Bahasa

Mahasiswa UM lancar ‘hartal’ sokong Azmi Sharom

Sidang media Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya di kampus Universiti Malaya, Kuala Lumpur bagi melancarkan ‘hartal’ sebagai tanda sokongan kepada Prof Madya Dr Azmi Sharom dan untuk menuntut pemansuhan Akta Hasutan, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 8 September, 2014. Sidang media Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya di kampus Universiti Malaya, Kuala Lumpur bagi melancarkan ‘hartal’ sebagai tanda sokongan kepada Prof Madya Dr Azmi Sharom dan untuk menuntut pemansuhan Akta Hasutan, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 8 September, 2014. Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) melancarkan "hartal" pada Rabu ini sebagai sokongan kepada Prof Madya Dr Azmi Sharom yang didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 pada minggu lalu.

Presiden PMUM Fahmi Zainol mengatakan, bantahan itu akan diadakan bersama-sama dengan perhimpunan dan forum Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) yang akan diadakan pada hari yang sama.

"Bantahan ini menuntut pemansuhan Akta Hasutan," kata Fahmi kepada pemberita di kampus UM, Kuala Lumpur.

Kali pertama hartal diadakan di negara ini pada 20 Oktober 1947, dianjurkan gabungan Pusat Tenaga Rakyat (Putera) – All Malayan Council for Joint Action (AMCJA) sebagai bantahan kepada Perlembagaan yang dicadangkan penjajah British.

"Hartal" ialah perkataan Gujerati yang bermaksud protes beramai-ramai, biasanya membabitkan penutupan tempat kerja, pejabat, kedai dan mahkamah sebagai satu bentuk keingkaran awam.

Penyelaras kempen himpunan solidariti Azmi Sharom, Vince Tan berkata protes itu ialah hak pelajar dan semua dijemput menyertainya.

"Sekarang minggu orientasi, banyak kelas masih belum bermula. Bagaimanapun, kami isytiharkan tidak akan ada kelas antara pukul 1 dan 4.30 petang bagi membolehkan pelajar kita menyertai program ini dan mendengar ceramah tentang kebebasan bersuara oleh penceramah yang akan dipilih PKAUM," katanya.

Tan, pelajar undang-undang tahun akhir UM, berkata: "Ini ialah satu bentuk keingkaran awam dan sekiranya kita hendak menunjukkan keingkaran kita, inilah masanya."

Azmi didakwa pada 2 September kerana artikel bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak, selesaikan segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu), dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos.

Presiden PKAUM itu didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 15 Ogos. – 8 September, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.