Bella Rahim pelakon Malaysia pegang watak ‘Major Jane’ dalam Peninsula

Filem sekuel ‘Train To Busan; Peninsula’ menampilkan pelakon dari Malaysia yang memegang watak ‘Major Jane’ menjadi bualan di kalangan peminat filem itu.

Baru-baru ini heboh mengenai pelakon Malaysia, Bella Rahim yang membuat kemunculan dalam filem sekuel “Train To Busan, Peninsula” yang kini ditayangkan di pawagam.

Mungkin ramai dalam kalangan peminat yang tertanya-tanya bagaimana beliau berjaya mendapatkan peluang untuk berlakon dalam filem yang dinanti-natikan peminat di seluruh dunia itu.

Untuk pengetahuan anda, Bella Rahim baru-baru ini ada berkongsikan mengenai perkara itu selepas ditanya oleh salah seorang netizen di akaun Instagramnya.

Secara mudahnya, proses untuk muncul dan terlibat dalam filem “Peninsula” itu menurut Bella lebih kurang sama dengan proses yang perlu dilalui untuk filem yang lain.

Jelasnya peluang tersebut hadir apabila dia dihubungi oleh ejennya dan mengadakan ujibakat sebelum dipilih.

Bella mendedahkan dia mula dihubungi pada Mei tahun lalu oleh ejennya.

“Dia memberitahu saya ‘adakah awak mahu mencuba (ujibakat) untuk sebuah filem ini yang diarahkan Yeon Sang Ho?’

“Saya memberitahunya sudah pasti! Kenapa tidak? Kemudian saya terkesima apabila nama pengarah itu seperti pernah didengari sebelum ini,” ceritanya.

Dan ketika itulah dia mengetahui Yeon Sang Ho merupakan pengarah filem “Train To Busan” sebelum ini selepas melakukan semakan melalui Google.

Beberapa bulan kemudian selepas uji bakat dijalankan, Bella memberitahu dia mendapat tahu namanya disenarai pendek untuk watak tersebut apabila ejennya menghubunginya ketika sedang makan di restoran mamak.

“Saya menerima mesej daripada ejen saya bertanyakan tentang ukuran baju saya ketika sedang menikmati makanan di kedai mamak.

“Daripada situ saya tahu saya telah disenarai pendek untuk watak tersebut,” jelasnya.

Walaupun bukanlah membawa watak utama dalam filem tersebut, namun pencapaiannya untuk terlibat sama dalam sebuah produksi filem yang menjadi “kegilaan” seluruh dunia sudah pastinya membanggakan kita rakyat Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]