9. Penerimaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris:

Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin

Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin

Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin
Presiden
Persatuan Linguistik Malaysia

Pennalan

Manusia secara kognisinya akan menumpukan perhatian kepada maklumat yang relevan dengan dirinya. Mengikut teori relevans (1995), semakin tinggi kesan konteks dan semakin rendah usaha memproses maklumat maka semakin relevan ujaran kita. Penutur mesti memastikan prinsip ini dipatuhi. Pendengar di satu pihak yang lain akan menumpukan perhatian kepada ujaran yang relevan sahaja. Sekali lagi kaitan dengan komunikasi ialah kos memprosesnya. Jika bahasa yang digunakan dapat difahami dengan mudah, diikuti dengan usaha memproses maklumat yang rendah, maka maklumat yang disampaikan oleh penutur akan mendapat perhatian. Di sini jika sesuatu maklumat yang hendak disampaikan dalam BM dapat difahami langsung oleh penutur Melayu berbanding dengan Inggeris maka adalah lebih relevan jika BM diteruskan. Tetapi sebaliknya jika BI digunakan, pendengar harus menginterpretasikannya dalam dua tahap. Satu tahap memahami BI itu sendiri, kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa yang difahami dan tahap kedua membuat interpretasi. Ini bermakna komunikasi menjadi bertambah susah. Implikasi akan dapat dilihat pada mereka yang kurang mahir berbahasa Inggeris. Malah di negara ini, lebih daripada 50% pelajar akan mendapat kesan yang kurang positif. Cara terbaik ialah dengan mengekalkan BM dan tidak mengabaikan BI.

Kertas ini adalah hasil penyelidikan terhadap sikap penerimaan pengajaran Sains dan Matematik (S&M) di kalangan pelajar dan guru. Kajian ini adalah rentetan dari penukaran dasar bahasa dalam pendidikan negara yang menyaksikan penonjolan bahasa Inggeris semula dalam sistem pendidikan negara ini. Dasar yang dilakukan dengan tempoh masa yang boleh dikira terhad telah menimbulkan pelbagai reaksi. Ada reaksi yang positif dan tidak kurang pula reaksi yang negatif. Pentadbir yang mempunyai kuasa pusat telah mengarahkan pelaksana iaitu guru dan sekolah yang hanya mempunyai kuasa pinggiran menjalankan arahan tersebut.

Pejuang bahasa termasuk ahli bahasa merasakan langkah ini sebagai tergesa-gesa. Pada pejuang bahasa langkah ini boleh diibaratkan langkah mengundur. Pada saat negara melihat pencapaian yang membanggakan dengan anak watan mula menduduki jawatan profesional dan korporat hasil dari dasar pendidikan kebangsaan, bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dikorbankan atas alasan ketidakupayaan anak watan berbahasa Inggeris. Tiada siapa yang menyangkal kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan sekaligus bahasa antarabangsa. Tetapi kita harus bijak mengatur. Bijak bahasa belum bererti bijak menguasai ilmu. Sains dan matematik adalah ilmu. Bahasa adalah alat untuk menyampaikan ilmu tersebut. Para sarjana memang mengakui bahawa hanya bahasa pertama yang berkesan untuk menyampaikan ilmu. Contohnya Jepun, Korea, Perancis dan Jerman. Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.

Memandangkan pertukaran dasar ini bakal memberikan impak yang sangat besar pada bahasa dan bangsa Melaysia, maka difikirkan satu kajian awal perlu dilakukan. Kertas ini akan membincangkan persoalan ini berdasarkan beberapa perspektif iaitu politik, pendidikan dan linguistik. Kertas ini juga akan memaparkan hasil kajian sikap ini dan mempertalikannya dengan pembentukan kesatubangsaan khasnya.

Permasalahan Kajian

Ledakan maklumat melalui teknologi maklumat menyaksikan bahasa Inggeris (BI) kembali beraksi di gelanggang antarabangsa. Bersandarkan alasan globalisasi, bahasa Inggeris kembali mendominasi dunia. BI dikenali sebagai bahasa global. Persoalannya sekarang adakah BI sebagai bahasa global maka ia terus sesuai menjadi bahasa penghantar bagi setiap bahasa di dunia?

Penerapan dasar baru (meskipun menyalahi akta Dasar Pelajaran Kebangsaan) menyaksikan penggunaan BI dalam mata pelajaran S&M. Penerapan ini boleh dilihat dari 3 perspektif iaitu politik, pendidikan dan linguistik. Dari ketiga-tiga perspektif ini akan terhasil satu gambaran jelas ke mana arah harus dibawa sistem pendidikan dan bahasa Melayu itu sendiri.

Perspektif politik

Gelombang arus globalisasi tidak boleh dipisahkan dengan pengaruh bahasa Inggeris itu sendiri. Fenomena ini memperlihatkan berlakunya imperialisme bahasa. Yang dimaksudkan dengan imperialisme bahasa ialah dasar meluaskan kuasa dan pengaruh negara ke dunia melalui diplomasi dan kekuatan tentera, terutama sekali dengan mendapatkan tanah jajahan (Oxford Fajar Advanced Learner’s English-Malay, 2000). Definisi imperialisme yang dimaksudkan ini harus diperluaskan lagi. Kini bahasa juga boleh dianggap sebagai satu bentuk imperialisme. Imperialisme dari perspektif ilmu sosiolinguistik ialah sejenis hubungan yang membolehkan satu masyarakat mendominasi masyarakat yang lain. Empat mekanisme yang mengemudi imperialisme iaitu, eksploitasi, penembusan, pemecahan dan peminggiran (Phillipson; 1992). Teori imperialisme ini melihat pembahagian dunia berdasarkan dua entiti. Yang pertama dikenali sebagai pusat dominan (dominant center) dan satu lagi sebagai pinggiran terdominasi (dominated peripheries) –negara-negara sedang membangun.

Golongan elit di pusat dan pinggiran disatukan oleh minat yang sama dalam imperialisme iaitu bahasa. Golongan elit adalah mereka dari masyarakat peribumi yang berpendidikan barat dan mempunyai hubungan yang rapat dengan pusat. Mereka jug a yang selalu memegang tampuk pemerintahan negara. Pada peringkat ini oraganisasi antarabangsa memainkan peranan utama. Organisasi seperti ekonomi (swasta dan perkhidmatan separuh kerajaan), politik (oragnisasi pemerintah supra nasional), ketenteraan (pelbagai sistem bersekutu, pakatan), komunikasi (perkapalan, syarikat penerbangan, agensi berita) dan budaya (syarikat filem, penerbit buku).

Kini dengan noe-neo kolonialisme, interaksi pusat-pinggir bermakna komunikasi antarabangsa. Teknologi komputer akan mengikis keperluan kehadiran fizikal bagi pengeksploit. Teknologi komunikasi baru akan ditingkatkan untuk membolehkan kuasa pusat menguasai kesedaran masyarakat. Ini sebenarnya akan meningkatkan dan meneguhkan lagi pengawalan hasil-hasil pengeluaran. Bagi membolehkan ini berjaya ia memerlukan penembusan budaya dan linguistik pusat kepada pinggiran. Dalam dunia hari ini teknik pemujukan (ideas) bukannya paksaan (stick) atau tolak ansur (carrot) yang digunakan. Ini dapat dilihat daripada peranan media hari ini . Ini juga ada kaitan dengan globalisasai.

Globalisasi pula didefinisikan sebagai dunia tanpa sempadan. Kesan daripada ini maka nilai, terutama cara berfikir dan bertindak, dapat dipindahkan secara bebas dan cepat dari satu daerah dunia ke satu daerah dunia yang lain. Dewasa ini perpindahan yang paling ketara dalam proses globalisasi ialah perpindahan nilai dunia barat (terutama Amerika Syarikat), ke dunia bukan barat. Akibat perpindahan nilai ini maka produksi dan penggunaan pasaran, barangan dan selera tertolak ke arah homogenisasi untuk memenuhi pendekatan ‘one size fits all’.

Kesan daripada globalisasi terhadap bahasa dan budaya juga pernah dibincangkan oleh Mohd. Fazli. Mohd. Fazli (1999: 53-54) dalm artikelnya yang bertajuk, “’Amerikanisasi” dan Masa Depan Budaya Tempatan’, ada menyentuh tentang kesan globalisasi pada budaya tempatan. Jelasnya produk Amerika bersama-sama ideloginya mendominasi pasaran dunia. Proses globalisasi dikaitkan dengan kelahiran “McWorld’. “McWorld’ adalah produk yang wujud akibat pengaruh Music Television (MTV), McIntosh dan McDonald. McWorld memukau dunia dengan konsepsi intergrasi budaya dan keseragaman musik Ricky Martin, membaca buku Stephen King. Imperialisme budaya bukanlah perkara baru, tetapi hari ini fenomena ini semakin membimbangkan kerana ditunjangi oleh teknologi baru dan dorongan keuntungan dalam dinamik globalisasi. Nilai budaya tradisi seperti kekeluargaan, komuniti, menghormati kehidupan, kemesraan dan sebagainya bertembung dan tewas apabila menghadapi nilai yang dikomunikasikan menerusi musik, wayang gambar, video, kabel, televisyen satelit, iklan, penghibur dan ahli sukan idola dan komputer.

Persoalannya sekarang penggunaan bahasa dalam teknologi komunikasi kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris, apa akan terjadi kepada nilai bahasa Melayu itu sendiri. Kesan daripada penguasaan bahasa Inggeris dalam teknologi komunikasi bukan sahaja akan menggugat kedudukan bahasa Melayu malah budaya Melayu itu sendiri. Jelasnya imperialisme bahasa yang didokong oleh laungan globalisasi menjadi satu faktor penyebab kepada kemerosotan nilai BM. .

Syed Husin Ali (1996; 164-171) pernah mengulas kenapa berlaku fenomena peminggiran bahasa Melayu ini. Antara faktor yang ditekankan adalah faktor politik seperti berikut:

cita-cita bagi mencapai kemajuan melalui pemodenan. Ini menyebabkan mereka menekankan perkembangan ekonomi serta kemajuan industri dan menggalakkan sikap ‘go global’ lebih daripada yang lain yang mempunyai implikasi juga terhadap bahasa golongan korporat peringkat tinggi dan pertengahan mempunyai pengaruh yang besar dalam politik di peringkat pusat dan negeri. Sekarang ini bukan guru-guru Melayu, tetapi golongan korporat inilah yang berpengaruh dalam politik. Sikap mereka terhadap bahasa Inggeris memang serius.

Akibat pengaruh globalisasi yang dominan sekarang, para pemimpin politik lebih terpengaruh dengan dasar liberal. Mereka melihat bahawa dasar ekonomi, budaya, serta bahasa yang liberal adalah popular dan dapat memperluas pengaruh politik mereka.

Dengan beralasan arus global ini, pihak berkuasa mengubah dasar pendidikan dengan mengarahkan S&M diajar dalam BI. Alasannya agar rakyat Malaysia tidak terpinggir dengan kemajuan pesat teknologi moden dewasa ini.

Perspektif Pendidikan

Satu perspektif yang penting juga dilihat adalah perspektif pendidikan. Memandangkan arahan menggunakan S&M dalam BI melibatkan pelajar sekolah maka sudah pasti, pandangan dari pendidikan harus ditimbang sama. Kepelbagaian perspektif ini dapat memberikan jalan keluar demi kebaikan semua.

Penggunaan BI dalam subjek S&M telah menjadikan taraf pembelajaran subjek ini sebagai menggunakan bahasa kedua. Hakikat yang ternyata dalam penulisan dan kajian-kajian luar negara menunjukkan bahawa penguasaan bahasa kedua memakan masa yang lama. Pelajar bahasa kedua mengambil kira dua hingga lima tahun untuk membentuk asas kemahiran komunikasi interpersonal dalam bahasa kedua. Sementara untuk menguasai keseluruhan kemahiran literasi ataupun kefasihan kognitif dalam bahasa akademik pelajar-pelajar memerlukan masa selama lima hingga tujuh tahun (Hall 1996, Wood 2002). Tegasnya, kefasihan dalam bahasa kedua tidak dapat dicapai dalam jangka masa singkat terutamanya kefasihan bahasa kedua sebagai penghantar ilmu.

Serentak dengan arahan menggunakan BI dalam subjek S&M, Kementerian melakukan berbagai-bagai usaha bagi memastikan dasar baru ini berjaya dilaksanakan. Antaranya membekalkan kelengkapan komputer kepada guru yang terlibat. Maka terhasillah perisian-perisian yang dianggap dapat membantu guru menyampaikan ilmu ini dengan berkesan. Ekoran dari itu maka terhasillah beberapa kajian awal dan kajian berkaitan dengan dasar baru ini . Antara kajian yang dilakukan ialah:

Kesediaan guru-guru sekolah rendah melaksanakan perubahan bahasa penghantar mata pelajaran sains dan matematik – Mohd. Rasdi Saamah (2003)

Kajian celik komputer di kalangan guru-guru negeri Perak. - Ibrahim Mohamad et al. (1997)

Keupayaan penguasaan kemahiran BI di kalangana pelajar Melayu dalam arus globalisasi - Noreiny Maarof et al. (2003).

Fakta-fakta yang meryelubungi pengajaran S&M perlu dilihat dan diberikan perhatian. Rumusan daripada kajian-kajian di atas oleh pakar pendidikan ialah 84% guru-guru S&M di sekolah rendah lemah dalam BI. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak bersedia untuk melaksanakan inovasi ini kerana mereka gagal untuk memahami ilmu konsep-konsep dalam bahasa yang tidak difahami dan akan menyukarkan pelaksanaannya. Kajian Antarabangsa ke-3 S&M (2000) menunjukkan pencapaian S&M pelajar negara ini jauh lebih rendah berbanding pelajar dari negara-negara serantau khususnya Singapura, Korea dan Jepun. Pelajar-pelajar yang sedia lemah dalam mata pelajaran S&M akan bertambah lemah kerana mereka terpaksa memahami dan menguasai mata pelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris.

Hakikatnya pelajar yang sedia lemah dalam S&M akan meyukarkan mereka untuk mengguna dan memahami bahasa tersebut dalam S&M meskipun Kementerian Pendidikan memberi jaminan BI yang akan digunakan dalam buku teks bagi kedua-dua subjek ini mudah difahami serta sesuai mengikut tahap umur pelajar (Salina 2002). Berbalik kepada kemahiran komputer di kalangan guru, kajian mendapati masih ramai guru yang tidak mahir dengan penggunaan komputer dan ICT, meskipun penggunaan teknologi tersebut pesat digunakan dalam sistem pendidikan kita. Keadaan ini akan menyebabkan mereka kurang yakin atau tidak bersedia untuk melaksanakan dasar baru tersebut. Dan yang lebih menimbulkan masalah ialah tidak semua sekolah terutama sekolah-sekolah di pedalaman mempunyai prasarana yang benar-benar lengkap seperti komputer dan peralatan ICT. Ini akan menyebabkan pelaksaan inovasi ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana kaedah utama pelaksanaannya melibatkan penggunaan komputer dan prasarana ICT.

Perspektif Linguistik

Bahasa adalah alat komunikasi yang maha penting. Bahasa bukan terhad kepada sistem dan strukturnya sahaja. Melalui bahasa kita mampu meneroka alam pemikiran masyarakatnya. Itu yang dipanggil sebagai ‘pandangan dunia’ atau world-view. Setiap bangsa mempunyai cara pemikiran yang tersendiri yang diwarnai oleh bahasa dan budaya setempat. Ini selari dengan pendapat Sapir-Whorf yang mengatakan dengan menggunakan bahasa yang berbeza-beza masing-masing penuturnya mengalami realiti yang berbeza-beza. Hal ini demikian kerana tiap-tiap bahasa, melalui perbendaharaan kata dan hukum-hukum nahunya telah menentukan cara pengguna bahasa-bahasa itu seharusnya memahami dunianya. Oleh hal yang demikian, dua orang penutur bahasa yang berlainan akan menyaksikan alam yang satu ini sebagai dua manusia yang berlainan dan memahami alam secara yang berlainan pula.

Menurut Abdullah Hassan (2002), setiap bangsa memiliki minda asli masing-masing tetapi minda asli tersebut dapat hilang apabila minda itu dikuasai oleh bahasa asing. Bangsa Melayu mempunyai minda asli tetapi hilang apabila minda Melayu itu dikuasasi oleh bahasa Inggeris. Ini yang dikatakan sebagai minda tawanan. Minda tawanan tidak berupaya mencipta, maka oleh itu, akan hanya menjadi konsumer sahaja kepada produk-produk mental dan fizikal keluaran minda asal.

Satu lagi pendekatan yang biasa diguna untuk melihat bahasa dan masyarakat ialah ilmu sosiolinguistik. Sosiolinguistik selalunya melihat fenomena bahasa dan masyarakat. Antara apa yang menjadi bahan kajian ialah bilingualisme, perancangan bahasa dan sebagainya. Kekeliruan kerap kali muncul di kalangan puak yang menilai pejuang bahasa. Tidak ada teori yang mengatakan menguasai lebih dari satu bahasa itu tidak baik. Malah kita digalakkan menjadi poliglot iaitu orang yang boleh berbahasa banyak bahasa. Kerana dengan ini kita akan lebih terdedah dengan ilmu-ilmu yang ditulis dalam bahasa tersebut. Tetapi pejuang bahasa selalu disalah mengertikan apabila menolak bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di sekolah. Mendaulatkan bahasa kebangsaan dengan mengamalkan sikap dwibahasa adalah dua perkara yang berlainan sama sekali. Menetang penggunaan BI sebagai bahasa penghantar bukan bermakna menentang pembelajaran bahasa kedua. Perlu diingat bahawa bahasa penghantar dan bahasa ilmu adalah dua perkara yang berbeza sama sekali. Kekeliruan inilah yang harus ditangani. Ahli sosiolinguistik seharusnya dapat membantu menjelaskan fenomena ini.

Satu lagi teori yang boleh membantu melihat peranan bahasa ialah ilmu semantik dan pragmatik. Teori relevans yang merupakan salah satu teori dalam semantik dan pragmatik telah memperlihatkan hubungan di antara komunikasi dan kognitif. Teori ini cuba menjelaskan hubungan yang erat di antara peranan minda manusia dengan cara kita berkomunikasi. Segala apa yang dikomunikasikan akan diproses dan ditafsir sebelum makna sebenar ditemui. Teori ini berlandaskan kepada prinsip dengan dua andaian:

Prinsip Utama Relevans:

Andaian Asas: Kognisi manusia berorientasikan relevan. Pendengar selalunya akan menumpukan perhatian kepada maklumat yang relevan dengan dirinya.

Kesannya: Dengan meminta perhatian, penutur akan mencipta segala pengharapan yang relevan. Interpretasi yang terbaik adalah interpretasi yang dapat mematuhi pengharapan ini.

Teori ini seterusnya dibantu oleh tiga konsep utama iaitu konteks, kesan konteks dan usaha memproses maklumat. Maklumat yang terbaik ialah maklumat yang mempunyai kesan konteks yang tinggi dengan sedikit usaha memproses maklumatnya.

Manusia menggunakan akal untuk mentafsir apa yang didengar hatta apa yang hendak dikomunikasikan. Manusia bukan sahaja mampu berkomunikasi secara harfiah tetapi juga menaakul dan membuat inferens kepada apa yang dilihat atau didengar. Buktinya lampu merah di jalan raya berjaya membuat manusia berhenti walau pun tidak pernah dinyatakan secara bertulis. Ini yang dikatakan membuat inferens dari lambang-lambang. Apa yang ada di persekitaran kita akan membantu kita membentuk dan membina konteks. Apa yang kita lalui akan menjadikan satu pengalaman yang berharga dan menjadi sebahagian daripada pembentukan konteks dan kesan konteks apabila kita mula berbicara. Kesemua ini akan membentuk persekitaran kognitif kita dan sekaligus membantu menghasilkan ujaran yang bermanifestasi iatu ujaran yang jelas dan nyta. Hanya ujaran yang bermanifestasi dan dapat dilentur mengikut persekitaran kognitif membantu menjadikan ujaran itu ujaran yang relevan.

Teori ini menganjurkan konsep kerelevanan bukan kebenaran. Buktinya keupayaan heuristik manusia dalam membuat anggaran acapkali diguna pakai. Contohnya, jika seseorang menanyakan berapa jauhkah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu? Jawapan yang bakal diterima ialah 4 jam meskipun kita boleh sampai ke Johor Bharu dalam masa 3 jam 55 minit atau 4 jam 13 minit. Ini yang dikatakan anggaran yang mengikut teori relevans tidak salah dari segi pentafsiran makna. Dengan memberikan jawapan anggaran seumpama itu jawapan itu dianggap relevan dan bukannya benar. Tetapi dengan anggaran tersebut, ia akan membantu pendengar merancang perjalanannya dan memanfaatkan masanya dengan sebaik mungkin.

Selain daripada itu teori ini juga menekankan konsep usaha memproses maklumat (processing effort). Usaha memproses maklumat ini ada kaitannya dengan jumlah masa yang diambil untuk mentafsir makna. Lebih sedikit masa digunakan maka lebih relevanlah sesuatu maklumat itu. Ini bermakna mana-mana maklumat yang sukar dan memerlukan masa yang lama adalah merupakan maklumat yang kurang baik untuk diketengahkan. Malah risiko kesalahfahaman akan berlaku dan secara tidak langsung ketergendalaan komunikasi akan berlaku. Ini jelas berlaku apabila berlaku salah padanan di antara maklumat yang dibekal dengan konteks si pendengar.

Apa kaitannya teori ini dengan bahasa. Dua bahasa yang tidak sama akan mempunyai lenggok dan gaya bahasa yang tidak sama. Tambahan pula bahasa itu bukan bahasa serumpun dan sangat jarang digunakan. Ketidaksepadanan ini akan mengundang masalah pentafsiran makna. Dalam kes ini BI menjadi contoh yang paling baik. BI adalah bahasa kedua. Penggunaannya adalah terhad di dalam kelas (dalam konteks pendidikan). Selain daripada mempunyai struktur yang jauh berbeza dengan bahasa Melayu, konteks dan budaya pemikiran penuturnya adalah jauh berbeza dengan bahasa pertama. Mungkin apa yang mampu dipelajari adalah makna asas yang tidak memerlukan struktur bahasanya yang lebih rumit. Tetapi jika dibandingkan dengan bahasa pertama ternyata bahasa pertama akan mampu membantu penutur/pelajar mengungkap apa yang difahami dengan lebih berkesan. Masalah ini dapat diterjemahkan kepada peaksanaan S&M dalam BI. Masalah ketergendalaan komunikasi pasti berlaku. Ini sekaligus memberi kesan yang amat buruk kepada pembelajaran S&M.

Rumusan Perspektif

Dari perbincangan di atas ternyata perspektif pendidikan dan linguistik lebih selari. Kedua-dua berkongsi pemahaman mengenai kognitif manusia. Hall (1996) dan Wood (2002) berpendapat mempelajari sesuatu ilmu dengan menggunakan bahasa yang kedua akan mengambil masa yang lama iaitu 5-7 tahun dan ini sudah tentu akan menjadi penghalang utama kepada pelajar untuk menimba ilmu. Ini sejajar juga dengan teori relevans yang menekankan gagasan usaha memproses maklumat sebagai salah satu konsep penting untuk mentafsir maklumat. Jika ini diabaikan, ia tidak akan memberikan pulangan yang berbaloi kepada pendengar sendiri.

Berlainan pula dengan perspektif politik. Pertimbangan ilmiah yang sepatutnya menjadi tonggak utama nampaknya tidak terserlah di sini. Kegopohan dalam mengimplimentasikan dasar baru iaitu dalam tempoh enam bulan telah banyak menimbulkan tanda tanya. Apakah motif pihak Kementerian menukar dasar ini sedangkan hala tujunya tidak mantap dan jelas. Jika alasan kurang mahir berbahasa Inggeris menyebabkan kadar pengangguran tinggi, maka alasan ini dianggap begitu longgar dan tidak munasabah. Apa yang lebih mencurigakan ialah mereka yang menentang dasr baru ini walaupun bersandarkan dengan alasan ilmiah akan dikenakan tahanan ISA!

Demi memberikan gambaran yang lebih adil kepada konflik ini, satu kajian telah dijalankan terhadap pelajar dan guru dan penerimaan mereka terhadap dasar baru ini. Kementerian yang dianggap sebagai yang berkuasa dan pelajar dan guru yang dianggap sebagai pinggiran adalah golongan yang tertekan dalam konflik ini. Sekali lagi muncullah perbezaan di antara dua darjat.

Dapatan Kajian

Satu kajian sikap telah dilakukan di enam buah sekolah di kawasan tengah dan selatan tanah air. Guru dan pelajar diambil sebagai responden memandangkan merekalah orang yang terlibat secara langsung dengan dasar baru ini. Seramai 971 orang pelajar bumiputera dan bukan bumiputera terlibat dalam kajian ini. Mereka juga dari kedua-dua aliran iaitu kebagsaan dan jenis kebangsaan yang berlokasikan Bandar dan luar Bandar. Manakala seramai 43 orang guru telah menjadi responden dari sekolah Bandar dan luar Bandar, berpengalaman mengajar 1 hingga 20 tahun dan berumur melebihi 25 tahun.

Daripada soal selidik yang dikemukakan pada guru, berikut adalah dapatan kajiannya:

1. Pelajar makin minat S&M dalam BI (4% setuju, 96% tidak setuju)
2. Pelajar saya tidak ada masalah fahami S&M dlm BI (2% setuju, 98% tidak setuju)
3. Keputusan peperiksaan pelajar saya sangat membanggakan dlm S&M yang diajar dlm BI (6% setuju: 94% tidak setuju)
4. Ilmu S&M mampu disampaikan dlm BM (81% setuju, 19% tidak setuju)
5. Pencapaian S&M lbh baik jika diajar dlm BM (72% setuju, 28% tidak setuju)
6. Pelajar lbh menumpukan perhatian pada subjek jika diajar dlm BM (79% setuju, 21% tidak setuju)
7. Semua subjek disampaikan dlm BI (17% setuju, 83% tidak setuju)
8. BI menggantikan BM sbg bahasa Kebangsaan (2% setuju, 98% tidak setuju)

Dari soal selidik yang dikemukakan ternyata pendapat guru adalah konsisten meskipun data dikutip daripada pelbagai sekolah dengan pelbagai angkubah sosialnya seperti Bandar dan luar Bandar, pengalaman mengajar dan umur. Jawapan guru sebagai penilai utama kepada kemampuan pelajar harus diberikan perhatian. Soalan yang mudah ditanya mengenai prestasi pelajar jelas menunjukkan yang guru mempunyai pandangan yang harus dihormati. 96% guru tidak bersetuju apabila ditanya sama ada minat pelajar meningkat kepada S&M sejak diajar dalam BI. 98%pula mengatakan pelajar mereka menghadapi masalah dalam memahami S&M dalam BI. 94% guru tidak bersetuju apabila dikatakan yang pelajar mereka mendapat keputusan yang membanggakan dalam peperiksaan S&M. Malah hanya seorang sahaja pelajar yang mendapat gred ‘A’ dalam matapelajaran Sains di sebuah sekolah di selatan tanahair dalam peperiksaan semester 1 daripada 18 kelas tingkatan 1.

Guru lebih yakin dengan kemampuan BM sebagai bahasa penghantar. Seramai 81% guru mahu S&M diajar dalam BM. 72% pula guru mengatakan pencapaian murid adalah lebih baik jika diajar dalam S&M dalam BM. Dan apa yang penting ialah 79% guru berpendapat pelajar lebih dapat menumpukan perhatian ajika subjek itu diajar dalam BM.

Apakah penjelasan yang boleh dibuat dari perangkaan di atas. Perangkaan di atas memaparkan betapa aspek kognitif amat berperanan dalam memastikan pelajar dapat memahami ilmu jika disampaikan dalam bahasa ibunda. Kekaangan kepada pencapaian yang baik ialah taraf pemahaman mereka terhadap ilmu itu sendiri. Bahasa kedua yang tiba-tiba digunakan kepada pelajar telah memberikan kejutan kepada pelajar dan sekaligus memberi impak yang besar pada prestasi mereka. Peratusan yang dipaparkan membuktikan pelajar gagal memahami bahasa penghantar dan sekaligus gagal memahami ilmu itu sendiri. Pelajar tingkatan satu yang menjadi responden, pernah mendapat gred ‘A’ dalam UPSR bagi subjek sains gagal menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan semester 1. Hal ini mungkin tidak akan terjadi jika BM kekal sebagai bahasa penghantarnya.

Berikut pula adalah dapatan kajian bagi diri pelajar pula.

1. Belajar S&M dlm BI tidak mendatangkan masalah pemahaman (25% setuju, 75% tidak setuju)
2. BM mampu menyampaikan ilmu S&M dgn berkesan (77% setuju, 23% tidak setuju)
3. Saya bertambah minat jika S&M diajar dlm BM (71% setuju, 29% tidak setuju)
4. Saya blh mendapat kejayaan cemerlang jika S&M diajar dlm BM (70% setuju, 30% tidak setuju)
5. Saya bangga jika dpt jadi ahli saintis berbahasa Melayu di peringkat antarabangsa (55% setuju, 45% tidak setuju)
6. Semua pelajaran mesti guna BI (16% setuju, 84% tidak setuju)
7. BI menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan (13% setuju, 87% tidak setuju)

Pelajar yang dianggap sebagai penerima beban utama hasil dari dasar ini perlu juga diberi perhatian. 75% berpendapat S&M dalam BI telah memberikan masalah pemahaman kepada mereka. 77% pelajar berpendapat mereka yakin S&M boleh disampaikan dalam BM dengan berkesan. 71% pelajar pula mengatakan mereka akan bertambah minat jika S&M diajar dalam BM. Sementara 70% pelajar pula bersetuju yang mereka boleh mendapat kejayaan cemerlang jika S&M diajar dalam BM.

Pelajar sebagai pendengar kepada ilmu yang disampaikan oleh penutur iaitu guru sendiri berpendapat bahasa pertama adalah jauh lebih baik dberbanding dengan bahasa kedua. Ini sekali lagi selari dengan teori kognitif yang dijelaskan di bahagian awal kertas. Bahasa ibunda adalah merupakan alat yang terpenting bagi penuturnya melahirkan perasaan dan mengungkapkan emosi mereka. Semua perbendaharaan kata yang tersimpan di memori mereka akan menjadi pemangkin kepada kreativiti mereka. Ini dapat dilkaitkan dengan faktor minda tertawan. Minda yang bebas iaitu bebas berkreatif akan mampu menghasilkan ciptaan-ciptaan yang baik. Ini ditegaskan oleh Prof. Yusof Othman, saintis dari UKM. Beliau mengatakan:

“untuk membangunkan sains dalam budaya di Malaysia dengan budaya Melayu sebagai terasnya, maka penyampaian ilmu sains itu sendiri perlu menggunakan bahasa tersebut. Bahasa, budaya dan pencapaian sains dan teknologi tidak boleh dipaisahkan daripada sistem nilai, dan dalam masa yang sama budaya tidaklah boleh dipersempitkan ruang lingkup had dalam beberapa bidang seni. Dengan demikian, sains dan teknologi tidak boleh dibangunkan terpisah dengan cita rasa dan aspirasi umat. Dengan kata lain, kita perlu membangunkan sains dan teknologi dalam acuan kita, dengan menggunakan bahasa kita, dan dengan budaya dan cita rasa kita”.

Demi menghasilkan saintis yang berwibawa dengan minda kreatif, sudah tentu bahasa pertama/ibunda akan menjadi wadah yang terbaik. Usaha memproses maklumat menjadi rendah. Bahasa ilmu yang diperoleh mempunyai unsur manifestasi yang mempunyai ciri yang jelas dan nyata. Dengan cara ini pelajar akan menjadi lebih yakin dan selesa dengan ilmu pengetahuan yang dimilikinya.

Realiti, Cabaran dan Harapan

Dari paparan data di atas jelas menunujukkan ada keselarian di antara pelajar, guru, perspektif pendidikan dan linguistik. Paparan data itu juga mensahihkan pendapat-pendapat ilmiah yang dibincangkan. Ini bermakna berlaku konflik di antara pemerintah yang mewakili perspektif politik dengan yang lain. Ini juga bermakna apa yang berlaku ialah arahan yang dikeluarkan bertentangan dengan fenomena sebenar. Kementerian di satu pihak tetap mengatakan dasar baru mereka ini berjaya. Ini dibuktikan dengan kenyataan Menteri Pendidikan yang menyatakan bahawa ‘prestasi pelajar sekolah meningkat dalam mata pelajaran S&M sejak diajar dalam BI. Ekoran daripada itu Perdana Menteri mahu pengajaran ini diteruskan pada tahun-tahun berikutnya’ (Mingguan Malaysia – 7 September 2003). Pergeseran dapatan kajian telah menimbulkan konflik. Ini yang dikatakan perbezaan di antara dua darjat.

Nyatanya walau apapun dapatan kajian yang memihak di pihak pinggiran iaitu guru dan murid, pihak pusat tetap mengenakan arahan meskipun yang bakal meneirma kesan yang buruk itu ialah pihak pinggiran. Kuasa yang amat besar di pihak yang berkuasa terus memberi tekanan kepada pihak pinggiran. Satu perkara yang menarik yang tidak harus dilupakan ialah pihak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Dong Zong yang tetap tidak akan menukar bahasa pengantar S&M dalam BI malah akan terus mengekalkan bahasa ibunda mereka. Mereka berpendapat pelajar-pelajar mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk memahami S&M dalam bahasa Mandarin, maka penularan kepada BI adalah satu arahan yang tidak perlu diikuti (Mingguan Malaysia – 7 September 2003).

Cabaran yang wujud sekarang ialah kita harus mengakui realiti duduk perkara yang sebenar. Jika diambil kira pendapat Persatuan Dong Zong maka Kementerian sebagai tuan yang empunya kuasa harus meneliti semula dasar baru mereka. Dasar lama yang menggunakan bahasa kebangsaan tidak pernah menunjukkan sebarang masalah kpeada semua pelajar tidak kira Melayu, Cina mahupun India. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang telah berjalan selama 20 tahun menyaksikan prestasi yang baik dan bukti unggul yang dapat ditunjukkan ialah UKM sendiri. Malah mereka yang menduduki DPK telahpun menjawat jawatan yang besar malah menjawat jawatan profesional seperti doktor, jurutera, akauntan dan saintis.

Apa yang diharapkan satu penilaian semula dilakukan terhadap dasar baru ini sebelum terlambat. Alasan pengangguran kerana kurang mahirnya graduan berbahasa Inggeris harus diteliti semula. Yang nyatanya pedagogi pendidikan Inggeris yang harus disemak semula. Pelajar Malaysia yang mempelajari BI selama 11 tahun seharusnya sudah fasih berbahasa Inggeris berbanding dengan negara Jerman contohnya yang hanya memulakan pengajaran BI di sekolah pada umur 10 tahun. Apa yang tidak kena di sini ialah cara pengajaran BI. Noreiny Maarof et al. (2003) dalm kajiannya mendapati penguasaan BI pelajar di luar Bandar masih lemah. Antara hasil dapatannya ialah pedagogi BI menuntut keperluan membangunkan strategi pengajaran yang memotivasikan pelajar di samping mewujudkan suasana yang kondusif untuk penggunaan BI.

Bahasa dan Kesatubangsaan

Bahasa adalah alat penting untuk menyatukan bangsa. Tambahan pula negara majmuk seperti di Malaysia. Gerakan menyatupadukan rakyat melalui satu bahasa kebangsaan mempunyai sejarah yang amat panjang. Ia bermula dari tahun 1957 lagi dengan Penyata Razak. Pihak berkuasa merasakan satu dasar yang sama sahaja yang akan dapat memastikan perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa dapat dicapai. Penyata Razak antara menegaskan:

“it is hoped that this concerted use of the National Language … will inculcate in all citizens the habit of using it regularly. It is only in this way that they will feel they belong to this country, and that the National Language is a real living force that binds them together”

Masalah kesatubangsaan yang cuba ditangani melalui bahasa sendiri turut dialami oleh Amerika Syarikat. Amerika sendiri mempunyai ramai kaum minority yang menetap di negaranya. Kaum minority ini pula berbagai jenis kaumnya. Maka pihak berkuasa Amerika merasakan peri pentingnya peranan bahasa Inggeris dalam soal kesetiaan, keperibadian dan keselamatan negara semasa mereka membina negara bangsa dahulu. Buktinya diguba satu dasar bahasa di Amerika Syarikat:

“Americanism, they argue, loses something in the translation, while English offers the only key to the nation’s democracy, history and culture. Language thus becomes a literal shibboleth of nationality, a badge of true Americanism, and anything less than fluency in English - aforeign accent, let alone the maintainence of a minority tongue – is perceived to threaten national security and subvert the national ideal” (Dennis Baron; 1990).

Nyatanya bahasa boleh menjadi alat penyatu kaum. Jika Amerika mempunyai bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda, maka BI lah yang menjadi bahasa kebangsaannya. Begitu juga dengan Malaysia. Bahasa Melayu adalah bahasa ibunda, maka BM lah yang semestinya menjadi bahasa kebangsaan dan seteusnya bahasa penghantar di sekolah sebagaimana amalan kita sejak 20 thaun yang lalu.

Alasan BI lebih dapat membantu manusia Malaysia menjadi saintis lebih cepat harus difikirkan semula. Pengalaman Jepun, Korea, Jerman, Italy yang mengekalkan bahasas ibunda sebagai bahasa penyatupadu dan bahasa pengahantar di sekoplah telah berjaya membuktikan tiada cacat celanya menggunakan bahasa ibunda sendiri. Di samping itu BI sebagai bahasa antarabangsa mesti terus dipelajari agar rakyat menjadi dwibahasa dan mendapat manfaat daripada kelebihan itu.

Kita seharusnya dapat berfikir jauh kesan daripada dasar baru itu jika pihak berkuasa masih kekal dengan pendirian mereka. Abdullah Hassan (2002) menegaskan apabila bahasa asing berjaya masuk ke dalam benak kita, dua perkara yang akan berlaku. Pertama kebocoran bendung budaya dan kedua kehilangan keyakinan terhadap keupayaan diri sendiri. Kebocoran bendung budaya akan menyebabkan kita merasa kagum dengan budaya barat. Manakala kesan kedua lebih berat lagi padahnya. Kita sebagai golongan terpelajar bekas tanah jajahan tidak yakin dengan keupayaan mencipta produk-produk intelektual sendiri. Kita hanya berpuas hati sebagai agen yang menterjemahkan, mengajarkan, mempopularkan dan menerapkan sahaja produk-produk intelek tokoh-tokoh tersebut di negaranya. Jikalau sekali sekala ada yang berani mencipta produk-produk intelektual mereka sendiri, rakan-rakan mereka pula yang tidak menaruh keyakinan akan mutu produk-produk intelektual tempatan sebagai rujukan yang dianggap berautoriti.

Ketidakyakinan diri ini sebenarnya tidak akan memberi impak postitf kepada penyatubangsaan. Selagi kita akan terus menjadi pengkagum barat maka selagi itulah BM akan gagal berfungsi sebagai bahasa penyatu. Alasan global yang sering diketengahkan sebenarnya bukanlah alasan jitu untuk kita kembali kepada bahasa penjajah. Hassan Ahmad (2002) menegaskan bahawa dunia lain juga melakukan pembaharuan dan proses kemajuan dalam bidang yang sama tetapi penggubal dan perancang dasar di situ tidak berkata:

“mari kita gantikan bahasa kita dengan bahasa orang lain, bahasa Inggeris, untuk kita mencapai kemajuan dalam bidang itu di dalam negara sendiri”. Hanya negara ayat bangsa yang keliru budaya atau bangsa yang mindanya masih tidak terlepas daripada acuan atau peraturan penjajahan sahajalah yang selalu berfikiran demikian – tetapi mereka tidak menyedarinya”.

Hassan Ahmad seterusnya menambah: “untuk memajukan bangsa sendiri dan negara sendiri di dalam ruang budaya, sosial, dan politik di negara ini – bukan dinegara orang lain, bukan di England, atau di Amerika Syarikat atau di ruang global yang tidak diketahui di mana sempadannya – alat yang paling sesuai ialah bahasa kita sendiri.”

Sebenarnya impak yang paling besar terkesan daripada penerapan dasar baru dan seterusnya memberikan masalah kepada kesatubangsaan ialah apabila sistem pendidikan berundur ke system zaman penjajah. Rajah di bawah dapat membuktikan kemerosotan penggunaan BM sebagai bahasa kebangsaan dan penyatu bangsa dipinggirkan. (Sumber: Kamal Shukri: 2002)

Pelaksanaan S&M dalam BI akan memberi kesan pada masa jangka panjang. Carta di atas menunjukkan mata pelajaran yang menggunakan BM hanya tinggal 29% sahaja. Ini adalah kerana aliran sains akan didominasi oleh mata pelajaran seperti fiziks, kimia, biologi, matematik moden dan matematik tambahan. Ini menjadikan jumlah peratusnya meningkat jauh meninggalkan mata pelajaran BM. Kesan ini berterusan untuk pengajian di peringkat tinggi iaitu di matrikulasi dan tingkatan 6. Ini adalah kerana pelajar-pelajar ini akn menyambung pengajian mereka di peringkat yang lebih tinggi.

Peratus untuk subjek BM terus merosot dari 29% ke 20% sahaja. Ini adalah kerana di peringkat ini mata pelajaran telah mula mengkhusus kepada aliran yang dijurusi. BM yang dianggap sebagai bahasa perpaduan makin menyempit peranannya sebagai bahasa penyatu. Implikasi seterusnya, adakah pelajar yang lemah BInya dapat mengikuti ilmu ini dengan berkesan. Carta di bawah menunjukkan peratus bahasa yang bakal digunakan di peringkat tingkatan enam aliran sains dan matrikulasi.

Sumber: Kamal Shukri: 2002)

Penyempitan bahasa ilmu S&M tidak berhenti di sini malah akan berterusan di peringkat universiti bagi aliran sains. Ini termasuklah pengajian sains dan teknologi, teknologi maklumat, kejuruteraan dan banyak lagi pengajian yang berteraskan sains.

(Sumber: Kamal Shukri: 2002)

Carta di atas dengan jelas menunjukkan penggunaan BM hanya tinggal 9% sahaja. Ini jauh terpesong dari matlamat pengajian hari ini di mana BM menjadi bahasa penghantar di semua institusi pendidikan milik kerajaan termasuk sekolah, pusat matrikulasi dan universiti awam. Adakah ini satu langkah yang wajar dilakukan memandangkan alasan ilmiah yang kukuh telah menampakkan kesan negatif dari pelaksanaan dasar baru ini.

Kesan yang mungkin kita terlupa ialah pada pelajar tingkatan satu yang kini terlibat dengan dasar baru ini. Dari semakan yang dilakukan terhadap buku teks sekolah menengah iaitu buku ‘Eksplorasi Sains Ting.1’ berlaku pengurangan isi kandungan kurikulumnya. Ini dapat dilihat dari buku sains BM dengan BI. Pengurangan ini mungkin berpunca dari kekhuatiran yang sememangnya ada di hati pihak berkuasa. Mereka tahu yang pelajar dan guru akan menghadapi masalah dengan BI lalu mereka mengurangkan isi kandungan kurikulum yang patut diajar. Ini merupakan satu kerugian besar kepada pelajar-pelajar itu sendiri. Ini belum dikira lagi dengan ketiadaan guru-guru S&M yang terpaksa berkursus kemahiran BI. Ini menyebabkan kelas S&M terabai kerana ketiadaan guru.

Demi menampung kekurangan guru S&M dalam BI, maka graduan S&M sangat laris di pasaran pendidikan. Mereka diterima masuk dan dilatih bagi mencukupkan guru dari aliran-aliran lain. Ini secara tidak langsung menutup peluang graduan-graduan bukan sains untuk diterima masuk ke profesion perguruan.

Kesimpulan

Dari perbincangan di atas boleh dikatakan kesan jangka pendek dan panjang ini bukan sahaja menimbulkan masalah kepada pelajar, guru dan institusi pengajian tinggi malah jangka panjangnya memberi kesan yang amat mengerikan pada pembinaan jati diri dan kesatubangsaan. Pengalaman 13 Mei sepatutnya dikenang sehingga hari ini kian dilupakan. Pengunduran balik kepada dasar pendidikan zaman penjajah sebenarnya mengundang masalah jurang kaum yang pernah berlaku satu ketika dulu.

Mungkin ada orang berkata BI itu maha penting dan harus menggantikan BM. Orang itu harus bertanya kembali kepada dirinya adakah dia hanya memikirkan kepompong dirinya sahaja atau pernahkah orang itu bertanyakan dalam konteks yang lebih luas. Apa yang kita mahu pelajar luar Bandar menikmati kualiti ilmu yang setara dengan pelajar Bandar yang ternyatanya memang tidak berlaku. Adalah lebih baik jika kita mengamalkan ‘BM bahasa dijunjung dan BI bahasa dikendung bagi memastikan apa yang dikejar dapat dan yang dikendong terselamat’.

Bibliografi

Abdullah Hassan, 2002. Kemajuan Negara Beracukan Bahasa dan Budaya Melayu, Siri Bicara Bahasa Bil. 11, Kuala Lumpur, DBP.

Asraf Abdul Wahab, 1996. Manifesto Bahasa Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, Persatuan Linguistik Malaysia, Kuala Lumpur.

Awang Sariyan, 1996. ‘Idealisme dan Pragmatisme dalam Menangani Dasar Bahasa’ dalam Asraf Abdul Wahab, 186-192.

Awang Sariyan, 1996. ‘Idealisme dan Pragmatisme dalam Menangani Dasar Bahasa’ dalam Asraf Abdul Wahab, 186-192.

Baron, D. 1990. The English Only Question, Yale University Press, New Haven.

Hall, D. 1996. Assesing the Needs of Bilingual Pupils, London, David Fulton Publication.

Hassan Ahmad, 2002. Dasar Bahasa dan Pembangunan Negara di Malaysia, Siri Bicara Bahasa Bil. 9, Kuala Lumpur, DBP.

Ibrahim Mohamed et al.1997. Kajian Celik Komputer di Kalangan Guru-Guru di Perak, Atas Talian http://members_tripod.com/~ilhamnet/kajian.htm. 4 September 2002.

Juriah Long, 2003. Keberkesanan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris Dalam Konteks Kepelbagaian Pelajar, Kertas Cadangan Penyelidikan Tajaan DBP (tidak diterbitkan).

Kamal Shukri Abdullah Sani, 2002. Kesan Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Penagajaran Sains dan Matematik di Institusi Pendidikan di Malaysia. Siri Bicara Bahasa Bil.15. Kuala Lumpur, DBP

Memorandum Kumpulan 28 Disember, 1996. dalam Asraf Abdul Wahab, 345- 355

Memorandum Persatuan Linguistik Malaysia, 1996. dalam Asraf Abdul Wahab, 356-364.

Mohd. Fazli Ibrahim, 1999. “Amerikanisasi’ dan Masa Depan Budaya Tempatan”, Dewan Budaya (11), 54-55

Mohd. Fazli Ibrahim, 1999. “Amerikanisasi’ dan Masa Depan Budaya Tempatan”, Dewan Budaya (11), 54-55

Mohd. Rasdi Saamah, 2003. Kesediaan Guru-Guru Sekolah Rendah Melaksanakann Perubahan Bahasa Penghantar Mata Pelajaran Sains dan Matematik, Kertas Projek Sarjana Pendidikan (tidak diterbitkan).

Mohd. Yusof Othman, 2002. Bahasa Melayu Bahasa Sains dan Teknologi, Dewan Bahasa (11), hlm 28-40.

Nik Safiah Karim, 1996. ‘Kesangsian Setelah Tercapai Kejayaan’, dalam Asraf 181- 185.

Nooreiny Maarof et al., 2003. Keupayaan Penguasaan Kemahiran Bahasa Inggeris di Kalangan Pelajar Melayu Dalam Arus Globalisasi, Projek Arus Perdana Ap 1/2000, Bangi, UKM.

Nor Hashimah Jalaluddin, 1992. Semantik dan Pragmatik: Satu Pengenalan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nor Hashimah Jalaluddin, 1992. Semantik dan Pragmatik: Satu Pengenalan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nor Hashimah Jalaluddin, 1999. Semantik dalam Penulisan Buku Teks: Satu Tuntutan Kurikulum, Jurnal Bahasa,,43(8), hal. 692-709.

Nor Hashimah Jalaluddin, 2003. Kuasa Politik Melalawan Kuasa Ekonomi, Language and Empowerment, Kuala Lumpur, Persatuan Bahasa Moden Malaysia.

Nor Hashimah Jalaluddin, 2003. Penerimaan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Kalangan Pelajar dan Guru, Projek Penyelidikan II/10/2003Persatuan Linguistik Malaysia/ATMA, Bangi, UKM

Nor Hashimah Jalaluddin, Zaharani Ahmad, Tengku Mohd. Tengku Sembok, 2002. Kamus Dewan Tiga Edisi: Tinjauan Leksikografi Tiga Dekad, Projek IRPA 07-02-02-0041, UKM.

Noriah Mohammad, 2000. Kesan Globalisasi Terhadap Bahasa , Kertas Kerja Kolokium Bahasa dan Pemikiran Melayu/Indonesia KE-2, Minden, Universiti Sains Malaysia.

Robert Philipson, 1992. ‘Linguistic Imperialism’, Oxford, Oxford University Press.

Salina Ibrahim, 2002. Bahasa Inggeris: Kelemahan Pelajar Universiti Bermula dari Sekolah, Utusan Malaysia 11 Julai :3

Senario Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Kebangsaan, 1996. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sperber and Wilson, 1995. Relevance Theory: Communication and Cognition,Oxford, Blackwell.

Syed Husin Ali, 1996. ‘Tamadun Berbahasa Menjelang 2020’, dalam Asraf, 164-171.

Teo Kok Seong, 1996. ‘Penukaran Kod dan Bahasa: Satu Fenomena Kedwibahasaan’, Pelita Bahasa, 41-43.

Teo Kok Seong, 1999. Kedominanan Bahasa Melayu di Malaysia, Jurnal Bahasa 43 (1), hal. 25-33.

Wan Esuriyanti Wan Ahmad. 2003. Teruskan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris: Dr.M. Berita Minggu, 7 September; 1

Wood, J.W. 2002. Adapating Instruction to an Accommodate Students in Inclusive Settings, New Jersey, Merrill Prentice Hall.

Zaharani Ahmad, 1999. Isu Fonologi Bahasa Melayu: Konflik Antara Rumus dan Korpus, Jurnal Dewan Bahasa,43(2), 108-120.

Zaharani Ahmad, 2001. Kamus Dewan Tiga Edisi: Satu Tinjauan Leksikografi, Seminar Pemantauan IRPA, Melaka.

Zainal Abidin Bin Abdul Wahid, 2001. Bahasa, Pendidikan dan Pembangunan, Siri Bicara Bahasa Bil. 5, Kuala Lumpur, DBP.

Zulkifli Jalil, 2003. Pencapaian Pelajar Melonjak, Utusan Malaysia, 6 September ;1

Leave a Reply