fbpx

Peter enggan tanda tangan notis tangkapan kerana telah bekerjasama dengan SPRM

PETER Anthony ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Peter Anthony memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau enggan menandatangani notis tangkapan yang diserahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan pada 2014.

Tertuduh yang juga saksi pembelaan pertama mengakui tidak bersetuju dengan kesalahan memberi rasuah di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 seperti yang dinyatakan dalam notis tangkapan yang diserahkan oleh pegawai SPRM.

Peter menyatakan demikian ketika membela diri terhadap pertuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tertuduh didakwa menggunakan dokuman palsu iaitu surat Pejabat Naib Canselor UMS kononnya UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd. (Asli Jati) milik tertuduh.

Menurut bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu, beliau diminta hadir ke Pejabat SPRM Sabah pada 12 Mac 2015 dan dimaklumkan oleh pegawai agensi itu bahawa satu tangkapan di bawah Seksyen 17(b) akan dikuatkuasakan terhadapnya.

Menjawab soalan peguam S. Devanandan yang mewakilinya, beliau memberitahu pernah bertanyakan kepada pegawai yang menyerahkan notis tangkapan apa kesalahan yang dilakukannya.

Namun ujar Peter, 51, pegawai itu hanya menyatakan kes adalah berkaitan kesalahan memberi rasuah namun tidak memberikan jawapan ketika beliau bertanya kepada siapa rasuah itu diberikan.

Tertuduh selanjutnya menafikan pernah memberi rasuah kepada mana-mana pihak sebelum ini.

Menurut Peter, pegawai SPRM kemudian merakam kenyataannya pada hari yang sama walaupun fikirannya bercelaru ketika itu kerana memikirkan pertuduhan mengikut seksyen berkenaan.

Ujarnya, pada sebelah petang, pihak SPRM memaklumkan beliau akan ditahan di lokap melainkan wang jaminan RM10,000 dijelaskan yang mana kemudian dibayarnya.

Peter selanjutnya menyatakan beliau tidak mempunyai kuasa mengarahkan mana-mana pegawai atasan UMS untuk menyediakan surat sokongan berhubung kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal di universiti itu.

Beliau turut menyatakan saksi pendakwaan ketiga (SP3), Mohd. Shukur Mohd. Din berbohong ketika memberi keterangan bahawa deraf surat sokongan kosong ditinggalkan dalam komputer di pejabatnya (Peter) namun mendapati keesokannya surat itu telah diisi dengan tarikh, tajuk dan kandungan.

Ujarnya, Mohd. Shukur tidak pernah datang ke pejabatnya mahupun menggunakan komputer atau apa-apa peralatan di situ.

Menyentuh mengenai sumbangannya kepada UMS, Peter berkata, syarikatnya banyak membantu penuntut-penuntut menjalani latihan praktikal dan memberikan insentif sepanjang tempoh tersebut.

Ujarnya, setiap tahun lebih 100 penuntut diterima menjalani praktikal kerana syarikatnya mempunyai kepakaran bukan sahaja dari segi peralatan tetapi juga dari segi tenaga pakar bertauliah serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Pada 14 Disember 2021, mahkamah memerintahkan Peter membela diri terhadap tuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Menurut pertuduhan, surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering yang dimiliki oleh tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI