LAGU Sorry Sorry Sayangku mengembalikan populariti Nomad.

Nomad yang sebelum ini melonjak naik menerusi lagu Tetap Menantimu sewaktu temu bual bersama Hits mengakui bersyukur kerana lagu ciptaan dan lirik oleh A.Aida membawa rezeki kepadanya.

“Sewaktu Aida tanya boleh tak saya nyanyikan lagu ciptaannya itu, saya tidak menolak kerana tertarik dengan irama lagu itu yang catchy dan ada rap pula. Ini sesuatu yang baharu untuk saya. Malah saya pun tak tahu yang lagu itu untuk tema drama Hello Mr. Perfect.

“Apa pun ini adalah rezeki saya setelah sekian lama tidak menghasilkan lagu dan tidak dinafikan nama saya kembali menjadi sebutan. Saya tidak pernah menolak jika orang minta saya nyanyikan lagu ciptaan mereka tidak kiralah orang itu masih baharu atau sudah lama dalam bidang ini, janji lagu itu menarik minat saya,” katanya terus terang.

Malah populariti lagu tersebut turut memberi ruang kepada Nomad untuk turut serta dalam promosi drama bersiri itu setiap kali para pelakon turun padang, yang sekali gus membantu kerjaya seninya.

Selain ditawar menyanyikan lagu tema untuk drama bersiri tersebut, Nomad akui yang dia juga turut mendapat tawaran berlakon daripada penerbit A.Aida.

“Aida tanya juga saya nak berlakon drama terbitan A.Aida Production Sdn. Bhd., tak? Buat masa sekarang, belum ada keberanian lagi. Di masa akan datang mungkin saya terima, buat masa sekarang saya nak tumpukan perhatian pada bidang seni suara dulu kerana kedudukan saya belum stabil.

“Saya tidak mahu terkejar sana terkejar sini. Biarlah saya buat satu-satu perkara dulu. Bila tiba masanya, saya pasti akan cuba. Lagipun sekarang ini selain lagu Sorry Sorry Sayangku, saya merancang untuk hasilkan single baharu yang sudah siap, Andai Punya Waktu,” ceritanya.

Kata Nomad, lagu Andai Punya Waktu adalah lagu ciptaannya yang berkisar tentang dirinya yang menempuh pelbagai cabaran dalam usaha untuk mencipta nama dalam bidang seni suara.

Lagu berentak balada itu berkisarkan perjalanan Nomad dalam mencari hala tuju kehidupan sebagai insan seni dan individu. Oleh kerana dia tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, Nomad terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kos pembikinan single tersebut sekitar RM5,000.

“Dalam bab penggunaan studio, saya beruntung kerana mendapat kerjasama daripada Romie Music Lab dan Alfa Booty kerana dulu saya belajar vokal daripada dia. Andai Punya Waktu adalah single saya yang keempat. Sebelum in saya pernah tampil dengan lagu Tetap Menantimu, Menagih Cintamu dan Sorry Sorry Sayangku.

“Saya harap di masa akan datang, lebih banyak lagi peluang untuk saya hasilkan lagu dan sekali gus mengumpul single-single tersebut untuk dimuatkan di dalam sebuah album. Semoga impian saya menjadi kenyataan,” katanya penuh harapan.

Tatkala lagu Tetap Menantimu mendapat perhatian ramai, Nomad pernah ditawar untuk mengembangkan bakatnya ke negara seberang. Nomad atau nama sebenarnya, Nor Alief Ayub, 27, berkata, apabila difikir balik tindakannya untuk mengembangkan bakat ke Indonesia adalah satu langkah yang tergesa-gesa.

“Sebagai orang baharu, memang saya teruja sewaktu diberi peluang untuk mengembangkan bakat ke Indonesia. Malah pihak syarikat Indigital Sdn. Bhd., (Malaysia) yang mengurus saya ketika itu dan Harpa Records (Indonesia) telah membuat kontrak perjanjian. Sebenarnya saya bersyukur kerana tidak berkesempatan ke sana. Andai perancangan itu terlaksana, pasti saya berdebar kerana besar kemungkinan saya tidak mampu untuk memberikan sebaik yang diinginkan oleh pihak di sana.

“Bila difikir balik, nasib baik belum melangkah ke sana kerana masih banyak perkara yang perlu saya pelajari dan perkukuhkan lagi kerana semua orang sedia maklum di sana sahaja persaingan antara penyanyinya memang hebat. Orang di sana juga tidak mudah untuk menerima kemasukan penyanyi luar berbanding kita. Bila saya sudah bersedia, baru saya akan fikirkan untuk mengembangkan bakat ke sana,” katanya.