Bekas ahli DAP tubuh PAP
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Setelah lama berasa tidak puas hati dengan kepemimpinan DAP, beberapa bekas ahli tegar parti itu menubuhkan Parti Alternatif Rakyat (PAP) secara rasmi hari ini yang bermatlamat memberikan pilihan perubahan geopolitik parti kepada rakyat negara ini.
Presidennya, Zulkifli Mohd. Noor berkata, parti itu membawa ideologi demokratik liberal yang terbuka kepada semua kaum, selain tetap meneruskan agenda bumiputera.
Katanya, PAP bukan parti yang menentang Barisan Nasional (BN) dan juga pakatan pembangkang, sebaliknya merupakan parti pilihan yang berdiri sendiri.
“Parti kami adalah parti untuk menghimpunkan kalangan rakyat dan pemimpin yang kecewa dengan situasi politik semasa. Kami merupakan platform orang muda untuk berpolitik dan menentukan hala tuju negara ke arah yang lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar sempena penubuhan parti itu di sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presidennya, Lim Tow Leang dan Setiausaha Agung parti, David Dass.
PAP mendapat kelulusan rasmi untuk bergerak sebagai sebuah parti daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 30 Oktober lalu.
Sebanyak 70 peratus daripada 25 Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat PAP terdiri daripada bekas ahli dan pemimpin DAP.
Tambah Zulkifli yang juga bekas Naib Presiden DAP, parti itu menyasarkan untuk menarik 1.2 juta belia bagi menjadi ahli berikutan PAP sememangnya ditubuhkan untuk golongan itu.
Menurutnya, hal ini kerana PAP merupakan parti yang memberi harapan baharu untuk golongan muda memimpin negara ini pada masa akan datang.
“Kami juga mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 dan meletakkan calon di semua Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
“Mereka yang berusia 38 hingga 40 tahun, kami akan letakkan mereka untuk bertanding di peringkat Parlimen,” ujarnya.
Ditanya sejauh mana PAP dapat menarik sokongan masyarakat Cina yang kebanyakannya menyokong DAP, Zulkifli berkata, beliau amat yakin mendapat sokongan daripada masyarakat Cina di negara ini.
Katanya, parti itu merupakan parti yang majmuk dan mempunyai pelbagai latar belakang akademik dan kerjaya.
“Dalam parti PAP, kami seperti rojak yang mempunyai semua ramuan lengkap. Sekarang, kami akan menyajikan rojak untuk kamu semua,” ujarnya.
Zulkifli juga menambah, masyarakat Cina yang tegar menyokong parti DAP selama ini merupakan kelompok masyarakat paling teruk kerana memusnahkan pemikiran kaum itu secara keseluruhannya di negara ini.