Bahasa

PAC tegur MOF anugerah kontrak kepada kontraktor tidak layak bangunkan Empangan Paya Peda

PAC akui terdapat ketirisan dalam projek pembangunan Empangan Paya Peda di Besut, kata Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed. Gambar fail The Malaysian Insider.PAC akui terdapat ketirisan dalam projek pembangunan Empangan Paya Peda di Besut, kata Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed. Gambar fail The Malaysian Insider.Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini menegur Kementerian Kewangan (MOF) kerana menganugerahkan projek pembinaan Empangan Paya Peda di Besut, Terengganu bernilai RM348 juta kepada kontraktor projek yang tidak mempunyai kelayakan.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kontraktor berkenaan dianugerahkan projek pembinaan empangan secara runding terus daripada MOF, sedangkan syarikat JAKS Resources Bhd itu tidak mempunyai syarat kelayakan membina empangan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"PAC tidak berpuas hati dengan cara projek ini dikendalikan. Kami mendapati kontraktor ini tidak mempunyai syarat CIDB yang sesuai untuk membina projek besar seperti ini," katanya pada sidang media di pejabat PAC di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, PAC akan memanggil wakil MOF berhubung perkara itu bagi mendapatkan penjelasan.

"Kita hendak tanya kenapa MOF beri kontrak kepada syarikat yang tidak layak untuk projek kritikal seperti ini," katanya.

Selain gagal memenuhi  tempoh asal tarikh siap, kontraktor pembinaan empangan itu juga tidak memiliki kepakaran dalam projek itu.

"Sepatutnya sudah siap sekarang tetapi kini cuma 83% siap.

"PAC juga difahamkan empangan ini hanya akan beroperasi pada April tahun depan," katanya.

Empangan Paya Peda terletak kira-kira 1.5 kilometer di Hulu Angga Barrage dan 17 kilometer dari Bandar Jerteh.

Apabila siap, empangan seluas 77 kilometer persegi itu bakal dijadikan kawasan tadahan dan takungan bagi menampung 168 juta meter padu air untuk tanaman padi dua kali setahun di daerah Besut.

Nur Jazlan berkata, PAC akan memanggil beberapa pihak termasuk bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian, Datuk Mohd Mokhtar Ismail untuk mendapatkan penjelasan.

"PAC juga akan memanggil KSU Perbendaharaan untuk mendapatkan penjelasan MOF," katanya.

Ditanya sama ada projek itu mengandungi unsur rasuah, Nur Jazlan berkata: "Saya tidak tahu."

"Dalam PAC, kita tidak mahu ada syak wasangka," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui berlaku ketirisan terhadap pembinaan empangan tersebut.

Katanya, sejumlah besar projek itu juga dilakukan oleh subkontraktor yang dilantik pemaju kontrak.

"Kita hendak tanya kontraktor kenapa mereka terima projek yang mereka tidak boleh buat," katanya.

Selain itu katanya, turut berlaku "pembayaran yang tidak sepatutnya" apabila kementerian terlebih bayar sebanyak RM500,000 kepada juruukur.

“Jumlah itu lebih daripada jumlah invois mereka dan kementerian maklumkan juruukur sudah membuat bayaran balik tetapi mereka bayar secara ansuran," katanya.

Nur Jazlan berkata, kontraktor berkenaan turut tidak mempunyai kakitangan teknikal untuk membangunkan projek berkenaan.

Disebabkan kelewatan projek itu, syarikat berkenaan dikenakan denda lewat siap (LAD) sebanyak RM50,000 sehari. – 18 Jun, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.