About Us

Latar belakang keluarga CESB.


CREATIVE ENTERPRISE bermula sebagai sebuah syarikat penerbitan kecil pada awal 1978 dan melonjak sebagai nama yang disegani dalam industri penerbitan berikutan kemunculan majalah GILA-GILA pada 1 April, 1978.


Dengan berpandukan konsep majalah MAD yang sedia popular di pasaran antarabangsa, GILA-GILA terus meledak di pasaran. Cetakan pertamanya yang berjumlah 10,000 naskah habis dalam masa beberapa hari sahaja. Dalam penerbitan pada bulan-bulan berikutnya, permintaan ke atas GILA-GILA meningkat menjadi berkali ganda.


Kemunculan GILA-GILA jelas membawa dimensi baru bukan sahaja dalam dunia penerbitan tanahair, tetapi juga terhadap industri kartun keseluruhannya. Walaupun sebelum wujudnya GILA-GILA telah ada majalah-majalah beridentitikan kartun dan komik, namun kebanyakannya tenggelam dalam lambakan majalah-majalah hiburan dan tabloid yang menguasai pasaran pada era itu.


Dengan peningkatan permintaan yang berterusan, Creative Enterprise akhirnya memutuskan untuk menerbitkan GILA-GILA secara dua kali sebulan (bi-monthly) mulai February 1979 dan bermula dari saat itulah, Creative Enterprise bersama GILA-GILANYA tidak menoleh ke belakang lagi.


Mengiringi penerbitan GILA-GILA pada awal penghujung 1970-an ialah sebuah lagi majalah yang dikhususkan untuk kanak-kanak iaitu BAMBINO. Majalah yang berpaksikan pendidikan ini turut menjadikan kartun dan komik sebagai sebahagian daripada medium utamanya. Selepas BAMBINO, Creative Enterprise menerbitkan pula majalah HUMOR dan kemudian diikuti oleh FANTASI. Pada waktu ini jugalah, ia mula bergerak secara lebih serius sebagai penerbit novel. Bermula dengan novel WARISAN, pemenang sayembara anjuran Gapena dan Yayasan Sabah, Creative Enterprise yang ketika itu telah dikenali sebagai Creative Enterprise Sdn. Bhd. (CESB) terus bergiat cergas menerbitkan judul demi judul yang lain. Sehingga kini telah hampir 500 judul berjaya diterbitkan dan sehingga kini juga, CESB kekal menjadi syarikat yang terunggul dalam dunia penerbitan novel tanahair. Serentak dengan kegemilangan yang dicapai melalui novel-novelnya, CESB turut menikmati pelbagai kejayaan lain. GILA-GILA misalnya tidak sekadar diterima sebagai sebahagian daripada bacaan kebanyakan keluarga di Malaysia, malah menjadi rujukan setiap individu yang meminati dunia kartun, baik di kalangan bakal kartunis mahupun di kalangan golongan akademik. Majalah ini juga yang jumlah pengedarannya pernah mencapai 250,000 naskah setiap keluaran turut menjadi pencetus kepada kemunculan pelbagai majalah kartun lain yang berada di pasaran sekarang. Dengan perkataan lain ia benar-benar menjadi paksi kepada perkembangan dunia kartun di Malaysia. Di tengah-tengah kegemilangan itu, CESB bagaimanapun terpaksa akur pada tuntutan keadaan di mana ia menyaksikan BAMBINO, HUMOR dan FANTASI diberhentikan sementara penerbitannya. Namun pemberhentian penerbitan majalah-majalah itu sesungguhnya lebih bersifat ‘tactical retreat’ kerana usaha-usaha untuk menerbitkannya semula telah pun bermula sekarang.


Selain majalah dan novel, CESB pernah dan masih bergiat cergas dalam penerbitan karya-karya berbentuk koleksi kartun, produks-produks sampingan (spin-off) yang meliputi beraneka barangan, dari memo pad dan poskad sehinggalah pada cadar dan celana dalam. Semuanya tidak dilakukan semata-mata atas factor-faktor komersil, tetapi lebih didorong oleh komitmen yang bersungguh-sungguh dalam usaha untuk memartabatkan industri yang diceburi, khususnya yang berteraskan seni kartun, seni lukis dan seni penulisan.


Dengan dorongan yang sama jugalah CESB berusaha membuka rangkaian cawangannya, baik dalam bentuk ruang pameran di premis kekal seperti Creative Corner di Jalan Tun Ismail, Kuantan dan di tingkat bawah bangunan pejabat CESB, serta ruang-ruang pameran sementara yang sering muncul di pelbagai kompleks dan premis perniagaan di seluruh negara. Dalam usaha untuk mengembangkan langkahnya, CESB turut berhasrat untuk melebarkan lingkungan penglibatannya dengan mengusahakan galeri lukisan dan kelas-kelas khusus bagi melatih bakal pelukis, kartunis dan penulis. Pada masa yang sama syarikat ini turut melangkah ke dunia penerbitan bahan-bahan bacaan bercorak umum dan akademik. Semuanya dilakukan dengan satu matlamat; meminta yang berkat, memberi yang bermanfaat!