PENING. Keliru. Rakyat terutamanya di Selangor terus tertanya-tanya apakah kesudahannya isu jawatan Menteri Besar Selangor. Menurut orang No. 2 Pas, Mohamad Sabu @ Mat Sabu, Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang dipengerusikannya semalam akan menolak jawatan Menteri Besar (MB) sekiranya ditawarkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah. Sungguh murni hati Pas (rasanya tidak semua anggota parti) yang sanggup menolak jawatan itu demi menjaga hubungan baik dengan DAP dan PKR. Adakah Pas akur sahaja hasrat Anwar Ibrahim untuk menjadikan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB? Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali pula berkata semalam, Pas tidak meminta jawatan MB. Kenyataan itu lebih selamat, kerana jika Sultan Selangor memilih Pas, maka Pas perlu menerimanya walaupun tidak meminta jawatan itu. Pastinya anak Selangor pening, kecewa, resah dengan aksi pemimpin parti-parti politik yang berkuasa ke atas negeri itu.