Jenazah tiba di tanah perkuburan itu kira-kira pukul 2.30 selepas solat Jumaat diiringi isteri, Puan Seri Nila Inangda Manyam Keumala, tujuh anak, saudara mara dan orang ramai.

Jenazah Allahyarham sebelum itu dibawa ke Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara kira-kira pukul 11 pagi untuk disembahyangkan dengan lebih 200 jemaah hadir memberikan penghormatan terakhir.

Antara yang turut hadir kenalan rapat Allahyarham, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Allayarham dipercayai meninggal secara tiba-tiba ketika ingin mengerjakan solat subuh kira-kira pukul 6 pagi di kediaman anaknya di Pantai Dalam.

Allahyarham sebelum ini dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada tahun 1981 sewaktu berumur 38 tahun dan sebagai Menteri Pertanian pada tahun 1986.

Beliau juga merupakan Naib Presiden UMNO Malaysia pada tahun 1990 bagaimanapun pada tahun 2008, beliau keluar dari UMNO. - UTUSAN ONLINE