MD. FIKRI MOHD. HUSSAIN menunjukkan kambing bakar, mi jawa dan lempeng yang disediakan di Warung Imam Muda, Lorong Haji Hussain, Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN ONLINE/ABDUL RAZAK IDRIS

Bagi yang sudah biasa datang menjamu selera di warung tersebut alunan memuji kebesaran Allah tersebut sudah sebati dengan diri mereka.

Menurut pemilik Warung Imam Muda, Md. Fikri Mohd. Hussain, 33, konsep sedemikian bukanlah bertujuan menarik pelanggan tetapi sudah menjadi tanggungjawab dirinya yang merupakan Imam Satu Surau Al-Falah Jalan Kebun Barat untuk mengutamakan hiburan mendidik rohani para pelanggan.

“Perniagaan adalah sunnah nabi yang menjadi suatu tuntutan dalam agama Islam untuk dijadikan sumber mencari rezeki. Selain menjadi imam saya juga membuat kelas pengajian untuk pelbagai golongan.

“Saya mendapat pendidikan agama di Jakarta, Indonesia pada tahun 2003 sebelum pulang ke negara ini pada tahun 2005 disebabkan kesihatan ayah yang tidak mengizinkan,” katanya.

Md.Fikri berkata, sebelum membuka warung tersebut tiga tahun lalu beliau pernah bekerja di sebuah bank tempatan sebelum mengambil keputusan ‘berhijrah’ membuka warung yang menyaji makanan Jawa untuk sarapan pagi dan makanan tengahari.

Katanya lagi, sajian kambing bakar dan mi jawa merupakan hidangan eksklusif di warung miliknya selain dari beberapa sajian yang menjadi kegemaran masyarakat tempatan.

“Biasanya selepas subuh, saya dan pekerja sudah bersiap-siaga untuk menyediakan makanan seperti soto, bubur ayam Samudera, lempeng jawa cicah taucu, nasi lemak, selain mi jawa yang menjadi pilihan pelanggan.

“Selepas pukul 11.30 pagi sajian seterusnya adalah makanan tengah hari menyajikan kambing bakar, nasi ayam penyet, ikan keli dan lain-lain. Selain itu minuman istimewa teh bunga dan teh pudina panas dan sejuk turut menjadi pilihan ramai,”katanya.

Bapa kepada seorang cahaya mata berusia lima tahun ini menyatakan rasa beruntung kerana mempunyau seorang isteri yang setia membantu dalam menyediakan makanan seikhlas hati agar pelanggan yang datang menjamu selera pulang dengan rasa puas.

Kepada orang ramai yang ingin merasa kelazatan hidangan di warung tersebut boleh datang bersama keluarga yang mana ia dibuka setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 3 petang kecuali hari Jumaat. - UTUSAN ONLINE