X
Ahad, 20 Disember 2015 | 12:21am
JABU (tengah) diiringi oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah (kanan) dan Pengarah DBP Sarawak, Dr Hazami Jahari (tiga dari kanan) pada perasmian Kamus Dewan Iban - Melayu. - Foto Jeakqleyn Yacho
JABU (tengah) diiringi oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah (kanan) dan Pengarah DBP Sarawak, Dr Hazami Jahari (tiga dari kanan) pada perasmian Kamus Dewan Iban - Melayu. - Foto Jeakqleyn Yacho

Unik dan kepentingan kamus Iban - Melayu

JABU meneliti kamus yang diletakkan pada rak buku - Foto Jeakqleyn Yacho
JABU meneliti kamus yang diletakkan pada rak buku - Foto Jeakqleyn Yacho

DIHUNI oleh 33 suku kaum dan sub-etnik, Sarawak sememangnya kaya dengan pelbagai khazanah kesenian dan kebudayaan yang menarik, terutama dalam konteks bahasa.

Bagaimanapun, masih ada di antara bahasa itu tidak didokumentasikan sedangkan ia aset amat bernilai, khususnya dalam membantu mempromosikan warisan kesenian dan kebudayaan negeri kepada masyarakat luar.

Melihat kepada kepentingan itu, Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) mengambil inisiatif menerbitkan Kamus Dewan Iban - Melayu, khusus sebagai sumber panduan dalam proses penterjemahan Bahasa Iban kepada Bahasa Melayu.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, berkata sesebuah kamus perlu dilihat sebagai sumber ilmu yang seharusnya dimanfaatkan oleh seseorang individu bagi meningkatkan kemahiran linguistik masing-masing, termasuk penguasaan dalam pelbagai bahasa.

"Di Sarawak, Iban bukan hanya dilihat sebagai kaum majoriti yang mendiami negeri ini, malah turut dikenali melalui keunikan warisan seni dan budayanya, terutama dalam konteks bahasa digunakan.

"Jadi, kita mengambil langkah menerbitkan kamus ini, yang juga edisi kedua penerbitannya, dalam membantu memulihara warisan masyarakat pribumi itu, malah kita turut menganggapnya sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap Bahasa Iban," katanya.

JABU (dua dari kiri) meneliti Kamus Dewan Iban - Melayu selepas pelancaran kamus itu di Kuching. - Foto Jeakqleyn Yacho
JABU (dua dari kiri) meneliti Kamus Dewan Iban - Melayu selepas pelancaran kamus itu di Kuching. - Foto Jeakqleyn Yacho

PENGHASILAN Kamus Dewan Iban - Melayu bagi memulihara budaya dan seni masyarakat Iban - Foto Jeakqleyn Yacho
PENGHASILAN Kamus Dewan Iban - Melayu bagi memulihara budaya dan seni masyarakat Iban - Foto Jeakqleyn Yacho

Tingkat komunikasi

Jabu yang juga antara tokoh pemimpin Iban Sarawak, berkata melalui inisiatif itu, ia memberi peluang kepada masyarakat luar untuk mempelajari dan memahami kosa kata Bahasa Iban dengan tepat.

"Ini sekali gus memberi nilai tambah kerana bukan sahaja mempunyai kemahiran dalam Bahasa Iban, malah meningkatkan komunikasi dan perhubungan di antara masyarakat berbilang kaum di negeri ini," katanya.

Jabu berkata, penyelidikan secara bersepadu terhadap khazanah ilmu dalam bahasa harus dipergiatkan agar ia menjadi pembakar semangat dalam kalangan masyarakat agar terus memperjuangkan warisan dimiliki mereka.

"Usaha untuk memartabatkan bahasa ibunda kita tidak hanya bergantung kepada agensi dan jabatan berkaitan. Malah, ia juga memerlukan kerjasama semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan fungsinya dalam masyarakat setempat.

"Harapan kita untuk melihat minat, kecintaan dan kesungguhan masyarakat dalam memartabatkan nilai keilmuan berdasarkan etnik ini akan terus disemarakkan sepanjang masa, sekali gus membuahkan hasil membanggakan kepada rakyat Sarawak," katanya.

KETUA Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan. - Foto Asyraf Hamzah
KETUA Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan. - Foto Asyraf Hamzah

Diharap kekal sepanjang zaman

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan, menjelaskan pelancaran kamus itu dapat memberi semangat dan suntikan baharu kepada penulis untuk meneroka dan menyelidik etnik Iban yang menjadi suku kaum majoriti di Sarawak.

"Bukan sahaja dari segi pertuturan, malah adat resam, pakaian, makanan dan reka bentuk kediaman yang dimiliki masyarakat etnik terbabit juga adalah amat unik.

"Penghasilan kamus itu juga adalah wajar dalam usaha memelihara kebudayaan dan kesenian bahasa Iban melalui dokumentasi sebagai simpanan masa depan bagi tatapan generasi akan datang," katanya.

Beliau berkata, harapan DBP adalah khazanah ilmu, budaya dan kesenian di negeri ini dapat dijadikan sebagai bahan penulisan agar warisan Sarawak terus terpelihara dan kekal sepanjang zaman.

Kamus Dewan Iban - Melayu Edisi Kedua adalah siri susulan kepada penerbitan edisi sulungnya pada 1989. Ia memuatkan 11,530 entri dan 9,710 subentri itu mengambil masa lima tahun sejak proses penghasilannya bermula pada November 2010.

Berita Harian X