Gandingan Aidil Zafuan-Norhafiz Zamani sangat secocok, ibarat Chin Aun-Santokh

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penjaga gol Johor Darul Takzim, Farizal Marlias menyenaraikan Norhafiz Zamani Misbah dan Aidil Zafuan Abdul Radzak sebagai dua pemain pertahanan tengah yang paling dikaguminya.

Farizal pernah beraksi bersama Norhafiz Zamani di Negeri Sembilan pada 2011 dan 2012 manakala Aidil Zafuan pula merupakan rakan sepasukannya di JDT dan skuad kebangsaan ketika ini.

“Saya telah mengenali Norhafiz (Angah) sejak bermain dalam skuad kebangsaan pada 2009 sebelum kami bermain sama di Negeri Sembilan.

“Angah saya boleh katakan seorang pemain yang senang diterima oleh semua, dia kalau bercakap atau memberikan arahan, tidak terlalu kasar atau terlalu lembut.

“Dia sememangnya seorang jeneral atau ketua di atas padang kerana layanannya sama kepada semua, tidak kira pemain senior atau ‘junior’.

“Mempunyai pemain sepertinya, yang mempunyai karakter tenang serta pandai mengawal keadaan dalam kotak penalti, memudahkan tugas saya selaku penjaga gol.

“Jika Angah lebih kepada seorang yang tenang, kombinasi dengan Aidil memang secocok kerana dia pula sebaliknya iaitu sentiasa seorang yang berani mencabar penyerang lawan. Bagi saya kombinasi Angah dan Aidil ini umpama Soh Chin Aun dan Santokh Singh, iaitu daripada segi cara permainan.

“Angah seorang yang tenang iaitu mirip kepada Chin Aun sementara Aidil pula kepada Santokh Singh, seorang yang berwatakan keras, jadi mereka berdua ini saling lengkap melengkapi,” katanya yang menyenaraikan dua pemain itu dalam kesebelasan terbaik Liga Malaysia pilihannya.

Sebagai rekod, selepas membina karier bersama Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani kemudiannya berkelana menyertai Pahang, KL Plus, Kelantan dan Pulau Pinang sebelum kembali menyertai Negeri Sembilan buat kali ketiga pada 2019.

Aidil Zafuan pula tidak banyak berkelana, selepas meninggalkan Negeri Sembilan, dia menyertai ATM dan kemudian disambar JDT pada 2013 – dan menariknya dia adalah satu-satunya pemain batch pertama JDT yang masih kekal bermain dengan pasukan itu sehingga hari ini.

Farizal turut menyenaraikan Izham Tarmizi Roslan (penjaga gol); Lavere Corbin Ong dan S.Kunalan di pertahanan sisi; Afiq Fazail, Nazmi Faiz dan Safiq Rahim di tengah manakala Luciano Figueroa, Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera di barisan serangan.

Foto : Shahir Omar

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.