversi dan gosip.

Alhamdulillah selepas peristiwa itu, Farah masih berupaya meneruskan aktiviti nyanyian, show pula tetap ada undangan. Farah masih beruntung, masyarakat tidak 100 peratus menolak kehadiran Farah gara-gara kontroversi ini. Hanya golongan minoriti saja yang masih beranggapan negatif, selebihnya tetap memberi sokongan.

Pada kesempatan ini, sekali lagi Farah nak minta maaf dan berharap masyarakat di luar sana sedia memaafkan Farah. Jauh sekali niat Farah untuk memperlekeh kemuliaan Syawal dengan berpakaian begitu. Kadang-kadang sikap Farah yang lurus bendul itu, memakan diri sendiri.

Farah turut mengharapkan sokongan terus menerus daripada peminat, album pula baru saja menjengah pasaran, berilah Farah peluang membina semula nama yang sudah tercalar ini. Berilah tunjuk ajar, janganlah terus menghukum Farah. Farah dah beri penjelasan, harap-harap masyarakat memberi ruang kepada Farah memperbaiki kesilapan.

Inilah dugaan yang lebih mendewasakan Farah dalam meniti karier seorang penyanyi. Apa yang berlaku ini menjadikan Farah lebih berhati-hati ke atas semua perkara dan terlalu memilih. Berilah kritikan membina kepada Farah, bukannya terus menjatuhkan hukum. Semua orang melakukan kesilapan, begitu juga dengan Farah, tak boleh lari dari melakukan kesilapan."

Info Farah Asyikin

  • Farah Asyikin Datuk Zulkifli, 28, dilahirkan pada 11 November 1979 dan berasal dari Kuala Lumpur. Anak sulung daripada empat beradik ini memperoleh Diploma Lanjutan Pengiklanan & Penyiaran dari Universiti Lim Kok Wing.

  • Menjayakan komersil TV pertamanya seawal usia 16 tahun iaitu iklan Twisties. Mula dikenali sebagai penyanyi apabila menghasilkan single Kembali Lagi Di Sisimu menerusi album kompilasi Bebas yang dihasilkan untuk mempromosikan produk Salem Cool Planet.

  • Dia seterusnya menyertai program realiti TV, Malaysian Idol 2 (MI2) pada 2005 dan menduduki tempat ketiga apabila Daniel dinobatkan sebagai juara manakala Nita di tempat kedua. Setahun kemudian, dia mencuba nasib apabila menyertai One In A Million (OIAM). Farah sekadar menduduki tempat kelima apabila Suki di tempat pertama dan naib juaranya, Faizal Tahir.

  • Farah melahirkan album studio pertamanya pada Mei lalu dan mengambil namanya sebagai judul album. Album berkenaan adalah terbitan Nature Records. Lagu yang sering diputarkan di corong radio ialah Seribu Penipuan, Cinta dan Di Pangkuan Pilu.

  • Mendirikan rumah tangga dengan seorang doktor yang kini bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) iaitu Dr Fariz Yahya. Mereka bernikah pada 12 Mei lalu.


  •