Dato Godam I
 
Buku Dato Godam ini merupakan jilid yang pertama. Kandungannya antara lain mencatatkan susur-galur dan jurai keturunan Dato Godam hingga masa kini. Dato Godam atau Raja Umar bin Bendahara Harun adalah putera Diraja Minangkabau yang datang dan berkahwin di Brunei pada zaman pemerintahan Sultan Nasruddin ( Sultan Brunei Ke-15, memerintah 1690-1710). Menurut Sejarah Brunei, khususnya pada zaman yang disebutkan, diriwayatkan bahawa Dato Godam mempunyai peranan yang istimewa dalam membantu Sultan Nasruddin menjalankan pemerintahan dan pentadbiran baginda. Sebagai mengingati jasa-jasa beliau itu, Sultan Brunei telah berjanji akan mengurniakan keistimewaan kepada anak cucu Dato Godam yang ada di Brunei turun-temurun. Sehingga zaman ini keturunan Dato Godam tersebut dianggap sebagai keluarga yang bertaraf tinggi sebagaimana taraf Dato Godam di Minangkabau, dan mereka digolongkan sebagai keturunan `Awang-Awang Damit'. Daripada keturunan Dato Godam inilah juga dipilih oleh Sultan-Sultan Brunei untuk dikurniakan gelaran 'Manteri', iaitu pembesar negara yang turun-temurun, sebagaimana akan dinyatakan riwayat sebahagiannya dalam buku ini.

     Buku ini mengandungi 32 bab yang memaparkan beberapa tokoh utama daripada kalangan keturunan Dato Godam iaitu Manteri Uban, Manteri Puteh, Manteri Omar, Pehin Tuan Iman Awang Aminudin, Pehin Jawatan Dalam Awang Ahad, Awang Untong, Nakhoda Asmat, Pehin Orang Kaya Laila Pahlawan Tunjol, Syed Hasan, Bungku Zaleha, Dayang Sharbanun, Awang Badaruddin, Awang Tahir, Awang Muhammad, Dayang Lamiah, Awang Abu Bakar, Pehin Khatib Haji Awang Abdul Latif, Pehin Datu Perdana Manteri Radin Haji Abdul Rahman, Nakhoda Haji Awang Abbas, Pehin Orang Kaya Ratna Diraja Awang Abdul Karim, Pehin Datu Perdana Menteri, Pehin Orang Kaya Digadong Seri Nara Indera Pengiran Seri Ahmad, Awang Mirasan, Awang Ibrahim, Penglima Othman, Awang Sulaiman, Awang Aliuddin, Manteri Mariam, Awang Abdul Hgafur, Awang Mat Serudin, dan Pehin Orang Kaya Shahbandar Awang Muhammad Salleh. Tokoh-tokoh inilah yang menurunkan zuriat Dato Godam hingga sekarang.

     Diharapkan buku ini akan dapat menjadi rujukan bagi mereka yang berkenaan dalam menentukan asal usul dan jalinan keluarga masing-masing. Di samping itu akan dapat pula merapatkan semula hubungan kekeluargaan mereka yang bertempiaran supaya tidak akan terus menular mengikut arus yang boleh merenggangkan atau memutuskan hubungan tersebut.