Tak cuma di kaca televisyen, Mia juga mudah menambat hati sesiapa sahaja yang bertemu dengannya di luar, maklumlah dengan wajah yang seperti itu, siapalah yang tak bisa cair dan mudah jatuh sayang pada dirinya.

Tujuh tahun bergelar pelakon cilik, Mia diam tak diam sudah membesar dan kini usianyanya telah mencecah angka 12 tahun. Sudah memperlihatkan sedikit perubahan terutama dari segi fizikal, Mia sempena sambutan lebaran yang lalu juga mahu berkongsi emosi gembira dan keterujaannya berhari raya.

Menganggap keluarga adalah tunggak utama kejayaannya selama ini, Mia yang popular dengan drama Adamaya,Epilog Syurga Cinta dan Stawberi & Karipap, tahu bahawa dia tidak akan kemana-mana andai tiada sistem sokongan dari keluarga.

Mempunyai keluarga besar biarpun kedua ibu bapanya sudah lama berpisah dan masing-masing berkahwin lain, Mia tidak membebankan akal anak kecil sepertinya dengan kebencian atau tekanan kerana dia lebih suka melihat ia sebagai sebuah rahmat yang besar daripada Ilahi.

“Memiliki keluarga besar sebenarnya seronok, Kami adik-beradik tak kurang pun kasih sayang daripada ibu dan ayah termasuk ibu dan ayah tiri dan saya percaya, itulah yang membuatkan hubungan kami semua baik dan bahagia,”katanya.

Semakin bijak berkomunikasi, Mia juga akui, tidak cuma pada hari raya, dia tidak pernah lupa untuk bertemu dengan ibu kandungnya yang menetap di Johor walau bukan di hari perayaan.

“Boleh dikatakan saya juga rapat dengan keluarga disana dan impian saya ialah mahu ikatan kekeluargaan ini sentiasa kuat, tak mahu ada tertinggal.

“Walau mummy duduk jauh sekali pun, saya tetap nak jumpa dia sebab dia sajalah satu-satunya ibu kandung saya di dunia ini,”katanya.

Baru saja menyambut lebaran di kampung bapanya di Selandar, Melaka, Mia yang memperlahankan aktiviti lakonannya bersyukur kerana selain memberi tumpuan pada pelajaran, dia juga berpeluang memiliki banyak masa dengan keluarga terutama adik-beradiknya.

“Ada yang kata rugi tak ambil tawaran berlakon tapi inilah masanya untuk saya bersama keluarga sebelum kembali aktif berlakon pada tahun depan. Tahu tak, selama ini saya jarang ada masa dengan adik-beradik kerana terlalu sibuk berlakon.

“Sampai ada masanya tak sempat nak bergurau dengan mereka dalam masa satu hari sebab bila saya balik, semua dah tidur. Kakak juga kadangkala rasa kasihan dengan saya tetapi setakat ini semuanya memahami kerjaya yang saya mulakan dari usia kecil lagi,”katanya.

Adik-beradik cemburu?

Merupakan satu-satunya yang bergelar artis cilik daripada enam beradik, kata Mia, dia beruntung kerana cemburu tidak pernah wujud dalam hati adik-beradiknya yang lain kerana semua sudah sedia maklum, dia berlakon kerana minat.

Tidak mensia-siakan bakat, sokongan daripada bapanya, Muhammad Ridhuan, menjadikan Mia gagah meneruskan kerjayanya di usia muda tanpa pernah ada halangan.

“Cemburu? Tidaklah! Semuanya faham yang saya berlakon pun sebab minat. Papa pun tak pernah halang kalau ada antara kami yang meminati dunia seni, dia akan beri galakan dan sokongan.

“Mereka pula sudah biasa kalau keluar kemana-mana ramai yang memberi tumpuan pada saya contohnya peminat nak bergambar, mereka sudah tahu dan tiada masalah dengan keadaan itu,”katanya.

Ditanya siapa yang paling rapat dengannya dalam kalangan adik-beradik, pantas sahaja mulut kecilnya menyebut nama abangnya.

“Satu yang orang mungkin tak tahu, saya ni sangat nakal sebenarnya. Selalu menyakat adik-beradik lain dan selalunya berpakat dengan abang, Mungkin sebab jarak usia kami yang cuma setahun maka saya lebih selesa dengan dia.

“Tapi kalau ada curahan hati, saya akan cari kakak kerana dia paling memahami,”katanya yang mengaku merupakan anak paling manja dengan bapanya.

Apa kata bapa

Dianggap tulang belakang kepada setiap langkah Mia dalam industri seni, Ridhuan sedar posisinya sebagai bapa dan juga seorang pengurus kerjaya si anak seringkali mengundang pandangan kurang menyenangkan dari kalangan masyarakat yang tidak tahu selok belok dunia hiburan.

Pernah satu saat, ketika Mia sedang meniti arus popularitinya sebagai pelakon cilik, Riduan dihimpit dengan kontroversi dimana dia didakwa menggunakan sumber pendapatan Mia sebagai pelakon untuk kegunaan sendiri.

Menganggap sudah lama berlalu, Ridhuan melihat ia sebagai asam garam dalam dunia hiburan dimana kontroversi biasanya menjadi teman baik golongan artis.

“Biasalah kontroversi, walau bukan artis, tetap tempiasnya terkena juga sebab anak saya masih kecil. Itu semua lumrah dan sebagai seorang yang matang, kita jangan cepat melatah.

“Biarlah orang mahu bercakap apa pun yang penting saya tahu apa yang dilakukan dan anak saya tidak membuang masa dalam minatnya ini,”katanya.

Tidak pernah jemu menyokong karier seni Mia, kata Ridhuan dia tidak pernah meletakkan had usia pada Mia andai dia masih mahu meneruskan kerjaya lakonannya.

“Dia memulakan kerjaya lakonan juga bukan datangnya dari perancangan saya. Mia masuk dalam dunia seni sebagai model cilik dan kemudian secara tak sengaja 'tergelincir’ masuk dalam dunia lakonan.

“Saya cuma menguruskan kerjaya dia dengan teratur kerana saya tahu, kalau dilakukan dengan paksaan, Mia sendiri akan penat tambahan pula usianya masih kecil dan kalau dilakukan dengan tidak ikhlas, saya fikir lebih baik tak payah.

“Sebagai bapa, tentunya saya mahu yang terbaik untuk Mia dan juga anak-anak yang lain mengikut kecenderungan minat mereka,asalkan tidak lupa ilmu akhirat selain akademik di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, kata Ridhuan lagi, dia juga tidak melarang andai anak-anak lain mahu terjun ke dunia hiburan kerana menganggap sekurang-kurangnya dia sudah ada pengalaman menguruskan Mia sebagai artis.

Mengaku ada yang sudha menampakkan kecenderungan ke arah seni, kata Ridhuan dia bagaimanapun mahu memberi masa dahulu kerana faktor usia si anak.