Nama Zain Hamid mula dikenali menerusi pembabitannya bersama empat rakan dalam kumpulan Ruffedge iaitu Azan Addin Abdul Wahab atau Azan, Amer Munawer Yusoff (Amer), Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode) dan Farrish Zaquan Ramli (Cat).

Dengan wajah tampan, Zain antara yang mendapat perhatian dan menjadi kegilaan remaja ketika itu. Bagaimanapun, hayat Ruffedge tidak panjang apabila satu persatu anggotanya meninggalkan kumpulan.

Zain dan Azan cuba mempertahankan kumpulan itu dengan mencari penyanyi baru menggantikan posisi mereka yang menarik diri.

Pengunduran Mode digantikan Syed Hussein Syed Mustafa (Sein) dan Ruffedge kekal bersama Azan, Zain, Irwan Iskandar Abidin (Iwan) dan Meor Zulkarnain Mohd Zamhuri (Nine).

Bagaimanapun, ditakdirkan Ruffedge tidak bertahan lama dan anggotanya membawa haluan masing-masing. Zain kemudian be­ralih ke bidang lakonan. Dia kali pertama berlakon dalam filem Castello arahan Bade Azmi kemudian sekali lagi berlakon di bawah arahan Bade menerusi siri Kejar pada 2009.

Mulanya dia menganggap pembabitannya dalam lakonan hanya 'main-main' tetapi akhirnya berlakon secara serius.

Walaupun tidak lagi menyanyi, Zain tetap terbabit dalam industri muzik tetapi lebih banyak di belakang tabir sebagai penerbit dan rakaman muzik. Dia juga tiada perancangan untuk bergerak solo.

Selain sibuk berlakon, Zain banyak menumpukan masa dan tenaga terhadap syarikatnya, Cam­werk Studio bersama empat rakan lain.

INFO:

Nama sebenar: Mohd Kamaruzaman Zain Abdul Hamid

Lahir: 19 April 1978

Asal: Kuala Lumpur

Drama: Dendam Sarakit, Tiramisu, Qarin dan Keluarga Iskandar

Filem: Tipah Tertipu, Ngorat, Pecah, KL Zombi

-Berkahwin dengan Khazmira Anuar pada 8 Ogos 2008

-Mempunyai anak perempuan, Arianna Rania (5 Mei 2009)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:01 AM