KUALA LUMPUR, 21 Disember:

Individu yang terbabit dalam pergaduhan di Kompleks Beli-belah Kota Raya akan disiasat di bawah tiga kesalahan utama, iaitu menyebabkan kecederaan, samun dan merusuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, tindakan mereka yang mencetuskan rusuhan dan mengambil tindakan di tangan sendiri, tanpa merujuk kepada pihak berkuasa, menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, peniaga mungkin telah melakukan penipuan, tetapi mangsa perlu tampil membuat laporan polis, untuk disiasat pihak berkuasa.

“Namun begitu, mereka tidak sepatutnya melibatkan kumpulan samseng luar yang mengambil tindakan bagi pihak mangsa, bagi mencetuskan kesalahan merusuh di pusat beli-belah.

“Ia kesalahan jenayah yang serius dan kita telah kenal pasti mereka yang terlibat, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan polis akan kesan serta menangkap mereka di bawah kesalahan merusuh, mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, juga menyebabkan kecederaan serta menyamun bagi kes melarikan telefon bimbit.

“Sebahagian daripadanya telah ada tangkapan dan pihak Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur masih lagi berusaha mengesan yang lain, berdasarkan rakaman CCTV yang cukup jelas memaparkan wajah suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Supt Habibi Majinji menjelaskan, suspek pergaduhan di Kompleks Beli-belah Kota Raya telah ditahan semalam.

Suspek berusia 38 tahun yang merupakan penjaga tempat letak kenderaan itu, ditahan di kompleks berkenaan, selepas kekecohan reda.

Habibi berkata, suspek yang akan direman hari ini, adalah sebahagian daripada kumpulan yang menyerang pekerja kedai di kompleks berkenaan.

Beliau turut dilaporkan sebagai berkata, siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti jika suspek itu adalah salah seorang daripada mereka yang didakwa ditipu peniaga.

“Pekerja kedai telefon bimbit cedera dalam serangan itu dan telah membuat laporan polis. Foto suspek yang dipercayai terlibat akan diedarkan sedikit masa lagi,” katanya.