saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 14/09/2011

Sabah 'benteng' terakhir Proboscis


Monyet Proboscis kini semakin terancam habitatnya akibat penerangan hutan untuk pelbagai tujuan tertentu.


TIDAK dapat digambarkan pengalaman apabila berpeluang melihat puluhan kawanan keluarga monyet Bangkatan atau nama saintifiknya Proboscis Monkey (Nasalis Larvatus) yang hidup bebas melompat dari satu pokok ke pokok di tepian Sungai Kinabatangan, di Pusat Penyelidikan Danau Girang, Sandakan, Sabah.

Lebih dikenali sebagai monyet Belanda atau Bayau di kalangan penduduk tempatan, fenomena monyet berwarna jingga kemerahan, berperut buncit dan berhidung panjang dengan saiz dewasa sebesar kanak-kanak berumur tujuh tahun ini masih lagi dapat dilihat terutamanya berhampiran pusat penyelidikan itu di Sandakan.

Peluang ke pusat penyelidikan itu baru-baru ini atas jemputan Yayasan Sime Darby (YSD), merupakan pengalaman pertama bersemuka dengan monyet itu yang kini dikategorikan sebagai spesies terancam.

Kesempatan ke pusat itu juga untuk menyaksikan majlis penyerahan dana RM1.5 juta bagi projek pemuliharaan spesies monyet berkenaan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi membiayai projek itu di Pusat Penyelidikan Danau Girang.

Dana itu merupakan sokongan bagi penyelidikan dan kerja-kerja melindungi monyet Proboscis yang akan dilakukan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Universiti Cardiff, United Kindom bagi jangka masa tiga tahun.

Sebagaimana Orang Utan yang terkenal dengan habitat pemuliharaannya di Sepilok, Sabah, spesies ini juga tidak kurang popularnya. Ia juga merupakan antara 'ikon' haiwan yang menjadi lambang tarikan pelancongan di negeri ini.

Spesies monyet yang 'peramah' dengan tetamu itu biasanya hanya ditemui di Borneo dengan menjadikan kediaman mereka di tepian sungai, paya bakau, air jernih dan hutan paya gambut.

Haiwan ini ditafsirkan sebagai bersifat peramah kerana ia tidak segan silu mendekati bot yang membawa pelawat meninjau persekitaran habitatnya. Ada juga Proboscis yang melakonkan 'aksi' menarik bagi rakaman lensa kamera. Biasanya mereka akan menonjolkan diri pada sebelah awal pagi dan petang sekitar jam lima.

Pasti ramai yang tidak mengetahui, monyet unik itu merupakan anugerah Tuhan kepada Sabah khususnya dan Malaysia amnya. Spesies ini hanya banyak terdapat di Sabah terutamanya di kawasan terpencil di lima pusat utama iaitu di Kinabatangan, Segama, Klias, Sugut dan Tawau. Justeru, kekayaan anugerah kurniaan Tuhan seperti ini seharusnya dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.

Malangnya, monyet Proboscis ini kini berhadapan dengan ancaman bahaya yang besar apabila jumlahnya semakin berkurangan. Ia ekoran habitat mereka sudah mula 'dijelajah', diganggu dan diceroboh kerana perkembangan industri pertanian, pembalakan dan kurang dilindungi manusia.

Pengalaman berada di Kinabatangan, memberi kesempatan untuk melihat sendiri bagaimana kehidupan makhluk istimewa itu 'tersepit' dengan ladang-ladang tanaman di kiri dan kanan hutan di Danau Girang itu.

Biarpun pergerakan dan penyebaran monyet ini tidak dihadkan oleh sungai, namun bilangan mereka semakin berkurangan akibat faktor-faktor penerangan hutan bagi tujuan-tujuan berkenaan.

Menurut Ahli Majlis Pentadbiran YSD, Caroline Russell, setakat ini dianggarkan bilangan monyet ini cuma 5,907 ekor. Ia boleh ditemui di sepanjang sistem perairan sungai di Sabah.

Manakala di kawasan pedalaman hulu Sungai Kinabatangan sendiri dianggarkan hanya terdapat 2,500 hingga 3,000 ekor sahaja yang tinggal. Sedangkan satu ketika dahulu jumlahnya mungkin lebih lima kali ganda.

''Dianggarkan hanya 15.3 peratus daripada spesies ini terdapat di kawasan hutan simpan dan dilindungi. Manakala yang lain pula pupus akibat faktor habitat yang diubah suai pembangunan menyebabkan bilangan monyet ini semakin berkurangan.

''Setakat ini dianggarkan bilangan yang tinggal hanya lebih kurang 5,000 ekor. Bilangan ini semakin mengecil memandangkan monyet ini berhadapan dengan masalah yang besar dari sehari ke sehari akibat kehilangan kawasan habitat dan Sabah adalah 'benteng' terakhir bagi hidupan ini meneruskan kelangsungan hidup mereka di kepulauan Borneo," katanya.

Caroline yang mentafsirkan monyet ini sebagai haiwan yang sangat bersemangat dan bertenaga, berkarisme, endemik juga merupakan antara haiwan yang paling cantik boleh dilihat di sepanjang Sungai Kinabatangan pada waktu petang.

Pastinya ia tidak akan sama sekiranya tiada langkah diambil untuk memastikan habitat mereka tidak musnah akibat pembangunan yang tidak terkawal.

''YSD berharap, menerusi projek pemuliharaan yang akan dilakukan terhadap spesies ini akan membawa kepada perubahan agar monyet-monyet ini tidak akan terus hilang daripada pandangan kita.

''Jabatan Hidupan Liar Sabah pula akan memastikan segala langkah diambil untuk menyelamatkan monyet yang berada di kawasan berisiko tinggi daripada dibunuh. Ini termasuk usaha-usaha pemindahan ke kawasan yang mana keselamatan spesies ini akan lebih terjamin," katanya.

Harapan YSD katanya, menerusi kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pusat Penyelidikan Danau Girang itu sedikit sebanyak telah membuka satu lagi langkah ke hadapan untuk menyelamatkan spesies yang semakin terancam ini.

Nota: Ekspedisi lawatan menjejaki monyet Proboscis ini boleh disaksikan menerusi TV Utusan di www.utusan.com.my bermula hari ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:09
Zohor 1:29
Asar 4:51
Maghrib 7:27
Isyak 8:39



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.